
Akmal Rizal Ahmad Rakhli
ARKIB : 19/10/2010
Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
KOTA BHARU Ketika Persatuan
Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan mengambil khidmat bekas penyerang
kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, ramai peminat The Red Warriors ragu-ragu
dan menggelengkan kepala.
Suara-suara sinis kedengaran
mempersoalkan keputusan tersebut.
Bagi segelintir peminat, Akmal
hanyalah sejarah dan dia bukan lagi pemain yang suatu ketika dulu bermain
dengan kelab bola sepak di Perancis.
Harapan besar penyokong untuk
melihat Kelantan menjuarai sekurang-kurangnya satu piala musim ini mendorong
keinginan mahu penyerang yang terbaik.
Bagaimanapun, Kelantan menutup
kempen Liga Super sebagai naib johan, namun prestasi Akmal ketika itu tidaklah
boleh dikatakan hebat.
Bagaimanapun, berbeza apabila
bermulanya saingan Piala Malaysia, Akmal mula menunjukkan taringnya. Mulut
pengkritik dikunci rapat melalui persembahannya di atas padang.
Enam gol yang dijaringkan setakat
ini menjadikan pemain berusia 29 tahun ini pujaan peminat, malah status sebagai
penjaring terbanyak yang dipegang setakat ini membuatkan tumpuan terarah kepada
Kelantan untuk dinobatkan sebagai juara pada edisi ke-84 saingan itu.
Bermula dengan jaringan ketika
aksi menentang PKNS Kelana Jaya 17 September lalu, Akmal tidak lagi menoleh ke
belakang apabila terus mencatatkan nama selaku penjaring utama The Red Warrios.
Terbaru, pada aksi suku akhir
kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, Akmal terus menjadi duri dalam daging
buat pasukan lawan apabila jaringannya pada minit ke-24 dan lambungan cantiknya
kepada Mohd. Badri Radhi di minit ke-79 mengakibatkan Gergasi Merah tumbang dek
amukan Sang Kijang.
Akmal ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini berkata, kemenangan ke atas juara 32 kali Piala Malaysia,
Selangor adalah hadiah berharga buat seluruh pemain, pengurusan dan peminat
setia The Red Warriors.
Menurutnya, kejayaan tersebut
akan terus dijadikan sebagai pembakar semangat buatnya dalam usaha membantu
Kelantan layak ke perlawanan akan akhir dan muncul juara Piala Malaysia buat
kali pertama.
Untuk perlawanan seterusnya saya
akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kerana saya mula mendapat rentak yang
dicari-cari sebelum ini.
Di awal musim lalu, saya akui,
saya masih lagi tercari-cari rentak tersebut, namun hasil kerjasama dan
persefahaman baik dalam pasukan akhirnya saya mendapat semula sentuhan
tersebut, katanya.
Tambahnya, inilah masa terbaik
buat dirinya untuk membuktikan sesuatu kepada pasukan.
Ini adalah usaha saya untuk
membina kekuatan diri. Bagi saya kritikan peminat kepada saya sebelum ini, saya
anggap ia sebagai sesuatu yang positif," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_14.htm#ixzz5cwnuDf3Z
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan