ARKIB : 05/01/2007
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Penyerang negara
yang dibelenggu kecederaan sekian lama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menikmati 15
minit persaingan Liga Super kelmarin tetapi mengakui belum bersedia untuk
bermain sepenuh masa selepas ini.
Ayam tambatan baru Selangor ini
yang sudah hampir pulih daripada kecederaan lutut, menemui semula sentuhan,
keyakinan dan kawalan bola yang dirinduinya kerana berehat hampir tujuh bulan
dari gelanggang bola sepak.
Sakit lutut masih terasa
sedikit tetapi yang penting, keyakinan di padang sudah diperoleh dalam
perlawanan sebenar dengan menentang Sarawak (menang 2-1 di Stadium Shah Alam),
katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Penyerang kelahiran Jitra,
Kedah berusia 25 tahun ini, masuk menggantikan Hadi Yahya pada minit ke-76,
bagaimanapun tidak berpeluang membuat sebarang percubaan berbahaya ke gawang
Sarawak.
Kehadirannya lebih bersifat
pengumpan tumpuan pemain lawan sehingga membolehkan Amri Yahyah menemui ruang
luas untuk menanduk masuk sepakan percuma ketua pasukan sementara Gergasi Merah
Kuning, D. Surendran pada minit ke-82.
Tanpa Shukor Adan, Safiq Rahim
dan Fadzli Saari yang menjalani latihan skuad negara, Selangor juga membuka gol
menerusi pemain muda, Razman Roslan pada minit ke-55 dengan rembatan voli yang
muntah daripada sepakan sudut Surendran.
Kata Akmal Rizal, dari segi
fizikal dan mental, dia sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan berikutnya
tetapi terserah kepada jurulatih Dollah Salleh untuk memutuskan yang terbaik
untuknya dan pasukan.
Selangor yang kini menghuni
tangga ketiga liga, akan bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,
Kuala Terengganu, esok. Tuan rumah merupakan salah satu pasukan yang belum
kalah selepas empat perlawanan dan menduduki tangga kedua.
Mungkin hanya pada bulan
depan, saya boleh bermain sepenuh masa. Buat sementara itu saya masih menjalani
fisioterapi dan latihan angkat berat di gimnasium untuk mencapai tahap pulih
100 peratus, katanya.
Sebelum ini, dia bermain 90
minit malah sempat menjaringkan satu gol dalam satu perlawanan persahabatan
dengan PKNS dan Selangor mengadakan satu lagi aksi pemanas badan dengan Felda
United di Bangi, semalam.
Akmal Rizal turut mengidam
kembali ke pangkuan skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia di Kuala
Lumpur, Julai ini setelah kali terakhir beraksi untuk negara pada Kelayakan
Piala Dunia 2004 menentang China.
Gandingannya di barisan depan
yang juga bekas pemain Kuala Lumpur dan Sarawak, Safee Sali dan
dinanti-nantikan kepulangannya selepas lututnya dibedah, dijangka dapat
diturunkan kali pertama Mac ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4sMm2jScQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan