ARKIB : 26/09/2002
Daripada AINOL AMRIZ ISMAIL
BUSAN - Skuad bola sepak negara
tidak mempunyai pilihan selain melupakan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang
mengalami kecederaan pada bahagian hamstring di paha kanannya dan bertindak
segera memanggil pemain Pulau Pinang, Hasmawi Hassan untuk menggantikannya
dalam tugas penting apabila menentang Oman di Sukan Asia XIV Busan ini.
Hasmawi berlepas ke Busan malam
tadi bersama Pengurus Pasukan, Datuk Dr. Ibrahim Saad dan Ketua Kontinjen,
Datuk Khalid Yunus, selain kumpulan besar kontinjen negara ke temasya Sukan
Asia ini.
Menurut pegawai FAM di sini,
Mohd. Saifuddin Abu Bakar, perkara itu dibuat selepas mendapat pandangan
jurulatih, Allan Harris, yang melihat keadaan Akmal kelmarin serta melahirkan
rasa kecewa di atas apa yang berlaku.
Katanya, Akmal akan dirujuk
kepada bahagian perubatan Majlis Sukan Negara (MSN) sebaik sahaja Dr. Ramlan
Aziz tiba di sini, hari ini.
Akmal kini direhatkan daripada
sesi latihan dan proses pemulihan kecederaan hamstringnya sudah pasti memakan
masa yang lama.
Kelmarin, Harris berkata, apa
yang berlaku ke atas Akmal merupakan satu tamparan kepada pasukan, yang ketika
ini mengharapkan kejayaan di Sukan Asia Busan ini.
Sementara itu di Kuala Lumpur,
Dr. Ibrahim mengesahkan bahawa penyerang skuad Perdana Satu Pulau Pinang,
Hasmawi akan menggantikan tempat Akmal.
Hasmawi sebelum ini adalah antara
enam pelatih yang digugurkan daripada senarai 20 pemain yang akan beraksi di
Busan, bermakna dia sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri
dengan strategi pasukan.
Menurut Dr. Ibrahim, nama Hasmawi
masih boleh disenaraikan kerana pendaftaran pemain masih terbuka sehingga
mesyuarat pengurus-pengurus pasukan hari ini.
``Saya terkilan dengan nasib yang
menimpa Akmal. Kecederaannya saya rasakan satu tamparan kepada skuad negara,''
kata Dr. Ibrahim semalam.
``Kita jangka dia akan menjadi
antara pemain yang menonjol di Busan nanti setelah dia mula menunjukkan mutu
permainan seperti ketika baru pulang daripada latihan di Perancis dulu,''
jelasnya.
Ketiadaan Akmal, yang pernah
menjalani latihan sambil bermain dengan FC Haguneau, meninggalkan barisan
serangan kepada penjaring terbanyak Perdana Satu, Khalid Jamlus dan Hairuddin
Omar yang baru kembali daripada kecederaan.
``Tetapi kita masih mempunyai
Khalid dan Hairuddin. Hasmawi juga boleh memikul tugas mengganti Akmal,'' ujar
Dr. Ibrahim. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cKzDPFgz©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan