Sabtu, 9 September 2017

Akmal kena tunggu lagi



ARKIB : 02/11/2006

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR – Selangor terpaksa melupakan khidmat ayam tambatan baru Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk sekurang-kurang tiga bulan apabila kempen Liga Super musim 2006/07 bermula Disember ini.

Skuad Merah Kuning hanya akan dapat menggunakan sepenuhnya tenaga bekas penyerang kebangsaan dan Kedah itu pada hujung Februari ini.

Begitupun kedudukan Akmal Rizal bergantung sepenuhnya kepada berapa cepat dia akan pulih daripada kecederaan yang melandanya sebelum ini.

Jurulatih Dollah Salleh berkata, beliau mengakui Akmal Rizal masih dibelenggu kecederaan dan telah mula menjalani rawatan pemulihan dengan bantuan pakar fisioterapi skuad Merah Kuning.

Berdasarkan sesi latihan pemulihan yang dijalani oleh bekas penyerang Kedah itu menurut Dollah, Akmal dijangka dapat diturunkan beraksi pada penghujung Februari ini.

‘‘Buat masa ini dia (Akmal Rizal) akan terus mendapat pengawasan daripada pakar fisioterapi Selangor sehingga dia benar-benar pulih untuk beraksi.

‘‘Selagi dia tidak pulih maka saya tidak akan memperjudikan khidmat Akmal Rizal untuk beraksi dalam kesebelasan utama,’’ ujarnya semalam.

Buat Dollah keputusan Selangor menambat penyerang itu ketika dia masih dibelenggu kecederaan tidak dianggap pelaburan merugikan.

Ujarnya, setakat ini Akmal Rizal telah menunjukkan perkembangan positif menjalani rawatan pemulihan sejak Selangor mula mengadakan sesi latihan Isnin lepas.

‘‘Saya yakin dengan kesungguhan yang ditunjukkannya dia akan dapat pulih menjelang Februari ini,’’ katanya.

Mengenai kedudukan penyerang kebangsaan Sapee Sali Dollah berkata, kecederaan yang dialami bekas penyerang Sarawak itu semakin pulih.

Katanya, tiada kesangsian Sapee akan dapat diturunkan dalam aksi pertama Selangor Disember ini.

Buat jurulatih Selangor itu kehadiran gandingan Akmal Rizal dan Sapee mampu menyuntik kekuatan bahagian serangan ketika skuad Merah Kuning telah mengambil keputusan tidak akan menggunakan khidmat pemain import.

Beliau menegaskan masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai ketajaman gandingan mereka mengetuai jentera serangan Selangor musim ini.

‘‘Dari segi skill dan kekuatan fizikal Akmal Rizal dan Sapee saya tidak sangsi mereka mampu mempamerkan aksi menarik membawa kemenangan kepada Selangor,’’ katanya.

Mengenai pemain lain kata jurulatih itu lagi, tempoh sebulan akan digunakan untuk mencari gandingan paling ampuh untuk bersaing dalam liga musim baru ini.

Katanya, kehadiran bekas pemain Pahang, Fadzli Saari, dua penjaga gol Anis Faron Arsidi (Sabah) dan Megat Amir Faisal Ibrahim (Kedah) serta lapan pemain skuad Piala Presiden Merah Kuning mampu menyuntik kekuatan ampuh Selangor.

Selain itu Selangor turut mengekalkan khidmat enam pemain senior musim lalu antaranya ketua pasukan Shukor Adan, Amri Yahyah, D Surendran, P Gunalan, Razman Roslan dan Fadhil Hashim.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4sAqyLSAk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan