Jumaat, 27 Oktober 2017

14 angka istimewa Akmal Rizal


ARKIB : 27/01/2008

Oleh: SAYED HESHAM IDRIS

Bagi pemain di posisi penyerang, jersi angka 10 menjadi pilihan dalam sukan bola sepak namun bagi penyerang pasukan Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, angka 14 adalah jersi pilihan.

Sebenarnya angka 14 bukan setakat pada jersi tetapi ia menjadi nombor kegemaran dalam kehidupan seharian Akmal.

Kerana meminati angka 14, plat kereta, nombor telefon bimbit dan alamat rumahnya juga tidak dapat lari dari angka tersebut.

''Angka 14 memang menjadi kegemaran saya sejak belum bergelar pemain bola sepak lagi.

''Saya mula meminati angka 14 kerana kagum dengan bekas pemain Kedah berjersi 14, Faridzuan Che Hamid.

''Setiap kali menonton perlawanan pasukan Kedah, Faridzuan menjadi tumpuan saya malahan sehingga kini dia adalah idola saya.

''Secara kebetulan ketika saya mula-mula menyarung jersi pasukan Kedah, saya diberikan jersi angka 14.

''Sejak itu, jersi bernombor 14 terus menjadi pilihan saya, sama ada ketika bersama bekas pasukan Kedah dahulu, kini di Selangor dan bersama pasukan kebangsaan,'' katanya. ini.

Jersi angka 14 seolah-olah telah menjadi milik mutlak Akmal sehinggakan para pemain sepasukan mengetahui perkara itu.

Lantaran itu setiap kali pengagihan nombor jersi pasukan, sama ada pasukan negeri atau kebangsaan, tiada pemain yang berani 'menyentuh' jersi angka 14.

''Rakan-rakan sudah tahu jersi angka 14 adalah kegemaran saya,'' katanya.

Menurutnya, dia meminati angka 14 bukan kerana disebabkan ia membawa tuah dalam karier.

''Ia tiada kaitan dengan tuah, cuma saya rasa lebih yakin apabila dapat mengguna jersi nombor kegemaran saya,'' katanya.

Sementara itu, Akmal memberitahu, dia kini berjauhan dengan anak dan isterinya yang kini menetap di Kedah.

Lantaran itu Akmal kerap berulang alik ke Kedah mengunjung keluarganya.

''Jika cuti latihan, saya memandu kereta bersendirian ke Kedah untuk menemui anak dan isteri.

''Setakat ini saya belum bercadang untuk mereka menetap di Kuala Lumpur,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4whm9ICTp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 21 Oktober 2017

Akmal masih belum gembira aksi sendiri



SHAH ALAM – Penyerang negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli masih belum berpuas hati dengan tahap kecergasan dan persembahannya sekalipun sempat menjaringkan gol sulungnya dalam persaingan bola sepak Liga Super musim ini.

Masuk menggantikan Amirulhadi Zainal pada minit ke-71, penyerang Selangor ini turut menganggap banyak kerja keras perlu dilakukannya jika mahu meningkat sekali gus merebut semula tempat kesebelasan utama.

“Sukar untuk saya kembali ke tahap 100 peratus cergas selepas enam minggu berehat kerana kecederaan hamstring tetapi sekurang-kurangnya kemasukan 20 minit terakhir dan jaringan sulung itu satu langkah awal untuk memulihkannya,” katanya.

Akmal, anak jati Jitra, Kedah menjaringkan gol terakhir Selangor untuk menewaskan Polis 4-1 menerusi serangan balas pantas Gergasi Merah pada minit kecederaan babak kedua selepas menggantikan Amirulhadi Zainal.

Safee Sali mencipta hatrik di Stadium Shah Alam, kelmarin pada minit ke-14, 28 dan 37 tetapi terpaksa dikeluarkan dan digantikan oleh R. Surendren kerana kecederaan buku lali sementara Hillary Echesa menyumbat gol tunggal pelawat.

Kata Akmal, peningkatan prestasi Indra Putra Mahayuddin, Frank Seator dan Safee turut mencipta persaingan yang lebih sengit baginya dalam memikat hati jurulatih Dollah Salleh menyenaraikannya.

“Walau siapa pun yang bermain, ia terserah kepada jurulatih tetapi saya bertekad untuk mendapatkan momentum bagi satu demi satu perlawanan terlebih dulu, selepas ini,” katanya yang telah melalui musim kedua bersama Selangor.

Kemenangan kelima ini melonjakkan Selangor ke tangga kedua untuk mengekori Kedah dalam Liga Super sambil mengumpul 16 mata selepas mengharungi lapan perlawanan sementara Polis, juara Liga Perdana musim lalu, berada di tempat kesembilan.

Sementara itu, Dollah menjangka kecederaan Safee kurang serius dan mungkin masih mampu pulih menjelang perlawanan seterusnya dalam menghadapi Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, esok.

“Kami hanya tidak dapat menurunkan Amri Yahyah yang masih dirawat kerana menghidap demam denggi dan perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu selain P. Gunalan yang digantung perlawanan kerana mendapat kad kuning kedua,” katanya.

Mengenai ketidakpuasan hati Polis yang menyifatkan Selangor tidak mengamalkan permainan adil sehingga meraih gol pertama, kata Dollah, ia bergantung kepada pertimbangan pengadil dan pemain sendiri untuk menentukannya.

Seorang pemain Polis masih terbaring kerana kecederaan manakala rakan mereka belum bersedia sedangkan tuan rumah masih meneruskan permainan menerusi satu lontaran ke dalam sehingga Safee merampas bola dan meledakkan jaringan.

“Mungkin pemain saya merasakan keadaan kecederaan itu tidak serius lalu meneruskannya, begitu juga pengadil. Jika Polis membantah pun, mereka perlu merujuk kepada pengadil. Benda telah berlaku dan keputusan muktamad,” katanya.

Kem Polis turut menghalang pemain mereka daripada bersalaman dengan lawan selepas perlawanan malah pengurus pasukan Polis, Mohd. Gifari Wari pula mempersoalkan, “apa makna permainan adil? Pemain kami masih tercedera tetapi permainan tidak diberhentikan. Inikah permainan adil?”

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4w8d3dIQ3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Semangat juang julang Kedah

Jumaat, 13 Oktober 2017

Azraai, Akmal turut dicalonkan



ARKIB : 25/08/2007

KUALA LUMPUR – Jurulatih Kedah yang menjulang Piala FA dan gelaran Liga Super baru-baru ini, Azraai Khor Abdullah dan dua penyerang Selangor, Akmal Rizal Rakhli dan Safee Sali merupakan antara lima calon yang disenarai pendek dalam Anugerah Bola Sepak Negara Liga Malaysia, 9 September ini.

Azraai yang menjadi pilihan hangat sebagai calon ketua jurulatih skuad negara, akan berentap dengan rakan sejawatannya dari Terengganu, Yunus Aliff selain Steve Darby dari Perak, Azuan Zain (Johor-Pasir Gudang) dan K. Thaiyanathan (Polis) bagi kategori Jurulatih Paling Popular.

Dalam kategori Penyerang Paling Popular, Akmal dan Safee pula akan dicabar oleh penjaring terbanyak di kalangan pemain tempatan dalam Liga Super dengan 15 gol, Khalid Jamlus dari Perak selain Cik Hishammudin Hassan (Terengganu) dan Hasmawi Hassan (Kedah).

Penjaring terbanyak Liga Super, Keita Mandjou (Perak) dengan 21 gol pula dicalonkan untuk merebut anugerah Pemain Asing Terbaik dengan pencabarnya ialah Phillimon Chipeta (Perlis), Marlon Alex James (Ked), Walter Ariel Silva (Johor FC) dan Marin Mikac (UPB-MyTeam).

Turut dipertandingkan ialah kategori Penjaga Gol, Pemain Pertahanan dan Pemain Tengah Paling Popular, Pemain Tempatan Terbaik dan Bintang Baru Terbaik yang antaranya direbut oleh Nasril Nourdin dari Perak yang beraksi pada Pestabola Merdeka ketika ini dan Helmi Eliza Elias (Kedah).

Calon lain termasuk ketua pasukan negara, Kaironnisam Shahabudin Hussain (UPB-MyTeam), Hardi Jaafar (Telekom), Azlan Ismail (Perlis), Ahmad Shahrul Azhar Sofian (Perak), Shukor Adan (Selangor), Nor Farhan Muhammad (Terengganu), Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak (Negeri Sembilan).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vRK41800
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 3 Oktober 2017

Norizan terpaksa buat rombakan


 

ARKIB : 12/07/2007
Norizan terpaksa buat rombakan
PENJAGA gol kedua Malaysia, Suffian Ab. Rahman gigih menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam untuk mengintai peluang diturunkan menentang Uzbekistan dalam Piala Asia, Sabtu ini.

KUALA LUMPUR – Beberapa pemain bakal kehilangan posisi kesebelasan utama skuad negara jika jurulatih Norizan Bakar mahu memberikan mereka pengajaran drastik ekoran kekalahan besar 5-1 kepada China dalam perlawanan Kumpulan C pusingan akhir bola sepak Piala Asia, kelmarin.

Hilangnya disiplin bermain sebagai sepasukan dan melakukan kesilapan individu dikenal pasti sebagai faktor kekalahan itu yang perlu diatasi segera apabila Malaysia mengharungi perlawanan kedua Kumpulan C pusingan akhir bola sepak Piala Asia menentang Uzbekistan, Sabtu ini.

Kata Norizan, “China menguasai bola dan kami hilang disiplin sehingga membuka luas kawasan yang dimanfaatkan lawan dengan hantaran jauh dan tinggi. Kami terus gagal mengekang umpanan dari kedua-dua sayap lawan. Akibatnya kami kalah besar dan ia ternyata bukan satu permulaan yang baik.

“Kami perlu berdisiplin sejak awal dan bekerjasama sebagai sepasukan tetapi akibat kesilapan individu, seluruh pasukan yang menanggung padahnya (dengan lima gol),” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan yang turut dihadiri hampir 30,000 penyokong negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Walau apa pun, kami perlu melupakannya dan kami akan cuba memulihkan semangat untuk menghadapi perlawanan kedua,” katanya yang membuat tiga pertukaran pemain negara kelmarin iaitu Akmal Rizal Rakhli dengan Indra Putra Mahayuddin, Fadzli Saari (K. Nantha Kumar) dan Shahrulnizam Mustapa (Eddy Helmi Manan).

Seperti biasa, Norizan tetap enggan menamakan anak buahnya yang dianggap penyumbang kekalahan tersebut terutama sekali di bahagian benteng yang dikemudikan ketua pasukan, Kaironnisam Sahabuddin Hussain sambil dibantu Norhafiz Zamani Misbah, Rosdi Talib dan Fauzie Nan selain penjaga gol, Azizon Kadir.

Namun China begitu unggul dengan memanfaatkan ketinggian dan tubuh tegap pemainnya yang rata-rata hampir 2 meter untuk memperbudakkan Malaysia yang cuba turun dengan berbekalkan semangat dan pemikiran positif dalam usaha menandingi naib juara Piala Asia 2004 itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uRJ8tWUF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Shahira tiup semangat Akmal



ARKIB : 10/07/2007

SHAH ALAM – Di balik setiap kejayaan lelaki, pasti ada wanita dan Shahira Mohd. Tajudin sentiasa mendoakan suaminya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mampu melakukan sesuatu untuk menaikkan nama Malaysia yang akan menentang China di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Isteri penyerang utama negara ini juga menjanjikan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi kepada seluruh pasukan apabila mahu hadir menyaksikan perlawanan Kumpulan C pusingan akhir bola sepak Piala Asia itu nanti.

“Kepada abang Akmal Rizal, saya harap dia terus tumpukan perhatian kepada perlawanan, sentiasa bersungguh-sungguh dan fikirkan masa depan bola sepak dan cubalah menaikkan nama Malaysia dalam perlawanan itu.

“Saya sekeluarga (termasuk sepasang cahaya mata mereka, Aleya Sofea Riss, 2, dan Akasha Riss, 11 bulan amat berharap dia dapat memanfaatkan peluang keemasan dengan mewakili negara semula selepas dua tahun berehat kerana tercedera.

“Doa kami sentiasa bersamanya dan pasukan negara supaya berjaya dan mampu membuka mata sesiapa yang menyaksikannya,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan penyerang Selangor ini sejak tiga tahun lalu di kediamannya di sini kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Shahira, 23, bukan senang untuk Akmal Rizal meraih tempat dalam skuad negara apatah lagi kesebelasan utama setelah hanya sempat kembali ke gelanggang pada Februari lalu daripada rehat panjang kerana lututnya dibedah.

“Saya berterima kasih kepada Cikgu Jan (jurulatih negara, Norizan Bakar) kerana masih meyakini kemampuannya selain Selangor yang tetap mahu mengambilnya bermain dalam Liga Malaysia setelah banyak pasukan kurang yakin.

“Bagi saya yang menyaksikan dalam perlawanan liga dan persahabatan baru-baru ini, abang Akmal Rizal sudah banyak meningkat dan makin matang untuk memburu gol,” kata bekas pemain hoki dan pelari 100 meter lari berpagar Kedah ini.

Shahira turut berharap Akmal Rizal mampu mengulangi sentuhan tepat ke gawang seperti ketika membolosi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam persahabatan di Petaling Jaya, 21 Jun lalu biarpun Malaysia kalah 3-1 - gol sulung antarabangsanya sejak 2004.

“Namun saya paling suka jaringannya ketika Kelayakan Olimpik 2004 yang membawa Malaysia seri 1-1 dengan China di Wuhan. Lain-lain perlawanan terbaiknya ialah ketika sepakannya yang terkena palang Manchester United (2001),” katanya.

Dia yang bakal mengusahakan sebuah restoran milik keluarga di Putrajaya tidak lama lagi, bagaimanapun sentiasa bimbang kalau-kalau Akmal Rizal tercedera memandangkan penyerang sepertinya sentiasa menjadi sasaran utama pemain pertahanan lawan.

“Saya begitu bimbang ketika dia berlaga sehingga diusung keluar padang dalam separuh akhir Piala FA dengan Kedah, baru-baru ini. Mujurlah kecederaannya tidak teruk tetapi saya berharap selepas ini dia mampu mengelakkan bentesan lawan yang berisiko kecederaan.

“Walau bagaimanapun, bola sepak sebuah sukan berpasukan. Tidak perlu bergantung kepada seseorang pemain atau penyerang sahaja kerana pemain lain skuad negara juga berperanan menjaringkan gol dan yang penting Malaysia berjaya,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4uR7Pm9xr
© Utusan Melayu (M) Bhd