ARKIB : 10/10/2005
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
KUALA TERENGGANU - Terengganu
dikatakan berminat mendapat khidmat dua bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal
Rakhli dan Mohd. Nizaruddin Yusof bagi memperkuatkan barisan serangan
menghadapi musim bola sepak Liga Malaysia 2005/06.
Difahamkan, gandingan dua
penyerang itu disebut-sebut sebagai pilihan terbaik bagi mengatasi masalah
ketandusan gol yang dihadapi skuad Penyu musim lalu.
Pasukan itu dijangka tidak
menghadapi masalah mendapatkan khidmat Mohd. Nizaruddin selepas kelabnya,
Public Bank menarik diri dari saingan musim depan, manakala Akmal dikatakan
sedia berpindah dari Kedah.
Jika perpindahan itu menjadi
kenyataan, Terengganu bakal memiliki dua penyerang yang berkebolehan dan pernah
menjadi perhatian dalam liga tempatan satu ketika dahulu.
Musim lalu, jentera serangan
pasukan itu diterajui penyerang import, Dos Santos yang telah ditamatkan
kontrak baru-baru ini, serta dua penyerang senior, Sapian Wahid dan Norizam Ali
Hassan.
Pengurus pasukan itu, Sheikh
Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengesahkan
sebarang usaha Terengganu mendapatkan kombinasi Akmal-Mohd. Nizaruddin.
Dalam nada berteka-teki beliau
berkata, pasukan itu sememangnya mencari penyerang tempatan dan sedia mengambil
mana-mana pemain termasuk Akmal dan Mohd. Nizaruddin, jika mereka dapat
memenuhi keperluan perancangan pasukan itu.
``Kedua-duanya memang antara
penyerang terbaik dan semua pasukan pastinya berminat mendapatkan mereka.
Tetapi banyak faktor lain yang perlu diberi perhatian termasuk kecergasan dan
masalah kecederaan mereka.
``Kita bersikap terbuka dan
akan sentiasa menilai pemain-pemain yang berkebolehan serta menepati kehendak
kita. Masih terlalu awal untuk memperkatakan sama ada kedua-dua penyerang itu
akan bersama Terengganu musim depan,'' katanya.
Sheikh Ahmad Tajuddin mengakui,
ada beberapa pemain tempatan yang menawarkan diri untuk menyarung jersi
Terengganu dan sedang meneliti kemampuan pemain-pemain terbabit.
``Antara yang berminat termasuk
pemain yang cukup dikenali dalam saingan liga negara ini. Tetapi buat masa ini
biarlah saya rahsiakan kerana mereka masih mempunyai baki kontrak dengan
pasukan mereka,'' katanya.
Mengenai pemain import pula,
beliau memberitahu, pihaknya telah dihubungi oleh beberapa pemain dari Brazil,
Croatia, Argentina dan negara-negara Afrika.
Ujarnya, salah seorang adalah
penyerang kelab juara liga Brazil, Santos dan telah menjaringkan 38 gol dalam
60 perlawanan.
``Terengganu akan memulakan
latihan pada 18 Oktober ini dan ketika itu kita akan mula melihat corak
permainan mereka dan memilih pemain yang sesuai,'' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j7AXYgxV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan