Khamis, 16 Mac 2017

Akmal ketepikan kritikan



ARKIB : 10/03/2001
HONG KONG - Akmal Rizal Ahmad Rakhli, penyerang berusia 19 tahun yang menjalani latihan sambil bermain dengan FC Haguenau di Perancis telah mengetepikan segala kritikan ke atas dirinya dengan mempamerkan persembahan mengagumkan ketika membantu skuad negara menang 2-0 ke atas Hong Kong dalam kelayakan bola sepak Piala Dunia di sini kelmarin.

Akmal menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-47 dan 79 dengan gaya yang memukau pasukan lawan serta para penyokong mereka, sekali gus menangkis kritikan yang memandang remeh hasil latihannya di Perancis.

Gol pertama Akmal adalah yang tercantik di sini setakat ini apabila dia melambungkan bola dari jarak 20 meter dengan kaki kanan setelah menyaksikan penjaga gol Hong Kong, Xiao Guoji terkeluar dari posisi, selepas menerima hantaran Hairuddin Omar.

Jaringan keduanya tidak kurang menarik apabila membuat pusingan 180 darjah di hujung kotak penalti untuk melepaskan rembatan kaki kiri hasil peluang yang dibuka oleh pertahanan, B. Rajanikandh.

Jurulatih negara, Allan Harris berkata, keyakinannya bahawa Akmal perlu terus diberikan peluang untuk membuktikan kemampuannya terbukti kelmarin dengan dua jaringan itu.

``Dia tidak bermain bagus pada perlawanan pertama (dengan Qatar) tetapi kita mesti memberikan peluang untuknya,'' kata Harris, semalam.

Menurutnya, Akmal adalah seorang pemain yang sentiasa berfikiran positif.

``Sebelum perlawanan, dia telah meletakkan sasaran. Dia telah menulis `First Goal' pada bajunya. Saya suka kerana dia adalah seorang pemain yang sentiasa berfikiran positif,'' puji Harris.

Katanya lagi, setiap kali dia menyaksikan Akmal bermain,dia nampak pemain dari Kedah itu menunjukkan peningkatan. Akmal ke Hong Kong berbekalkan 11 gol dalam liga bahagian empat Perancis setakat ini.

Perlawanan kelmarin juga menjanjikan masa depan lebih baik kepada bola sepak negara terutama menjelang temasya Sukan SEA, September ini, yang dikhususkan untuk pemain-pemain di bawah 23 tahun.

Dalam perlawanan itu, Harris, yang mengendalikan skuad sejak dua bulan lepas, menyenaraikan tiga pemain muda berusia 20 tahun, iaitu rakan Akmal di Haguenau, Juzaili Samion, Irwan Fadli Idrus, Norhafiz Zamani Misbah, kesemuanya mendapat cap antarabangsa pertama.

``Semua pemain muda yang diberikan aksi antarabangsa sulung telah menunjukkan permainan memberangsangkan,'' kata Harris. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bU8NoLcI© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan