ARKIB : 25/06/2007
NAMPAKNYA persiapan kita yang
serba kekurangan bagi menghadapi saingan bola sepak Piala Asia semakin
terhimpit gara-gara kecuaian orang-orang kita sendiri.
Ketika persiapan pasukan negara
untuk menghadapi kejohanan terbesar itu dilihat ala kadar atau sekadar
melepaskan batuk ditangga timbul pula masalah sikap berlembut Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM).
Kelonggaran yang diberi kepada
persatuan negeri untuk menggunakan khidmat pemain kebangsaan bagi mengharungi
aksi Piala FA akhirnya mengundang padah.
Pemain Selangor, Akmal Rizal
Ahmad Rakhli kini menjadi mangsa sikap lembut FAM yang memberi pelepasan kepada
pemain-pemain kebangsaan.
Tonggak utama negara itu kini
mengalami kecederaan yang mungkin memaksanya melupakan hasrat untuk beraksi
bulan depan.
Ketika mengumumkan bahawa
pemain kebangsaan bebas mewakili pasukan mereka dalam Piala FA minggu lalu,
ramai yang tertanya-tanya apa agaknya rasional FAM mengambil keputusan itu.
Malangnya, tidak ada siapa
peduli dengan keputusan FAM yang dilihat mahu menjaga hati pegawai pasukan
terlibat.
Dengan kecederaan Akmal tentu
sekali ia menjejaskan perancangan pasukan kebangsaan.
Ia boleh berlaku kepada lima
lagi pemain kebangsaan yang masih terlibat dalam Piala FA.
Mohd. Fauzi Nan, Azi Shahril
Azmi (Perlis) bersama Mohd. Fauzi Shaari, Muhammad Khyril Muhymeen dan V.
Thirumurugan (Kedah) tentunya tidak mahu nasib yang serupa menimpa mereka
apabila beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA 30 Jun ini, tujuh hari menjelang
Piala Asia.
Agenda mana yang penting ketika
ini - negara atau pasukan negeri ?
Rasanya, selaku ketua jurulatih
pasukan kebangsaan, Norizan Bakar kenalah keluar suara sedikit kerana ia
melibatkan pasukannya sendiri.
Di Korea Selatan, jurulatih,
Pim Verbeek terpaksa bertikam lidah dengan pihak pengurusan liga dan persatuan
bola sepak negara itu, kerana mahu memastikan para pemainnya tidak terlibat
dalam aksi terakhir liga yang hanya boleh mengundang kecederaan menjelang Piala
Asia.
Tetapi siapalah Norizan
berbanding Verbeek, untuk bersuara atau menegur pengurusan FAM walaupun jauh
disudut hatinya menyimpan segala kekecewaan.
Masih belum terlewat untuk kita
sama-sama membetulkan apa yang mungkin tidak kena ketika ini.
Tekong - Sayang pasukan negara
!
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4uASc5Tyl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan