Khamis, 22 Jun 2017

Keputusan KFA legakan Akmal



ARKIB : 25/02/2006

Oleh: SAYED HESHAM IDRIS

KUALA LUMPUR - Penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjelaskan dia berasa cukup lega apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akhirnya `meleraikan ikatan' dengannya kelmarin.

Menurut Akmal, 24, yang mengubah haluan karier ke luar negara gara-gara gagal melepasi ujian kecergasan Ujian Cooper yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dia amat berterima kasih kepada Pengurus Kedah, Datuk Ahmad Basri Akil yang memahami kedudukannya.

``Walaupun sudah `dibebaskan', saya belum menerima hitam putih dari pihak pengurusan. Esok (hari ini) saya mungkin akan bertemu Datuk (Ahmad Basri) untuk membincangkan mengenai penamatan kontrak.

``Saya berterima kasih kepada KFA yang memahami keadaan dan kehendak saya demi masa depan bola sepak saya. Kini saya sudah boleh memikirkan haluan baru walaupun belum menetapkan untuk mewakili mana-mana kelab,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar semalam melaporkan KFA akhirnya sedia melepaskan Akmal yang seolah-olah sudah tawar hati dan hilang keyakinan untuk melakukan ujian Cooper sekali lagi selepas gagal tujuh kali.

KFA terpaksa akur dengan keputusan Akmal Rizal selepas FAM sendiri tetap bertegas dengan penjelasan yang sama walaupun berkali-kali dirayu supaya Akmal dibenarkan beraksi semula bersama Kedah.

Tambah Akmal, dia juga berterima kasih kepada rakan sepasukan yang memahami keadaannya dan banyak memberi sokongan apabila membuat keputusan berhijrah ke kelab luar.

``Isteri saya juga banyak memberi dorongan di saat saya dalam dilema untuk membuat keputusan beraksi di luar negara. Dalam pasukan Kedah pula yang, Haswawi (Hassan) mungkin pemain yang paling terasa ketiadaan saya. Dia juga merupakan pemain paling rapat dengan saya ,'' katanya.

Tegas Akmal lagi, keputusan nekad untuk meninggalkan saingan bola sepak tanah air bukan disebabkan dia berkecil hati atau merajuk gara-gara gagal Ujian Cooper, tetapi demi masa depan kariernya.

``Saya sudah sembilan bulan tidak beraksi dan sudah tidak sabar-sabar untuk meneruskan karier di luar negara.

``Saya bercadang untuk beraksi dua atau tiga tahun di luar negara dan berjanji akan kembali semula ke saingan liga tempatan,'' katanya yang tetap mengimpikan tempat dalam pasukan kebangsaan.

Mengenai kelab mana yang akan diwakilinya, Akmal berkata dia belum dapat membuat keputusan dan akan mengadakan sidang akhbar sejurus dia sah menyertai kelab luar negara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kn7XU81m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah lepaskan Akmal Rizal



ARKIB : 24/02/2006
ALOR STAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bersedia melepaskan ayam tambatannya, Akmal Rizal Rakhli bagi membolehkan bekas penyerang kebangsaan itu mencari haluannya sendiri untuk beraksi dengan kelab di luar negara.

Meskipun keputusan itu `berat' untuk dilakukan namun KFA tetap akur dengan kehendak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengesahkan pemain licik itu gagal melepasi ujian kecergasan (cooper test) yang ditetapkan.

Pengurus pasukan Kedah, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil berkata, pihaknya telah berbincang dengan Akmal Rizal untuk mendapatkan kepastian berhubung perkara tersebut semalam.

Hasil perbincangan itu, katanya, KFA bersetuju membebaskan Akmal Rizal kerana menganggap pemain tersebut tidak mempunyai masa depan yang cerah dalam negara sendiri gara-gara keputusan FAM tersebut.

``Mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), seseorang pemain dianggap berjaya dalam ujian kecergasan selepas berlari melepasi 2,800 meter dalam tempoh yang ditetapkan tetapi FAM pula menetapkan pada jarak 3,000 meter.

``Kita kesal kerana FAM tidak mengikut piawaian FIFA dan sekali gus boleh memusnahkan masa depan Akmal Rizal yang baru pulih daripada pembedahan lutut,'' katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.

Beliau mengulas permintaan Akmal Rizal kelmarin supaya KFA membebaskannya bagi membolehkannya beraksi di kelab luar negara selepas tawaran dari Singapura terpaksa dilupakan kerana masih mengikat kontrak dengan KFA.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4kn4lMgdp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Akmal masih berharap `dibebaskan'



ARKIB : 23/02/2006
KUCHING - Bekas penyerang bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli berharap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) `membebaskannya' bagi membolehkannya beraksi di kelab luar negara setelah tawaran dari Singapura terpaksa dilupakan gara-gara terikat dengan kontrak KFA.

Menurut pemain yang dibelenggu rasa hampa gara-gara gagal melepasi ujian kecergasan (cooper test), ketika ini dia mendapat tawaran menarik dari kelab di Brunei dan Hong Kong dan tidak mahu terus terlepas peluang tersebut.

``Saya masih berbincang dengan PFA untuk membatalkan kontrak musim ini bagi membolehkan saya mencari haluan baru bersama kelab di luar negara,'' katanya.

Tambah Akmal, bukan mudah mendapat tawaran dari kelab luar negara apatah lagi belum ada pemain tempatan yang beraksi di luar negara sekali pun di Asia Tenggara.

``Tawaran itu merupakan satu penghormatan bagi saya, tentunya saya tidak mahu terlepas setelah terpaksa melupakan hasrat beraksi dengan Woolands Wellington di Singapura,'' ujarnya.

Akmal dibelenggu gelisah kerana kegagalan melepasi enam sesi ujian Cooper iaitu berlari 3,000 meter dalam 12 minit

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4kmUyuz7V
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 5 Jun 2017

Akmal, Nizaruddin dalam senarai



ARKIB : 10/10/2005
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu dikatakan berminat mendapat khidmat dua bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli dan Mohd. Nizaruddin Yusof bagi memperkuatkan barisan serangan menghadapi musim bola sepak Liga Malaysia 2005/06.

Difahamkan, gandingan dua penyerang itu disebut-sebut sebagai pilihan terbaik bagi mengatasi masalah ketandusan gol yang dihadapi skuad Penyu musim lalu.

Pasukan itu dijangka tidak menghadapi masalah mendapatkan khidmat Mohd. Nizaruddin selepas kelabnya, Public Bank menarik diri dari saingan musim depan, manakala Akmal dikatakan sedia berpindah dari Kedah.

Jika perpindahan itu menjadi kenyataan, Terengganu bakal memiliki dua penyerang yang berkebolehan dan pernah menjadi perhatian dalam liga tempatan satu ketika dahulu.

Musim lalu, jentera serangan pasukan itu diterajui penyerang import, Dos Santos yang telah ditamatkan kontrak baru-baru ini, serta dua penyerang senior, Sapian Wahid dan Norizam Ali Hassan.

Pengurus pasukan itu, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengesahkan sebarang usaha Terengganu mendapatkan kombinasi Akmal-Mohd. Nizaruddin.

Dalam nada berteka-teki beliau berkata, pasukan itu sememangnya mencari penyerang tempatan dan sedia mengambil mana-mana pemain termasuk Akmal dan Mohd. Nizaruddin, jika mereka dapat memenuhi keperluan perancangan pasukan itu.

``Kedua-duanya memang antara penyerang terbaik dan semua pasukan pastinya berminat mendapatkan mereka. Tetapi banyak faktor lain yang perlu diberi perhatian termasuk kecergasan dan masalah kecederaan mereka.

``Kita bersikap terbuka dan akan sentiasa menilai pemain-pemain yang berkebolehan serta menepati kehendak kita. Masih terlalu awal untuk memperkatakan sama ada kedua-dua penyerang itu akan bersama Terengganu musim depan,'' katanya.

Sheikh Ahmad Tajuddin mengakui, ada beberapa pemain tempatan yang menawarkan diri untuk menyarung jersi Terengganu dan sedang meneliti kemampuan pemain-pemain terbabit.

``Antara yang berminat termasuk pemain yang cukup dikenali dalam saingan liga negara ini. Tetapi buat masa ini biarlah saya rahsiakan kerana mereka masih mempunyai baki kontrak dengan pasukan mereka,'' katanya.

Mengenai pemain import pula, beliau memberitahu, pihaknya telah dihubungi oleh beberapa pemain dari Brazil, Croatia, Argentina dan negara-negara Afrika.

Ujarnya, salah seorang adalah penyerang kelab juara liga Brazil, Santos dan telah menjaringkan 38 gol dalam 60 perlawanan.

``Terengganu akan memulakan latihan pada 18 Oktober ini dan ketika itu kita akan mula melihat corak permainan mereka dan memilih pemain yang sesuai,'' ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j7AXYgxV
© Utusan Melayu (M) Bhd