SHAH ALAM Penyerang negara,
Akmal Rizal Ahmad Rakhli masih belum berpuas hati dengan tahap kecergasan dan
persembahannya sekalipun sempat menjaringkan gol sulungnya dalam persaingan
bola sepak Liga Super musim ini.
Masuk menggantikan Amirulhadi
Zainal pada minit ke-71, penyerang Selangor ini turut menganggap banyak kerja
keras perlu dilakukannya jika mahu meningkat sekali gus merebut semula tempat
kesebelasan utama.
Sukar untuk saya kembali ke
tahap 100 peratus cergas selepas enam minggu berehat kerana kecederaan
hamstring tetapi sekurang-kurangnya kemasukan 20 minit terakhir dan jaringan
sulung itu satu langkah awal untuk memulihkannya, katanya.
Akmal, anak jati Jitra, Kedah
menjaringkan gol terakhir Selangor untuk menewaskan Polis 4-1 menerusi serangan
balas pantas Gergasi Merah pada minit kecederaan babak kedua selepas menggantikan
Amirulhadi Zainal.
Safee Sali mencipta hatrik di
Stadium Shah Alam, kelmarin pada minit ke-14, 28 dan 37 tetapi terpaksa
dikeluarkan dan digantikan oleh R. Surendren kerana kecederaan buku lali
sementara Hillary Echesa menyumbat gol tunggal pelawat.
Kata Akmal, peningkatan
prestasi Indra Putra Mahayuddin, Frank Seator dan Safee turut mencipta
persaingan yang lebih sengit baginya dalam memikat hati jurulatih Dollah Salleh
menyenaraikannya.
Walau siapa pun yang bermain,
ia terserah kepada jurulatih tetapi saya bertekad untuk mendapatkan momentum
bagi satu demi satu perlawanan terlebih dulu, selepas ini, katanya yang telah
melalui musim kedua bersama Selangor.
Kemenangan kelima ini
melonjakkan Selangor ke tangga kedua untuk mengekori Kedah dalam Liga Super
sambil mengumpul 16 mata selepas mengharungi lapan perlawanan sementara Polis,
juara Liga Perdana musim lalu, berada di tempat kesembilan.
Sementara itu, Dollah menjangka
kecederaan Safee kurang serius dan mungkin masih mampu pulih menjelang
perlawanan seterusnya dalam menghadapi Terengganu di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, esok.
Kami hanya tidak dapat
menurunkan Amri Yahyah yang masih dirawat kerana menghidap demam denggi dan
perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu selain P. Gunalan yang digantung
perlawanan kerana mendapat kad kuning kedua, katanya.
Mengenai ketidakpuasan hati
Polis yang menyifatkan Selangor tidak mengamalkan permainan adil sehingga
meraih gol pertama, kata Dollah, ia bergantung kepada pertimbangan pengadil dan
pemain sendiri untuk menentukannya.
Seorang pemain Polis masih
terbaring kerana kecederaan manakala rakan mereka belum bersedia sedangkan tuan
rumah masih meneruskan permainan menerusi satu lontaran ke dalam sehingga Safee
merampas bola dan meledakkan jaringan.
Mungkin pemain saya merasakan
keadaan kecederaan itu tidak serius lalu meneruskannya, begitu juga pengadil.
Jika Polis membantah pun, mereka perlu merujuk kepada pengadil. Benda telah
berlaku dan keputusan muktamad, katanya.
Kem Polis turut menghalang
pemain mereka daripada bersalaman dengan lawan selepas perlawanan malah
pengurus pasukan Polis, Mohd. Gifari Wari pula mempersoalkan, apa makna
permainan adil? Pemain kami masih tercedera tetapi permainan tidak
diberhentikan. Inikah permainan adil?
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4w8d3dIQ3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Semangat juang julang Kedah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan