Sabtu, 22 April 2017

Akmal tunggu masa

ARKIB : 21/05/2004
PENYERANG bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli hanya menunggu masa yang sesuai untuk bergelar pemain Asia Tenggara pertama bermain di Liga Perdana Inggeris bersama kelab Norwich City musim depan.
Menurut Akmal, walaupun belum menerima sebarang pengesahan rasmi daripada pengurusan Norwich City yang dikatakan bersetuju mengujinya, dia bersedia untuk diuji bila-bila masa.
Katanya, jika tiada halangan, dia akan menghadiri sesi ujian bersama kelab tersebut seperti yang dimaklumkan oleh agennya, Effendi Jagan Abdullah iaitu pada Julai depan.
``Buat masa ini saya belum menerima pengesahan rasmi daripada Norwich berhubung minat mereka terhadap kemampuan saya.
``Bagaimanapun saya yakin dan menaruh kepercayaan penuh kepada agen (Effendi) yang bekerja keras merundingkan langkah membawa saya ke Norwich.
``Saya harap impian untuk ke Norwich akan terlaksana secepat mungkin,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan laporan peluang penyerang pasukan Liga Super Kedah itu beraksi di England semakin menjadi kenyataan apabila pengurusan kelab Norwich City bersetuju menguji kemampuan Akmal Julai depan.
Perkara itu disahkan oleh ejen pemain tersebut, Effendi yang berada di London baru-baru ini, bagi merundingkan langkah membawa Akmal ke kelab yang baru dinobatkan juara Divisyen Satu musim ini.
Akmal pernah menjalani latihan dan bermain bersama kelab bahagian tiga Perancis, FC Haguenau dan menyumbat 11 gol sepanjang menyarung jersi kelab itu pada tahun 2001.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, setakat ini dia belum menerima tarikh rasmi bila dia akan menghadiri sesi ujian bersama kelab tersebut.
``Segala-galanya akan diketahui dalam tempoh terdekat,'' ujarnya ringkas.
Dalam perkembangan yang sama, Akmal berkata di saat namanya disebut-sebut untuk bermain di Norwich, dia tetap memberi tumpuan dalam saingan bola sepak tempatan, Liga Super.
Katanya, jika apa yang dijadualkan berjaya (ke Norwich City) dia mahu membantu memperbaiki pasukan negerinya, Kedah yang kini menghuni tangga tercorot Liga Super dengan memungut satu mata.
``Sebelum saya meninggalkan saingan liga bola sepak tempatan, saya mahu melihat Kedah kembali memberi saingan dan segera menamatkan badi kekalahan,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan