Sabtu, 30 September 2017

Akmal pulih



ARKIB : 02/07/2007
PETALING JAYA – Penyerang utama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli membawa berita baik buat skuad kebangsaan menjelang pusingan akhir bola sepak Piala Asia, 10 Julai ini apabila mengumumkan kepulangannya ke sesi latihan, semalam sejak mendapat cedera lutut kanan, 24 Jun lalu.

Pemain berusia 25 tahun kelahiran Jitra, Kedah itu mengakui tidak lagi terasa sakit biarpun ketika berlari dan memecut dalam sesi latihan di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu sekali gus mencerahkan peluangnya menentang China dalam aksi sulung skuad negara nanti.

‘‘Ini sesi latihan pertama saya sejak berehat kerana kecederaan lutut. Bengkaknya sudah susut (selepas bertembung dengan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias dalam separuh akhir Piala FA),” katanya selepas sidang akhbar penubuhan Kelab Penyokong Bola Sepak Kebangsaan (NFSC) di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut Akmal Rizal, hanya yang perlu diawasinya sekarang ialah mengelakkan sebarang pertembungan keras seperti insiden di Stadium Shah Alam itu lagi dengan mana-mana pemain selain terus menjalani sesi pemulihan dengan doktor pasukan di Wisma FAM.

Sejak diusung akibat insiden itu sehingga menjalani ujian X-ray dan imbasan gema magnetik (MRI), penyerang Selangor ini tetap kembali ke kem latihan negara yang menempatkan 29 pemain lain ke Piala Asia tetapi sekadar berlatih dan bersenam ringan di luar padang.

Akmal Rizal yang menjaringkan gol tunggal ketika kalah 1-3 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan persahabatan di Petaling Jaya, 21 Jun lalu, bagaimanapun terlepas aksi pemanas badan terakhir skuad negara dengan Jamaica di Bukit Jalil, Khamis lalu.

Dia juga direhatkan ketika Malaysia mengganyang Kemboja 6-0 di Shah Alam pada 18 Jun lalu tetapi bakal bergandingan dengan Hairuddin Omar apabila menentang naib juara 2004, China sebelum menghadapi Uzbekistan, 14 Julai dan bekas juara tiga kali, Iran, empat hari kemudian.

Jurulatih negara, Norizan Bakar biarpun tidak menonjolkan individu tertentu, mengakui, Malaysia masih mengalami ketumpulan dalam sentuhan penyudah terutama ketika menentang UAE dan Jamaica biarpun menguasai perlawanan dan mencipta banyak peluang sepanjang babak kedua.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4uB9S8i8Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tidak perlu pengganti Akmal



ARKIB : 27/06/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, Norizan Bakar menganggap 29 pemain yang ada sekarang sudah memadai untuk meneruskan perjuangan ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Asia dari 7 hingga 29 Julai ini selepas ‘kehilangan sementara’ penyerang utama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Justeru beliau tidak berhasrat untuk memanggil pemain baru untuk menggenapkan bilangan itu biarpun sekadar sebagai rakan sepelatih khususnya di bahagian serangan sementara menantikan Akmal Rizal pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan.

Menurut Norizan, sesi latihan pusat fasa akhir diteruskan di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam tanpa Akmal Rizal yang kini sudah kembali ke kem tetapi masih perlu menjalani rawatan dan pemulihan lututnya yang bengkak akibat pertembungan dalam separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu lalu.

‘‘Hanya masa yang menentukan bilakah dia pulih dan turun berlatih semula menjelang perlawanan pertama kita dengan China (10 Julai ini dalam Piala Asia). Buat sementara itu, kami akan terus menumpukan persediaan pemain lain yang ada sekarang,” kata bekas jurulatih Perlis dan Pulau Pinang ini kepada Utusan Malaysia, semalam.

Senarai 23 pemain utama dan tujuh simpanan skuad negara ke Piala Asia yang meletakkan kita dalam Kumpulan C dengan juara tiga kali - Iran, naib juara 2004 - China dan Uzbekistan, sudah pun didaftarkan dengan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), dua minggu lalu.

Akmal Rizal yang mewakili Selangor ketika itu diusung keluar selepas bertembung dengan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias di Stadium Shah Alam tetapi pemeriksaan pengimbasan gema magnetik (MRI) di Petaling Jaya, kelmarin mengesahkan dia hanya cedera ringan dan boleh ke Piala Asia.

Ketika ini skuad negara memiliki empat lagi pilihan penyerang iaitu gandingan Pahang, Indra Putra Mahyuddin dan Hairuddin Omar, rakan seposisi Akmal Rizal di Selangor - Safee Sali dan Fadzli Shaari serta seorang simpanan, Khyril Muhymeen Zambri dari Kedah.

Mengenai keputusan terbaru Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melarang penampilan lima pemain negara kembali ke pangkuan Kedah dan Perlis bagi menghadapi perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini, Norizan menolak untuk mengulas lanjut mengenainya.

‘‘Mereka yang membuat keputusan itu, biarlah mereka sahaja yang bercakap,” katanya yang enggan menganggap sama ada keputusan itu melegakannya selepas nyaris kehilangan Akmal Rizal, penjaring gol tunggal ketika tewas 3-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam persahabatan, Khamis lalu.

Sementara itu, anak-anak buahnya akan menghadapi ujian terakhir menjelang Piala Asia dengan Jamaica selain berpeluang menguji keadaan padang terbaru Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok setelah ditutup semula sejak perlawanan Piala Malaysia antara Polis dengan Pahang, April lalu.

Sekalipun sekadar persahabatan, aksi malam esok tetap mendesak Norizan menurunkan kesebelasan terkuat dan menjanjikan tentangan sengit apatah lagi dua tuan rumah bersama Piala Asia, Indonesia dan Vietnam telah menewaskan Reggae Boyz 2-1 dan 3-0, baru-baru ini.

Rekod Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menunjukkan Malaysia belum pernah menentang Jamaica yang gagal ke Piala Emas CONCACAF di Amerika Syarikat, baru-baru ini tetapi pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia Perancis 1998.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uAhOFOWO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Akmal berpeluang tampil aksi dalam saingan Piala Asia



ARKIB : 26/06/2007

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

KUALA LUMPUR – Skuad negara boleh menarik nafas lega apabila penyerang utamanya, Akmal Rizal Rakhli disahkan tidak mengalami kecederaan lutut kanan yang teruk sekali gus berpeluang beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Asia, bulan depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Amin berkata, pemeriksaan pengimbasan gema magnetik (MRI) oleh doktor di Pusat Perubatan Kelana Jaya mengesahkan status kecederaan Akmal itu, semalam.

“Laporan doktor mengesahkan kecederaan ringan itu tidak akan menjejaskan peluangnya ke Piala Asia tetapi dia dinasihatkan berehat antara beberapa hari sebelum kembali ke padang,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Hamidin, FAS telah memaklumkan ketua jurulatih negara, Norizan Bakar berhubung perkembangan terbaru Akmal yang bagaimanapun menghalangnya daripada turun menentang Jamaica dalam perlawanan persahabatan, Khamis ini.

Akmal Rizal diusung keluar padang sekali gus mencetuskan kebimbangan skuad negara selepas bertembung dengan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias sehingga tercedera lutut kanan pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Kata Hamidin, FAS sebenarnya berusaha keras untuk memastikan pemain kelahiran Jitra, Kedah itu dapat ke Piala Asia sejurus selepas pertembungan itu dengan mengejarkannya ke pusat perubatan tercanggih di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

“Bukan sahaja demi Selangor bahkan Malaysia, kami mengusahakan supaya kecederaan Akmal diperiksa dengan X-ray yang mendapati tiada keretakan tulang malah kami meneruskan MRI pula bagi kepastian biarpun ketika itu dia didapati sudah boleh berjalan,” kata beliau.

Menurutnya, FAS sudah melakukan yang terbaik untuk Akmal kerana memikul tanggungjawab kepada negara tetapi kini terserah kepada Norizan dan pegawai perubatan skuad negara untuk memutuskan bilakah penyerang Gergasi Merah itu dibenarkan berlatih atau bermain.

Kata Hamidin, FAS tidak pernah berniat untuk membelakangkan kepentingan negara ketika menggunakan khidmat Akmal bagi menghadapi Piala FA apatah lagi soal itu sendiri telah diputuskan oleh FAM pada sesi lampas minda di Kuching Mac lalu.

“Sesi itu memutuskan bahawa mana-mana pemain negara ke Piala Asia, boleh dilepaskan semula ke pasukan mereka jika tiada perlawanan skuad negara atau tidak berlatih di luar negara,” katanya.

Skuad negara bakal ke Piala Asia dengan mengharungi perlawanan pertama Kumpulan C pada 10 Julai ini yang turut mengandungi bekas juara tiga kali, Iran; naib juara 2004, China dan Uzbekistan yang mara ke suku akhir edisi lalu.

Ketika ini kem negara memiliki empat lagi penyerang dalam senarai 23 pemain utama iaitu Indra Putra Mahyuddin, Hairuddin Omar, Safee Sali dan Fadzli Shaari serta seorang simpanan, Khyril Muhymeen Zambri.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uAbopL1v
© Utusan Melayu (M) Bhd

Akmal mangsa kecuaian FAM?



ARKIB : 25/06/2007

NAMPAKNYA persiapan kita yang serba kekurangan bagi menghadapi saingan bola sepak Piala Asia semakin terhimpit gara-gara kecuaian ‘orang-orang kita’ sendiri.

Ketika persiapan pasukan negara untuk menghadapi kejohanan terbesar itu dilihat ala kadar atau sekadar melepaskan batuk ditangga timbul pula masalah sikap berlembut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kelonggaran yang diberi kepada persatuan negeri untuk menggunakan khidmat pemain kebangsaan bagi mengharungi aksi Piala FA akhirnya mengundang padah.

Pemain Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini menjadi mangsa sikap lembut FAM yang memberi pelepasan kepada pemain-pemain kebangsaan.

Tonggak utama negara itu kini mengalami kecederaan yang mungkin memaksanya melupakan hasrat untuk beraksi bulan depan.

Ketika mengumumkan bahawa pemain kebangsaan bebas mewakili pasukan mereka dalam Piala FA minggu lalu, ramai yang tertanya-tanya apa agaknya rasional FAM mengambil keputusan itu.

Malangnya, tidak ada siapa peduli dengan keputusan FAM yang dilihat mahu menjaga hati pegawai pasukan terlibat.

Dengan kecederaan Akmal tentu sekali ia menjejaskan perancangan pasukan kebangsaan.

Ia boleh berlaku kepada lima lagi pemain kebangsaan yang masih terlibat dalam Piala FA.

Mohd. Fauzi Nan, Azi Shahril Azmi (Perlis) bersama Mohd. Fauzi Shaari, Muhammad Khyril Muhymeen dan V. Thirumurugan (Kedah) tentunya tidak mahu nasib yang serupa menimpa mereka apabila beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA 30 Jun ini, tujuh hari menjelang Piala Asia.

Agenda mana yang penting ketika ini - negara atau pasukan negeri ?

Rasanya, selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Norizan Bakar kenalah keluar suara sedikit kerana ia melibatkan pasukannya sendiri.

Di Korea Selatan, jurulatih, Pim Verbeek terpaksa bertikam lidah dengan pihak pengurusan liga dan persatuan bola sepak negara itu, kerana mahu memastikan para pemainnya tidak terlibat dalam aksi terakhir liga yang hanya boleh mengundang kecederaan menjelang Piala Asia.

Tetapi siapalah Norizan berbanding Verbeek, untuk bersuara atau menegur pengurusan FAM walaupun jauh disudut hatinya menyimpan segala kekecewaan.

Masih belum terlewat untuk kita sama-sama membetulkan apa yang mungkin tidak kena ketika ini.

Tekong - Sayang pasukan negara !

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4uASc5Tyl
© Utusan Melayu (M) Bhd