Jumaat, 5 Mei 2017

Akmal lari ke Perak

ARKIB : 24/12/2004

PENYERANG kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bakal menyarung jersi Perak musim depan dan akan mengikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) selepas kontraknya dengan Kedah tamat hujung bulan ini.
Pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, Akmal sudah menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi skuad Seladang ketika pertemuan antara beliau dengan pemain itu baru-baru ini.
PFA, kata Jamal, akan membayar gaji Akmal dengan jumlah yang serupa dengan pemain import Perak jika penyerang berusia 23 tahun itu bersetuju ke Ipoh.
``Jika tiada aral, kita akan dapat khidmat Akmal musim depan. Saya cuma harap KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) melepaskan beliau selepas kontraknya tamat,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jamal berkata, penyerang hebat seperti Akmal diperlukan oleh Perak untuk memperkuatkan barisan serangan skuad Seladang bagi mengharungi kejohanan antarabangsa yang disertai Perak musim depan iaitu Liga Juara-Juara Asia.
``Kita perlukan penyerang bertaraf bintang untuk mengimbangi kehebatan kelab luar lain apabila bertanding di peringkat antarabangsa seperti Liga Juara-Juara Asia.
``Akmal adalah penyerang terbaik di Malaysia ketika ini dan sudah tentu ia memberi satu semangat tinggi kepada pasukan apabila kami turun menentang sesiapa sahaja,'' katanya.
Akmal kini sedang berehat selepas menjalani pembedahan buku lali. Dia terlepas beraksi untuk Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perlis 4 Disember lepas.
Kempen Piala Tiger 2004 yang sedang berlangsung turut gagal menggunakan khidmat penyerang licik itu.
Dalam kempen Liga Super musim ini, Akmal muncul penjaring kedua terbanyak untuk Kedah dengan tujuh gol di belakang penyerang import Kenari, Marcos Magno yang menjaringkan 11 gol.
Kedah bagaimanapun gagal mengekalkan kedudukan dalam Liga Super apabila menamatkan kempen di tangga tercorot dan tersingkir ke Liga Perdana.
Kenari hanya mencatat empat kemenangan, tiga seri dan 14 tewas daripada keseluruhan 21 perlawanan.
Begitupun, Kedah bermain cemerlang dalam Piala Malaysia sehingga mara ke akhir sebelum tunduk kepada Perlis.
Selain Akmal, seorang lagi penyerang Kedah, Rafdi Rashid turut berhijrah ke Perak musim depan.
Perak kehilangan penyerang yang juga penjaring terbanyak Liga Perdana Satu musim lepas, Khalid Jamlus yang berhijrah ke Selangor.
Selain itu seorang lagi penyerangnya, V. Saravanan turut dikatakan bakal berhijrah ke pasukan lain musim depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan