Jumaat, 21 April 2017

Norwich uji Akmal Julai ini

ARKIB : 14/05/2004
PELUANG penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli untuk bermain di England semakin menjadi kenyataan apabila pengurusan kelab Norwich City bersetuju menguji kemampuannya pada Julai depan.
Sesi ujian itu akan dibuat sama ada di kelab tersebut atau semasa kunjungan mereka ke Malaysia yang dijadual pada 10 hingga 18 Julai.
Perkara itu disahkan oleh ejen pemain tersebut, Effendi Jagan Abdullah yang berada di London baru-baru ini, bagi merundingkan langkah membawa Akmal ke kelab yang baru dinobatkan juara Divisyen Satu musim ini.
Menurutnya, beberapa pegawai kelab itu termasuk pengurus, Nigel Worthington sudah melihat video permainan Akmal semasa kejohanan Liga Perdana Piala Asia yang diadakan di Malaysia tahun lalu, dan berpuas hati dengan corak permainannya.
``Kata mereka, Akmal ada skil dan kebolehan untuk bermain di England. Secara asasnya, mereka juga bersetuju untuk melihat dan menilai permainan sebenar dan kecergasan pemain itu.
``Kita sedang berbincang sama ada membawa dia ke sana atau mengadakan ujian itu semasa kelab itu datang ke Malaysia Julai nanti,'' katanya.
Dia juga tidak menafikan bahawa peluang pemain itu untuk menyarung jersi Norwich City agak cerah memandangkan kelab berkenaan mendapat tajaan syarikat pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton).
Ujarnya, satu perbincangan akan dibuat dengan pihak Proton bagi membantu membuka laluan kepada pemain itu mendapat tempat di kelab yang akan bertarung dalam Liga Perdana England musim depan.
``Penajaan Proton mungkin memberi sedikit kelebihan. Tetapi kelab itu juga mengingatkan bahawa pengambilan pemain adalah berdasarkan merit dan mereka hanya mengambil pemain yang benar-benar berkualiti.
``Bagaimanapun, saya yakin dengan pengalaman dan kebolehan Akmal untuk memikat perhatian kelab itu dan seterusnya menjadi pemain Malaysia pertama beraksi dalam liga profesional England,'' katanya.
Tambahnya, walaupun keutamaan kini diberi kepada Norwich, usaha juga sedang dibuat untuk memikat dua lagi kelab iaitu Sunderland dan Derby County.
Akmal, 22, dianggap penyerang nombor satu negara ketika ini dan menjadi calon tetap untuk mengepalai barisan serangan negara bagi skuad senior dan bawah 23 tahun dalam pelbagai kejohanan.
Anak kelahiran Kedah ini pernah menjalani latihan dan bermain bersama kelab bahagian tiga Perancis, FC Haguenau dan menyumbat 11 gol sepanjang menyarung jersi kelab itu pada tahun 2001.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan