ARKIB : 19/06/1999
MUHAMMAD Khalid Jamlus (No. 10) menerima ucapan
tahniah rakan sepasukan, Mohd. Shawal Johadi (8) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli
selepas menjaringkan gol keduanya ke atas Filipina pada perlawanan bola sepak
pra-Olimpik di Stadium Hong Kong, semalam. Malaysia menang 6-1. - Gambar
Reuters.
HONG KONG - Malaysia menunaikan janjinya apabila
menewaskan pasukan bukan pilihan, Filipina 6-1 pada perlawanan bola sepak
pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik Kumpulan Enam Asia di Stadium Hong
Kong, semalam.
Jaringan Muhammad Khalid Jamlus (minit 27 dan 30),
Akmal Rizal Ahmad Rakhli (minit 37 dan 89), M. Gopalan (minit 65) dan Chow Chee
Weng (minit 80) mencerahkan harapan Malaysia menduduki tempat kedua di belakang
Jepun yang menguasai pusingan pertama. Gol tunggal Filipina dijaringkan
Richmond Braga pada minit ke-47.
Malaysia yang sebelum ini tewas 4-0 kepada Jepun dan
seri 2-2 dengan Hong Kong akan bertemu Nepal esok.
Enam minit pertama semalam milik Malaysia yang
mengasak kubu Filipina bermula dengan rembatan kencang Khalid dari luar kotak
penalti. Selepas beberapa kali mencuba, Khalid memastikan Malaysia di hadapan
selepas berjaya melepasi halangan David Dan Orbeta sebelum merembat dari jarak
25 meter mengatasi penjaga gawang, Romeo Francis Paranpan pada minit ke-27.
Khalid menambah jaringan tiga minit kemudian apabila
menyambar hantaran ke belakang Dan Padernal diikuti rembatan Gilbert Cassedy
Gawing yang terkena palang sebelum ditanduk masuk Akmal Rizal pada minit ke-37.
Babak kedua agak mencemaskan apabila gerakan penyerang
Filipina, Leigh James Gunn memaksa penjaga gol Malaysia, Megat Amir Faisal
Ibrahim keluar dari kawasan kotak penalti untuk menyelamatkan kubu tetapi bola
terkena tangan.
Pengadil U Tin Aung (Myanmar) memberikan sepakan
percuma kepada Filipina yang disudahi tendangan cantik yang masuk ke dalam
gawang Malaysia pada minit ke-47.
Filipina tertekan dan Wilson Dela Cruz menjatuhkan
Akmal Rizal dalam kotak penalti Filipina. Gopalan mudah menyumbat masuk
tendangan penalti pada minit ke-65 untuk mendahului 4-1.
Malaysia terus ghairah menambah jaringan. Sepakan
Gilbert tidak disia-siakan Chow yang menanduk masuk gol minit ke-80. Akmal
Rizal memperdaya dua pemain Filipina, Wilson dan Percian Temporosa untuk
menolak masuk jaringan seminit sebelum tamat permainan dengan kedudukan
kedudukan 6-1.
Jepun pula melengkapkan perlawanan pusingan pertama
dengan kemenangan 4-1 ke atas Hong Kong.
Gol Jepun dijaringkan oleh Shunfuke Nakamura (minit
ketujuh), Shinji Ono (15), Kota Yoshihara (44) dan Yoshiteru Yamashita minit ke-75.
Gol tunggal Hong Kong dijaringkan oleh Poon Man-chun minit ke-89. - Utusan.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan