ARKIB : 15/06/1999
MOHD. KHALID JAMLUS
HONG KONG - Tempoh saingan
berbaki tiga minit mengembalikan maruah Malaysia daripada dimalukan Hong Kong
sekali pun terpaksa berhempas pulas untuk mencipta keputusan seri 2-2 dalam
kejohanan pusingan pertama bola sepak kelayakan Sukan Olimpik 2000 kumpulan
enam Asia di Stadium Hong Kong, semalam.
Walaupun diberi saingan hebat
tuan rumah yang mendahului 2-0, Malaysia tetap mempamerkan semangat juang
begitu tinggi untuk mencari jaringan penyamaan.
Malaysia dikejutkan jaringan
Yiu Hok Man seawal minit pertama sebelum Tam Wai Kwok menambah gol pada minit
ke-71 untuk Hong Kong mendahului 2-0.
Gilbert Cassidy Gawing menjadi
wira negara apabila memperoleh jaringan yang dicari-cari Malaysia pada minit ke-87
selepas rakannya Akmal Rizal Ahmad Rakhli merapatkan jurang menerusi gol minit
ke-72.
Skuad negara memulakan sepakan
dengan percubaan untuk mengancam Hong Kong sebalik sepakan percuma Chu Siu Kei
dari jarak 25 meter menyaksikan pertahanan Malaysia yang longgar memberi
peluang kepada Yiu Hok Man membuat tandukan mengatasi penjaga gol Jamsari
Sabian untuk jaringan pembuka tirai Hong Kong.
Ketinggalan satu jaringan
memaksa Malaysia untuk bangkit tetapi setiap gerakan penyerang Muhammad Khalid
Jamlus dan Akmal Rizal gagal mencemaskan pertahanan skuad lawan.
Akhirnya Malaysia memperoleh
kesempatan apabila Gilbert membuat satu sepakan percuma yang melencong ke depan
pintu gawang Hong Kong namun Akmal Rizal gagal menyudahkannya pada minit ke-34.
Ketinggalan satu jaringan
kepada babak pertama menyaksikan Malaysia mengatur gerakan lebih tersusun di
babak kedua.
Bagaimanapun kelekaan membawa
padah apabila dalam usaha menyekat serangan balas Hong Kong menyebabkan Khairun
Haled Masrom menarik ketua pasukan lawan, Kwok Man Tik.
Sepakan percuma yang diberikan
pengadil Piromya Chalach (Thailand) di luar kotak penalti Malaysia menyaksikan
sepakan Tam Wai Kwok melencong masuk ke penjuru gawang yang gagal dijangkau
Jamsari untuk Hong Kong mendahului 2-0.
Namun, gerakan balas Malaysia
menerusi hantaran Gilbert ditanduk Khalid untuk melorongkan bola kepada Akmal
Rizal yang terus menyepak masuk bagi merapatkan jurang seminit kemudian.
Gol tersebut memberi semula
keyakinan kepada Malaysia untuk terus mengasak yang akhirnya memperolehi
peluang apabila rembatan kencang Gilbert dari luar kota penalti Hong Kong
mengecewakan penjaga gawang Chan Ka Ki pada minit ke-87 sebelum permainan
berakhir dengan kedudukan terikat 2-2.
Kejayaan Malaysia mengekang
Hong Kong sekurang-kurangnya mampu menambah semangat kepada anak-anak buah
jurulatih Hatem Souissi yang bakal berdepan tentangan lebih sengit iaitu Jepun,
esok.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RsbhX7Xe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan