ARKIB : 11/10/2008
Bola sepak
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
KUALA LUMPUR - Minat pasukan
tempatan yang gemar mendapatkan pemain muda menyebabkan ada bintang senior
terpinggir dan belum mendapat tawaran untuk beraksi dalam mana-mana kelab atau
pasukan negeri menjelang kempen Liga Malaysia musim depan.
Antara pemain yang merasai bahang
trend tersebut ialah bekas penyerang Selangor dan kebangsaan, Akmal Rizal
Rakhli yang mengakui belum dilamar oleh mana-mana pasukan.
Menurut Akmal, selepas kontraknya
bersama Selangor tidak disambung, dia masih menunggu tawaran untuk meneruskan
aksi musim depan tetapi setakat ini belum ada pasukan yang membuat tawaran
serius.
''Saya hanya menerima tawaran
secara lisan tetapi sehingga kini tiada perbincangan susulan diadakan.
''Saya tidak tahu sejauh mana
pasukan berkenaan berminat. Sehingga kini saya masih menunggu tawaran dari
pasukan yang benar-benar mahukan khidmat saya,'' katanya.
Menurut Akmal, dia masih memiliki
sentuhan berbisa selepas menjaringkan 10 gol untuk Selangor walaupun diturunkan
dalam sembilan atau 10 perlawanan sahaja.
''Ketika ini mungkin masih awal
untuk pasukan melengkapkan senarai pemain kerana kebanyakan pasukan masih lagi
dalam mood raya menyebabkan mereka masih belum bersungguh-sungguh mendapatkan
pemain baru.
''Saya sedia beraksi dengan
mana-mana pasukan dan menjanjikan sumbangan terbaik kerana masih memiliki
keupayaan seperti dahulu,'' ujarnya.
Akmal berharap ada pasukan yang
membuat tawaran awal bagi membolehkannya memulakan persediaan awal untuk
menghadapi saingan musim depan.
Sama seperti Akmal, penyerang
kebangsaan, Nizaruddin Yusof juga masih belum mempunyai pasukan.
Menurut pemain yang kini
menjalani latihan bersama skuad kebangsaan itu, dia mengintai aksi bersama
pasukan di Lembah Klang kerana mempunyai komitmen terhadap keluarga.
''Setakat ini saya belum lagi
menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan. Saya masih mampu memberikan
yang terbaik kepada mana-mana pasukan apatah lagi prestasi saya semakin
meningkat,'' katanya.
Namun nasib berbeza dialami bekas
pemain Pahang, Hairuddin Omar yang mengakui mendapat tawaran daripada beberapa
pasukan namun enggan mendedahkan nama pasukan itu.
''Ya... tawaran memang ada cuma
saya masih belum membuat keputusan untuk menerima tawaran dari pasukan mana.
''Banyak pertimbangan yang harus
dibuat terutama soal gaji, status pasukan dan yang paling penting pasukan mana
yang paling serius berminat untuk khidmat saya dan kesungguhan mereka dalam
membentuk pasukan yang mantap,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50sOL7RgE
© Utusan Melayu (M) Bhd