ARKIB : 21/08/2008

Akmal Rizal
KUALA LUMPUR Malang, seribu kali malang buat penyerang Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila terpaksa melupakan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Kedah, Sabtu ini gara-gara kecederaan lama lutut kanannya yang berulang.
Sudahlah kempunan menjulang Piala FA, Mei lalu dan hanya mampu memanaskan bangku simpanan, aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil ini pula sekadar dapat ditontonnya sebagai pemerhati dari luar padang apatah lagi dengan menentang negeri kelahirannya.
Cukup hampa kerana sepatutnya inilah perlawanan akhir Piala Malaysia pertama saya setelah tidak berpeluang turun ketika Selangor kalah Piala FA. Saya tercedera sejak separuh akhir pertama di Shah Alam lalu, katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Akmal Rizal yang kerap turun selaku penyerang gantian minit akhir dengan berjersi nombor 14 Gergasi Merah, pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan pada bahagian yang pernah dibedah itu memerlukan pemulihan selama dua minggu lagi.
Walaupun tidak dapat bermain, saya tetap mendoakan kejayaan buat pasukan Selangor kerana sebagai pemain simpanan pun, saya tetap akan beroleh pingat kejuaraan jika kami menewaskan Kedah, katanya yang masih menjalani senaman ringan di gimnasium.
Mengenai pertembungan bagi edisi pertandingan ke-82 ini, katanya, peluangnya 50-50 kepada kedua-dua pasukan. Tiada kelebihan gelanggang sendiri walaupun Selangor lebih dekat dengan Bukit Jalil malah ketika Piala FA di Shah Alam, Kedah memiliki sejumlah besar penyokongnya.
Saya ramalkan 90 minit perlawanan ini sudah cukup menentukan siapa juara, katanya yang menyedari ketiadaannya di padang pasti dialu-alukan penyokong Hijau Kuning yang lantang mengejeknya ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam dalam perlawanan Liga Super musim ini.
Itu lumrah peminat bola sepak. Mereka mungkin tidak faham bukan saya yang tinggalkan atau membelakangkan Kedah tetapi kontrak saya yang ditamatkan dan sebagai pemain profesional, saya perlu mencari haluan baru karier saya, kata anak jati Jitra, Kedah ini yang menyertai Selangor mulai musim 2006-2007.
Sepanjang Liga Malaysia musim ini, Akmal Rizal yang kali terakhir mewakili skuad negara menentang Indonesia di Surabaya, Jun lalu, telah menjaringkan 10 gol iaitu lima bagi Liga Super, tiga dalam Piala FA dan hanya dua ketika Piala Malaysia yang bermula pada 11 Jun lalu.
Namun skuad Merah Kuning masih tidak ketandusan penyerang selain Frank Seator dan Safee Sali dalam kesebelasan utama kerana S. Sritharan, Fadzli Saari, Indra Putra Mahayuddin dan R. Surendren mahupun Amri Yahyah mampu merobek gawang Kedah kawalan Helmi Eliza Elias.
Kongsi Konten di :
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zuDLXTkJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan