Sabtu, 25 Mac 2017

Khidmat Akmal Rizal terpaksa dilupakan



ARKIB : 26/09/2002
Daripada AINOL AMRIZ ISMAIL
BUSAN - Skuad bola sepak negara tidak mempunyai pilihan selain melupakan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang mengalami kecederaan pada bahagian hamstring di paha kanannya dan bertindak segera memanggil pemain Pulau Pinang, Hasmawi Hassan untuk menggantikannya dalam tugas penting apabila menentang Oman di Sukan Asia XIV Busan ini.

Hasmawi berlepas ke Busan malam tadi bersama Pengurus Pasukan, Datuk Dr. Ibrahim Saad dan Ketua Kontinjen, Datuk Khalid Yunus, selain kumpulan besar kontinjen negara ke temasya Sukan Asia ini.

Menurut pegawai FAM di sini, Mohd. Saifuddin Abu Bakar, perkara itu dibuat selepas mendapat pandangan jurulatih, Allan Harris, yang melihat keadaan Akmal kelmarin serta melahirkan rasa kecewa di atas apa yang berlaku.

Katanya, Akmal akan dirujuk kepada bahagian perubatan Majlis Sukan Negara (MSN) sebaik sahaja Dr. Ramlan Aziz tiba di sini, hari ini.

Akmal kini direhatkan daripada sesi latihan dan proses pemulihan kecederaan hamstringnya sudah pasti memakan masa yang lama.

Kelmarin, Harris berkata, apa yang berlaku ke atas Akmal merupakan satu tamparan kepada pasukan, yang ketika ini mengharapkan kejayaan di Sukan Asia Busan ini.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Dr. Ibrahim mengesahkan bahawa penyerang skuad Perdana Satu Pulau Pinang, Hasmawi akan menggantikan tempat Akmal.

Hasmawi sebelum ini adalah antara enam pelatih yang digugurkan daripada senarai 20 pemain yang akan beraksi di Busan, bermakna dia sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan strategi pasukan.

Menurut Dr. Ibrahim, nama Hasmawi masih boleh disenaraikan kerana pendaftaran pemain masih terbuka sehingga mesyuarat pengurus-pengurus pasukan hari ini.

``Saya terkilan dengan nasib yang menimpa Akmal. Kecederaannya saya rasakan satu tamparan kepada skuad negara,'' kata Dr. Ibrahim semalam.

``Kita jangka dia akan menjadi antara pemain yang menonjol di Busan nanti setelah dia mula menunjukkan mutu permainan seperti ketika baru pulang daripada latihan di Perancis dulu,'' jelasnya.

Ketiadaan Akmal, yang pernah menjalani latihan sambil bermain dengan FC Haguneau, meninggalkan barisan serangan kepada penjaring terbanyak Perdana Satu, Khalid Jamlus dan Hairuddin Omar yang baru kembali daripada kecederaan.

``Tetapi kita masih mempunyai Khalid dan Hairuddin. Hasmawi juga boleh memikul tugas mengganti Akmal,'' ujar Dr. Ibrahim. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cKzDPFgz© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan