ARKIB : 10/07/2007
SHAH ALAM Di balik setiap
kejayaan lelaki, pasti ada wanita dan Shahira Mohd. Tajudin sentiasa mendoakan
suaminya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mampu melakukan sesuatu untuk menaikkan nama
Malaysia yang akan menentang China di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Isteri penyerang utama negara
ini juga menjanjikan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi kepada seluruh
pasukan apabila mahu hadir menyaksikan perlawanan Kumpulan C pusingan akhir
bola sepak Piala Asia itu nanti.
Kepada abang Akmal Rizal, saya
harap dia terus tumpukan perhatian kepada perlawanan, sentiasa bersungguh-sungguh
dan fikirkan masa depan bola sepak dan cubalah menaikkan nama Malaysia dalam
perlawanan itu.
Saya sekeluarga (termasuk
sepasang cahaya mata mereka, Aleya Sofea Riss, 2, dan Akasha Riss, 11 bulan
amat berharap dia dapat memanfaatkan peluang keemasan dengan mewakili negara
semula selepas dua tahun berehat kerana tercedera.
Doa kami sentiasa bersamanya
dan pasukan negara supaya berjaya dan mampu membuka mata sesiapa yang
menyaksikannya, katanya yang mendirikan rumah tangga dengan penyerang Selangor
ini sejak tiga tahun lalu di kediamannya di sini kepada Utusan Malaysia,
semalam.
Menurut Shahira, 23, bukan
senang untuk Akmal Rizal meraih tempat dalam skuad negara apatah lagi
kesebelasan utama setelah hanya sempat kembali ke gelanggang pada Februari lalu
daripada rehat panjang kerana lututnya dibedah.
Saya berterima kasih kepada
Cikgu Jan (jurulatih negara, Norizan Bakar) kerana masih meyakini kemampuannya
selain Selangor yang tetap mahu mengambilnya bermain dalam Liga Malaysia
setelah banyak pasukan kurang yakin.
Bagi saya yang menyaksikan
dalam perlawanan liga dan persahabatan baru-baru ini, abang Akmal Rizal sudah
banyak meningkat dan makin matang untuk memburu gol, kata bekas pemain hoki
dan pelari 100 meter lari berpagar Kedah ini.
Shahira turut berharap Akmal
Rizal mampu mengulangi sentuhan tepat ke gawang seperti ketika membolosi
Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam persahabatan di Petaling Jaya, 21 Jun lalu
biarpun Malaysia kalah 3-1 - gol sulung antarabangsanya sejak 2004.
Namun saya paling suka
jaringannya ketika Kelayakan Olimpik 2004 yang membawa Malaysia seri 1-1 dengan
China di Wuhan. Lain-lain perlawanan terbaiknya ialah ketika sepakannya yang
terkena palang Manchester United (2001), katanya.
Dia yang bakal mengusahakan
sebuah restoran milik keluarga di Putrajaya tidak lama lagi, bagaimanapun
sentiasa bimbang kalau-kalau Akmal Rizal tercedera memandangkan penyerang
sepertinya sentiasa menjadi sasaran utama pemain pertahanan lawan.
Saya begitu bimbang ketika dia
berlaga sehingga diusung keluar padang dalam separuh akhir Piala FA dengan
Kedah, baru-baru ini. Mujurlah kecederaannya tidak teruk tetapi saya berharap
selepas ini dia mampu mengelakkan bentesan lawan yang berisiko kecederaan.
Walau bagaimanapun, bola sepak
sebuah sukan berpasukan. Tidak perlu bergantung kepada seseorang pemain atau
penyerang sahaja kerana pemain lain skuad negara juga berperanan menjaringkan
gol dan yang penting Malaysia berjaya, katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4uR7Pm9xr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan