Jumaat, 14 April 2017

Akmal tidak gentar

ARKIB : 03/03/2004
PENGGEMPUR berbisa pasukan bola sepak Bawah 23 kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yakin mampu menyekat hajat Iran memungut tiga mata penuh pada pertemuan sulong kelayakan Sukan Olimpik Kumpulan A zon Asia di Stadium Petaling Jaya, malam ini.
Sekalipun mengakui Iran sememangnya lebih baik berbanding pasukan kebangsaan, bermain di tempat sendiri serta semangat pemain yang semakin membara, menjadi aset utama untuk menutup keyakinan yang dilaung oleh jurulatih Mohammad Mayelikohan, kelmarin bahawa kemenangan memihak kepada Iran malam ini.
``Itu hak mereka untuk berasa yakin akan menang berdasarkan kemampuan mereka dan saya akui Iran sebuah pasukan yang baik.
``Tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 permainan. Pasukan yang banyak membuat kesilapan akan menerima padah.
``Yang pasti saya sudah benar-benar bersedia untuk menggempur Iran. Begitu juga rakan sepasukan yang cukup persefahaman setelah sekian lama menjalani latihan,'' katanya ketika di temui semalam.
Pasukan Bawah 23 Iran yang tiba ke negara ini kelmarin melaungkan keyakinan mereka pasti menundukkan Malaysia berdasarkan perbezaan mutu bola sepak kedua negara.
Akmal memberitahu peluang untuk menewaskan Iran tetap ada sambil menyifatkan peluang 50-50 pada pertemuan malam ini.
``Kita tidak pernah bertemu dengan pasukan Bawah 23 mereka sebelum ini. Sukar untuk menilai kemampuan mereka sekali gus kita menganggap mereka sama handal pasukan senior.
``Tetapi saya yakin barisan serangan kita mampu merobek gawang Iran dengan gandingan serasi antara saya R.Surendran dan Indra Putra (Mahyuddin),'' katanya.
Mengenai Norhafiz Zamani Misbah yang tidak dapat bermain akibat kecederaan kaki kanan, Akmal berkata, ia tidak menjejaskan benteng pertahanan pasukan negara.
``Sebelum ini kita pernah beraksi tanpa Zamani pada Sukan SEA di Vietnam. Posisi itu akan diganti oleh pemain yang mampu menjalankan tugas seperti Zamani,'' ujar Akmal.
Malaysia berada dalam kelompok maut Kumpulan A bersama dua lagi gergasi bola sepak Asia iaitu Korea Selatan dan China pada kempen kelayakan Olimpik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan