ARKIB : 25/02/2006
Oleh: SAYED HESHAM IDRIS
KUALA LUMPUR - Penyerang
kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjelaskan dia berasa cukup lega apabila
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akhirnya `meleraikan ikatan' dengannya
kelmarin.
Menurut Akmal, 24, yang
mengubah haluan karier ke luar negara gara-gara gagal melepasi ujian kecergasan
Ujian Cooper yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dia amat
berterima kasih kepada Pengurus Kedah, Datuk Ahmad Basri Akil yang memahami
kedudukannya.
``Walaupun sudah `dibebaskan',
saya belum menerima hitam putih dari pihak pengurusan. Esok (hari ini) saya
mungkin akan bertemu Datuk (Ahmad Basri) untuk membincangkan mengenai penamatan
kontrak.
``Saya berterima kasih kepada
KFA yang memahami keadaan dan kehendak saya demi masa depan bola sepak saya. Kini
saya sudah boleh memikirkan haluan baru walaupun belum menetapkan untuk
mewakili mana-mana kelab,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Akhbar semalam melaporkan KFA
akhirnya sedia melepaskan Akmal yang seolah-olah sudah tawar hati dan hilang
keyakinan untuk melakukan ujian Cooper sekali lagi selepas gagal tujuh kali.
KFA terpaksa akur dengan
keputusan Akmal Rizal selepas FAM sendiri tetap bertegas dengan penjelasan yang
sama walaupun berkali-kali dirayu supaya Akmal dibenarkan beraksi semula
bersama Kedah.
Tambah Akmal, dia juga
berterima kasih kepada rakan sepasukan yang memahami keadaannya dan banyak
memberi sokongan apabila membuat keputusan berhijrah ke kelab luar.
``Isteri saya juga banyak
memberi dorongan di saat saya dalam dilema untuk membuat keputusan beraksi di
luar negara. Dalam pasukan Kedah pula yang, Haswawi (Hassan) mungkin pemain
yang paling terasa ketiadaan saya. Dia juga merupakan pemain paling rapat
dengan saya ,'' katanya.
Tegas Akmal lagi, keputusan
nekad untuk meninggalkan saingan bola sepak tanah air bukan disebabkan dia
berkecil hati atau merajuk gara-gara gagal Ujian Cooper, tetapi demi masa depan
kariernya.
``Saya sudah sembilan bulan
tidak beraksi dan sudah tidak sabar-sabar untuk meneruskan karier di luar
negara.
``Saya bercadang untuk beraksi
dua atau tiga tahun di luar negara dan berjanji akan kembali semula ke saingan
liga tempatan,'' katanya yang tetap mengimpikan tempat dalam pasukan
kebangsaan.
Mengenai kelab mana yang akan
diwakilinya, Akmal berkata dia belum dapat membuat keputusan dan akan
mengadakan sidang akhbar sejurus dia sah menyertai kelab luar negara.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kn7XU81m
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan