Sabtu, 28 Disember 2019

Akmal perkuat Kedah United


MyMetroNode

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

Alor Setar: Keserasian lima pemain profesional termasuk bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan tiga pemain pasukan Kedah diharap mampu melengkapkan senarai 25 pemain Kedah United yang akan beraksi dalam Liga FAM dan Piala FA 2015.

Pengurus Shaharol Niza Omar berkata, bagi Liga FAM nanti, Kedah United meletakkan sasaran sekurang-kurangnya kedudukan dua pasukan terbaik untuk layak ke Liga Perdana 2016.

“Saya percaya dengan gabungan pemain profesional, berpengalaman dan muda, Kedah United mampu mencapai sasaran ditetapkan.

“Untuk membentuk pasukan mantap, kita perlukan pemain berpengalaman untuk digabung dengan bakat muda.

“Dalam hal ini kami bangga kerana Akmal bersedia menggalas cabaran dan bakal membimbing pemain muda nanti,” katanya pada sidang media di Wisma Kurnia, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah Darul Aman (PBMK) Badrolhisham Hashim.

Shaharol Niza berkata, Mohd Nizat Salleh, Mohd Shukri Fadzil dan Mohd Zulfaizam Khamis bakal memperkukuhkan benteng Kedah United dengan Mohd Farizal Rozali akan membantu melicinkan jentera serangan dikepalai Akmal Rizal.

“Kedah United juga akan diperkuat tiga pemain yang dipinjam dari skuad Kedah, Mohd Ridzuan Rumlee, Wan Mohd Shukri Wan Ahmad dan Mohd Syamim Alif Mohd Sobri,” katanya.

Sementara itu, Shaharol berkata, selain gabungan pemain berwibawa, Kedah United juga akan dibantu bekas penjaga gol Kedah, Ahmad Sobri Ismail sebagai jurulatih penjaga gol pasukan membantu Abdullah Hassan selaku ketua jurulatih.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:02 AM

Ujian getir nanti Akmal


MyMetroArena
 
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
TANGGUNGJAWAB besar menanti bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila diikat pasukan Pulau Pinang sebagai penolong ketua jurulatih.

Lega hasratnya untuk membimbing skuad senior tercapai, dia bertekad membantu Manzoor Azwira Abdul Wahid membentuk skuad terbaik untuk musim 2020.

Katanya, dia sedar harapan pengurusan dan penyokong cukup tinggi apabila pasukan Harimau Kumbang mempamerkan kebangkitan baik musim ini dan hampir layak ke Liga Super.

“Kontrak saya bersama Pulau Pinang selama setahun. Harapan saya untuk membantu ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan bagi membentuk skuad terbaik untuk musim depan.

“Saya setuju bersama P Pinang kerana ketua jurulatih (Mazoor Azwira) sendiri mengajak saya untuk bekerjasama dengan beliau.

“Saya kenal rapat dengan beliau dan pernah bermain bersama ketika dalam pasukan Kedah dan Kuala Muda Naza,” kata bekas ketua jurulatih skuad Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019 Kedah itu.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Akmal Rizal mencari kontrak baru dengan mana-mana pasukan bagi membimbing pasukan belia, presiden ataupun skuad senior.

Akmal Rizal, 37, yang lulus lesen A kejurulatihan bola sepak pada Jun lalu pernah menjadi penolong jurulatih Piala Belia Kedah pada 2017 selain membimbing pasukan tempatan dalam Liga Bola Sepak Kedah serta skuad bawah 17 tahun (B-17) Perlis tahun lalu.

“Perasaan saya gembira dan teruja kerana tanggungjawab ini cukup besar. Ini juga pengalaman pertama saya sebagai jurulatih untuk pasukan Liga Perdana,” katanya yang memiliki akademi bola sepak sendiri iaitu Akmal Rizal Football Academy.

Pulau Pinang menduduki tangga ketiga Liga Perdana 2019 dengan mengumpul 30 mata hasil lapan kemenangan dan masing-masing enam seri dan tewas daripada keseluruhan 20 perlawanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 7:13 PM