ARKIB : 30/10/2010

Akmal Rizal Ahmad Rakhli
KOTA BHARU - Suatu ketika dahulu
nama Akmal Rizal Ahmad Rakhli hampir dilupakan oleh peminat sukan bola sepak di
negara ini selepas mengalami kecederaan yang memaksanya berehat panjang.
Namun, sebaik sahaja menyarung
jersi keramat The Red Warriors, kelibat Akmal Rizal di atas padang menjadi
perhatian dan sebutan di kalangan peminat setia pasukan tersebut.
Beraksi bersama Kelantan, Akmal
yang jarang-jarang diturunkan bagaikan mendapat sentuhan ajaib apabila
mempamerkan kebangkitan sebaik sahaja aksi Piala Malaysia dimulakan.
Enam gol yang diledakkan
sepanjang kempen Piala Malaysia membuktikan anak kelahiran Jitra, Kedah ini
masih memiliki sentuhan berbisa, malah status sebagai penjaring terbanyak yang
dipegang setakat ini membuatkan kelibatnya digeruni lawan.
Bermula dengan jaringan ketika
aksi menentang PKNS Kelana Jaya 17 September lalu, Akmal tidak menoleh ke
belakang lagi apabila terus mencatatkan nama selaku pencetak utama The Red
Warrios.
Terakhir jaringannya ketika
Kelantan menewaskan juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor di Kota Bharu 3
Oktober lalu membangkitkan semangatnya untuk membantu Kelantan membawa pulang
piala berprestij itu ke Kota Bharu.
Akmal Rizal ketika dihubungi
Utusan Malaysia berkata, dia mahu mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan
akhir Piala Malaysia malam ini.
Menurutnya, pentas perlawanan
akhir malam ini cukup istimewa, kerana ia adalah pentas akhir yang pertama buat
dirinya sepanjang bergelar pemain profesional.
"Jadi saya mahu
menghadiahkan kejuaraan pertama Piala Malaysia diri saya sendiri, pasukan dan
penyokong setia Kelantan.
"Namun begitu, semuanya
terletak di bahu ketua jurulatih sama ada mahu menyenaraikan saya sebagai
pemain utama atau tidak. Sebagai pemain, saya akan mengikut segala percaturan
yang telah ditetapkan.
Tambahnya, beraksi di hadapan
lebih 50,000 peminat setia tidak memberikan tekanan buat dirinya, malah Akmal
menganggap ia akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memberikan aksi
terbaik.
"Saya sudah biasa dengan
keadaan tersebut kerana apa yang lebih utama saya mahu memberi fokus sepenuhnya
sepanjang perlawanan," ujarnya.
Ditanya adakah dia membuat
kesilapan menyarung jersi Kelantan, Akmal menafikannya, malah tidak berasa
kesal.
Sebaliknya, dia berterima kasih
kepada ketua jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Kelantan yang masih percaya
sentuhannya.
"Apa yang saya buat ini
adalah satu keputusan yang sangat tepat," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5cxKScSF6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan