Isnin, 1 Mei 2017

Bawa pulang Piala Malaysia - Kedah bukan main-main

ARKIB : 01/12/2004
TIADA `ihsan' buat Perlis sekalipun lawan mereka di perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini, Kedah disifatkan abang kepada pasukan Singa Utara itu, demikian pendapat penyerang sensasi, Akmal Rizal Rakhili.
Akmal yang terpaksa melupakan hasrat membantu Kedah dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini kerana kecederaan buku lali kanan, percaya Kedah tetap menganggap Perlis sebagai `seteru' di perlawanan akhir kelak.
Katanya, tiada istilah `belas ihsan' dalam bola sepak sekalipun Perlis adalah pasukan jiran.
Sebaliknya, kata Akmal, Kedah berazam untuk membawa semula Piala Malaysia ke negeri Jelapang Padi itu.
``Sekalipun Kedah dan Perlis adalah pasukan jiran, pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan liga sentiasa sengit.
``Itulah yang saya jangkakan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia edisi kali ini.
``Jika Perlis mahukan Piala Malaysia kerana mereka belum pernah memenanginya, Kedah pula cukup bersemangat kerana para pemain muda dalam pasukan juga belum pernah menjulang kejuaraan tersebut.
``Saya percaya perlawanan akhir kali ini begitu menarik dan pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan muncul juara,'' katanya.
Gol jaringan pemain tengah, Mohd. Khairul Ismail pada minit ke 69 membuka laluan kepada Kedah menewaskan Sabah 1-0 dalam pertembungan separuh akhir, Sabtu lalu.
Akmal, 23, tonggak Kedah tidak beraksi sejak suku akhir Piala Malaysia akibat kecederaan buku lali kanan yang menyebabkan ia terpaksa dibedah.
Penyerang kebangsaan itu terpaksa berehat sehingga awal tahun depan sebelum boleh kembali beraksi.
Akmal tetap yakin Kedah bakal mengembalikan kegemilangan era 80 an dengan memenangi Piala Malaysia kali ini.
Menurutnya, tiada siapa yang menduga Kedah yang terumbang-ambing dalam saingan Liga Super mampu bangkit dalam kempen Piala Malaysia setelah mendapat sentuhan jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah.
Lantaran itu, katanya, rekod tiga kemenangan Perlis dalam saingan liga tidak boleh dijadikan ukuran keupayaan Kedah dalam perlawanan akhir kelak.
``Kedah sebelum dan selepas kempen Piala Malaysia adalah satu pasukan yang cukup berbeza. Kedah membuktikan mereka bangkit dari kelesuan saingan liga dengan mara ke akhir Piala Malaysia.
``Kejayaan Perlis menundukkan Kedah dalam ketiga-tiga perlawanan liga bukan lagi ukuran sebaliknya ia mampu diubah di perlawanan akhir kelak,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan