ARKIB : 02/07/2007
PETALING JAYA Penyerang
utama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli membawa berita baik buat skuad kebangsaan
menjelang pusingan akhir bola sepak Piala Asia, 10 Julai ini apabila
mengumumkan kepulangannya ke sesi latihan, semalam sejak mendapat cedera lutut
kanan, 24 Jun lalu.
Pemain berusia 25 tahun
kelahiran Jitra, Kedah itu mengakui tidak lagi terasa sakit biarpun ketika
berlari dan memecut dalam sesi latihan di Stadium Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Shah Alam itu sekali gus mencerahkan peluangnya menentang China dalam
aksi sulung skuad negara nanti.
Ini sesi latihan pertama saya
sejak berehat kerana kecederaan lutut. Bengkaknya sudah susut (selepas
bertembung dengan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias dalam separuh akhir
Piala FA), katanya selepas sidang akhbar penubuhan Kelab Penyokong Bola Sepak
Kebangsaan (NFSC) di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Menurut Akmal Rizal, hanya yang
perlu diawasinya sekarang ialah mengelakkan sebarang pertembungan keras seperti
insiden di Stadium Shah Alam itu lagi dengan mana-mana pemain selain terus
menjalani sesi pemulihan dengan doktor pasukan di Wisma FAM.
Sejak diusung akibat insiden
itu sehingga menjalani ujian X-ray dan imbasan gema magnetik (MRI), penyerang
Selangor ini tetap kembali ke kem latihan negara yang menempatkan 29 pemain
lain ke Piala Asia tetapi sekadar berlatih dan bersenam ringan di luar padang.
Akmal Rizal yang menjaringkan
gol tunggal ketika kalah 1-3 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan
persahabatan di Petaling Jaya, 21 Jun lalu, bagaimanapun terlepas aksi pemanas
badan terakhir skuad negara dengan Jamaica di Bukit Jalil, Khamis lalu.
Dia juga direhatkan ketika
Malaysia mengganyang Kemboja 6-0 di Shah Alam pada 18 Jun lalu tetapi bakal
bergandingan dengan Hairuddin Omar apabila menentang naib juara 2004, China
sebelum menghadapi Uzbekistan, 14 Julai dan bekas juara tiga kali, Iran, empat
hari kemudian.
Jurulatih negara, Norizan Bakar
biarpun tidak menonjolkan individu tertentu, mengakui, Malaysia masih mengalami
ketumpulan dalam sentuhan penyudah terutama ketika menentang UAE dan Jamaica
biarpun menguasai perlawanan dan mencipta banyak peluang sepanjang babak kedua.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4uB9S8i8Q
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan