
Akmalkd.jpg.transformed
Akmal anggap KFA ambil tindakan
tepat dengan ketepikan Marcote. -Foto fail
Akmal sokong KFA 'rehatkan'
Marcote
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Keputusan Persatuan
Bolasepak Kedah (KFA) menamatkan khidmat Ramon Marcote sebagai ketua jurulatih
dianggap langkah tepat susulan prestasi kurang memberangsangkan skuad Helang
Merah.
Justeru, bekas pemain Kedah dan
kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli berharap penyokong tidak mempertikai keputusan
itu, sebaliknya menerima dengan hati terbuka demi kebaikan pasukan.
Akmal berkata, jurulatih berasal
dari Sepanyol itu sudah diberi peluang yang cukup untuk membuktikan
kemampuannya, namun gagal mengangkat prestasi Kedah ke tahap lebih tinggi
sebaliknya makin merudum.
"Kedah sudah beraksi dalam
tujuh perlawanan secara keseluruhan termasuk dua aksi Piala FA. Mereka kalah
empat dan sekarang di tangga ketujuh liga dengan enam mata, satu kedudukan yang
tidak menggambarkan pasukan itu sebagai pencabar sebagaimana penyokong
harapkan.
"Lebih mengecewakan, mereka
sudah kehilangan Piala Sumbangsih dan Piala FA. Ini bukan rekod yang cemerlang
bagi seorang jurulatih import, jadi gesaan segelintir penyokong yang masih mahu
beliau dikekalkan tidak boleh diterima.
"Keputusan diambil KFA itu
memang tepat kerana jika lambat bertindak, keadaan pasukan Kedah mungkin lebih
parah yang mana tidak mustahil mereka akan mengakhiri musim ini tanpa sebarang
piala," katanya.
Semalam, Persatuan Penyokong Lang
Merah (LMFA) yang diterajui Wan Syazwan Wan Fadzelah menganggap tindakan KFA ke
atas Marcote sebagai tidak adil,
sebaliknya meminta jurulatih itu terus diberi ruang untuk memperbaiki kelemahan
pasukan berkenaan.
Sebelum ini, Pengarah ECK
Development Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew, selaku penaja utama pasukan itu cuba
'menyelamatkan' Marcote melalui kaedah meraih 'like' melalui laman Facebook
miliknya.
Ginney adalah individu yang
berperanan besar membawa Marcote ke Kedah selepas kaedah meraih sokongan
penyokong melalui Facebook mencapai sasaran.
"Secara terus terang, saya
sebenarnya tidak bersetuju dengan cara dilakukan Ginney itu. Ini bukan
rancangan realiti di mana kita boleh memilih jurulatih melalui undian
penyokong.
"Saya gembira kerana kali
ini KFA mengambil pendirian tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Penyokong
perlu menghargai sokongan Ginney sebagai penaja, namun dalam menentukan hala
tuju pasukan, biarlah pihak pengurusan yang membuat keputusan kerana mereka lebih
arif," katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE