Sabtu, 30 September 2017

Tidak perlu pengganti Akmal



ARKIB : 27/06/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, Norizan Bakar menganggap 29 pemain yang ada sekarang sudah memadai untuk meneruskan perjuangan ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Asia dari 7 hingga 29 Julai ini selepas ‘kehilangan sementara’ penyerang utama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Justeru beliau tidak berhasrat untuk memanggil pemain baru untuk menggenapkan bilangan itu biarpun sekadar sebagai rakan sepelatih khususnya di bahagian serangan sementara menantikan Akmal Rizal pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan.

Menurut Norizan, sesi latihan pusat fasa akhir diteruskan di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam tanpa Akmal Rizal yang kini sudah kembali ke kem tetapi masih perlu menjalani rawatan dan pemulihan lututnya yang bengkak akibat pertembungan dalam separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu lalu.

‘‘Hanya masa yang menentukan bilakah dia pulih dan turun berlatih semula menjelang perlawanan pertama kita dengan China (10 Julai ini dalam Piala Asia). Buat sementara itu, kami akan terus menumpukan persediaan pemain lain yang ada sekarang,” kata bekas jurulatih Perlis dan Pulau Pinang ini kepada Utusan Malaysia, semalam.

Senarai 23 pemain utama dan tujuh simpanan skuad negara ke Piala Asia yang meletakkan kita dalam Kumpulan C dengan juara tiga kali - Iran, naib juara 2004 - China dan Uzbekistan, sudah pun didaftarkan dengan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), dua minggu lalu.

Akmal Rizal yang mewakili Selangor ketika itu diusung keluar selepas bertembung dengan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias di Stadium Shah Alam tetapi pemeriksaan pengimbasan gema magnetik (MRI) di Petaling Jaya, kelmarin mengesahkan dia hanya cedera ringan dan boleh ke Piala Asia.

Ketika ini skuad negara memiliki empat lagi pilihan penyerang iaitu gandingan Pahang, Indra Putra Mahyuddin dan Hairuddin Omar, rakan seposisi Akmal Rizal di Selangor - Safee Sali dan Fadzli Shaari serta seorang simpanan, Khyril Muhymeen Zambri dari Kedah.

Mengenai keputusan terbaru Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melarang penampilan lima pemain negara kembali ke pangkuan Kedah dan Perlis bagi menghadapi perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini, Norizan menolak untuk mengulas lanjut mengenainya.

‘‘Mereka yang membuat keputusan itu, biarlah mereka sahaja yang bercakap,” katanya yang enggan menganggap sama ada keputusan itu melegakannya selepas nyaris kehilangan Akmal Rizal, penjaring gol tunggal ketika tewas 3-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam persahabatan, Khamis lalu.

Sementara itu, anak-anak buahnya akan menghadapi ujian terakhir menjelang Piala Asia dengan Jamaica selain berpeluang menguji keadaan padang terbaru Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok setelah ditutup semula sejak perlawanan Piala Malaysia antara Polis dengan Pahang, April lalu.

Sekalipun sekadar persahabatan, aksi malam esok tetap mendesak Norizan menurunkan kesebelasan terkuat dan menjanjikan tentangan sengit apatah lagi dua tuan rumah bersama Piala Asia, Indonesia dan Vietnam telah menewaskan Reggae Boyz 2-1 dan 3-0, baru-baru ini.

Rekod Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menunjukkan Malaysia belum pernah menentang Jamaica yang gagal ke Piala Emas CONCACAF di Amerika Syarikat, baru-baru ini tetapi pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia Perancis 1998.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uAhOFOWO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan