Isnin, 11 September 2017

Akmal belum sedia 90 minit



ARKIB : 05/01/2007
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR – Penyerang negara yang dibelenggu kecederaan sekian lama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menikmati 15 minit persaingan Liga Super kelmarin tetapi mengakui belum bersedia untuk bermain sepenuh masa selepas ini.

Ayam tambatan baru Selangor ini yang sudah hampir pulih daripada kecederaan lutut, menemui semula sentuhan, keyakinan dan kawalan bola yang dirinduinya kerana berehat hampir tujuh bulan dari gelanggang bola sepak.

“Sakit lutut masih terasa sedikit tetapi yang penting, keyakinan di padang sudah diperoleh dalam perlawanan sebenar dengan menentang Sarawak (menang 2-1 di Stadium Shah Alam),” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Penyerang kelahiran Jitra, Kedah berusia 25 tahun ini, masuk menggantikan Hadi Yahya pada minit ke-76, bagaimanapun tidak berpeluang membuat sebarang percubaan berbahaya ke gawang Sarawak.

Kehadirannya lebih bersifat pengumpan tumpuan pemain lawan sehingga membolehkan Amri Yahyah menemui ruang luas untuk menanduk masuk sepakan percuma ketua pasukan sementara Gergasi Merah Kuning, D. Surendran pada minit ke-82.

Tanpa Shukor Adan, Safiq Rahim dan Fadzli Saari yang menjalani latihan skuad negara, Selangor juga membuka gol menerusi pemain muda, Razman Roslan pada minit ke-55 dengan rembatan voli yang muntah daripada sepakan sudut Surendran.

Kata Akmal Rizal, dari segi fizikal dan mental, dia sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan berikutnya tetapi terserah kepada jurulatih Dollah Salleh untuk memutuskan yang terbaik untuknya dan pasukan.

Selangor yang kini menghuni tangga ketiga liga, akan bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, esok. Tuan rumah merupakan salah satu pasukan yang belum kalah selepas empat perlawanan dan menduduki tangga kedua.

“Mungkin hanya pada bulan depan, saya boleh bermain sepenuh masa. Buat sementara itu saya masih menjalani fisioterapi dan latihan angkat berat di gimnasium untuk mencapai tahap pulih 100 peratus,” katanya.

Sebelum ini, dia bermain 90 minit malah sempat menjaringkan satu gol dalam satu perlawanan persahabatan dengan PKNS dan Selangor mengadakan satu lagi aksi pemanas badan dengan Felda United di Bangi, semalam.

Akmal Rizal turut mengidam kembali ke pangkuan skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia di Kuala Lumpur, Julai ini setelah kali terakhir beraksi untuk negara pada Kelayakan Piala Dunia 2004 menentang China.

Gandingannya di barisan depan yang juga bekas pemain Kuala Lumpur dan Sarawak, Safee Sali dan dinanti-nantikan kepulangannya selepas lututnya dibedah, dijangka dapat diturunkan kali pertama Mac ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4sMm2jScQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan