Jumaat, 22 September 2017

Akmal idam kembali wakili skuad negara



ARKIB : 26/03/2007

KUALA LUMPUR - Bekas penyerang negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyasarkan bulan depan untuk memberikan sepenuh aksi terbaiknya dalam mencerahkan peluang merebut tempat skuad bola sepak negara ke Piala Asia.

Dua golnya yang berjaya membawa Selangor menewaskan Pahang 2-0 pada perlawanan Liga Super di Shah Alam, kelmarin, telah membalas kepercayaan jurulatih Dollah Salleh dan kini dia menunggu reaksi yang sama daripada Norizan Bakar.

Kata penyerang kelahiran Jitra, Kedah ini: ``Dua gol (pada minit ke-63 dan 90) itu lebih baik daripada jaringan pertama saya tahun ini ketika kami kalah kepada Telekom Melaka 2-1 (Kumpulan A Piala Malaysia, 17 Mac lalu).

“Namun, yang penting saya dapat sumbangkan sesuatu untuk pasukan yang sanggup menunggu lama untuk saya pulih daripada kecederaan lutut sejak tahun lalu.’’

Segala keyakinan dan sentuhan jaringan serta kecergasan yang dirindui sejak berehat kerana kecederaan, turut semakin kuat menemani Akmal Rizal yang kali terakhir mewakili negara pada Kelayakan Piala Dunia 2004.

Menurut bekas pemain kelab Perancis, FC Haguenau ini, persefahaman dan keserasian rakan sepasukan Gergasi Merah seperti tonggak senior, Amri Yahyah dan Shukor Adan selain pengumpan jaringannya kelmarin, Fazilidin Khalid juga semakin mantap.

Persembahan yang semakin meningkat itu turut merangsang keinginannya untuk memburu lebih banyak gol apabila Selangor mengunjungi Selayang, esok untuk menentang Angkatan Tentera dalam pusingan kedua Piala FA.

Selangor, juara Piala FA 2005, mendapat laluan percuma daripada pusingan pertama sementara Tentera menyingkirkan Maju United Kuala Lumpur 1-0 pada 6 Februari lalu.

Mengenai penampilan sulung gandingannya menentang Pahang, Safee Sali yang turut memburu tempat ke Piala Asia, kata Akmal Rizal, rakannya itu masih memerlukan masa untuk lebih kerap diturunkan sepanjang 90 minit.

“Seperti saya ketika mula bermain dulu, dia juga memerlukan masa untuk menemui semula kecergasan dalam perlawanan sebenar tetapi kami berdua tetap berkongsi matlamat, mahu ke Piala Asia dengan meyakinkan jurulatih negara, Norizan sepanjang liga,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4tQ0TTARp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan