Jumaat, 14 April 2017

Jangan patah semangat -ÊAkmal

ARKIB : 05/03/2004
TEWAS 4-1 kepada Iran dalam perlawanan kelayakan Olimpik zon Asia bagi Kumpulan A di tempat sendiri kelmarin mahu segera dilupakan oleh penyerang bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli.
Sebaliknya, Akmal bertekad mahu menebus kehampaan sambil mengajak rakan-rakan sepasukannya untuk bangkit dengan memenangi perlawanan kedua menentang China 20 Mac depan.
Menurut penyerang berusia 22 tahun itu dia akur dengan keputusan perlawanan kelmarin memandangkan pasukan lawan bukan tandingan Malaysia.
Bagaimanapun, katanya kekalahan itu tidak mematahkan semangat juang untuk mengintai peluang ke sukan Olimpik.
``Memang saya agak kecewa selepas tewas kepada Iran kerana kita menguasai permainan khususnya di babak awal separuh masa pertama.
``Kekecewaan itu akan saya lupakan untuk memberi tumpuan persiapan perlawanan kedua kumpulan menentang China dan baki perlawanan seterusnya.
``Mengenai peluang ke atas China, saya tidak dapat memberikan pandangan kerana kita tidak tahu keupayaan mereka.
``Bagaimanapun kekalahan 1-0 China di tangan Korea Selatan kelmarin memberi sedikit peluang untuk kita menebus kekecewaan selepas kalah dalam perlawanan pertama,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam satu lagi perlawanan kelayakan Olimpik Kumpulan A di Seoul kelmarin, pasukan tuan rumah, Korea Selatan menewaskan China 1-0.
Malaysia tewas 4-1 kepada Iran dalam perlawanan kelayakan Kumpulan A di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya malam kelmarin.
Mengenai perlawanan itu, Akmal berkata hilang tumpuan dan terlalu mengikut rentak lawan antara punca kekalahan.
Menurutnya, keputusan mungkin berubah atau kita berupaya mencuri satu mata jika pemain negara tidak membuat kesilapan yang akhirnya membawa padah.
``Gol pendahuluan (Mohd. Fadzli Saari) membuktikan kita menguasai perlawanan di babak awal separuh masa pertama tetapi selepas itu kerana kita terlalu mengikut rentak lawan yang bermain secara agresif, akhir kita membuat kesilapan yang membawa kepada gol penyamaan.
``Dalam perlawanan di peringkat antarabangsa, kesilapan kecil boleh membawa padah. Inilah yang berlaku dalam perlawanan kelmarin,'' katanya.
Sementara itu, Iran mengungguli Kumpulan A selepas berkongsi mata dengan Korea Selatan manakala China dan Malaysia belum mengutip sebarang mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan