ARKIB : 01/12/2003
Daripada MOHD. TAUFEK RAZAK
GANDINGAN Akmal Rizal Rakhli dan
K. Rajan memberi sinar baru buat jentera serangan skuad bola sepak Sukan SEA
negara dan jurulatih kebangsaan, Allan Harris.
Ketika puas memerah otak untuk
mencari gandingan mantap Akmal di barisan depan, pencarian Harris sudah boleh
dianggap berakhir jika persembahan dua pemain itu ketika menewaskan Kemboja 8-1
kelmarin dijadikan asas.
Ini kerana, kelincahan dan
persefahaman kedua-dua pemain ini menunjukkan peningkatan ketara dan Harris
sendiri mengakui lega dengan perkembangan positif itu.
``Seperti yang telah beberapa
kali saya katakan, sentuhan penyudah serta skil menjaringkan gol yang dimiliki
Akmal memang baik tetapi gandingan mantap bersama Rajan sesuatu yang melegakan
saya.
``Cuma saya berharap, Rajan dapat
mengekalkan prestasinya yang sering tidak konsisten dari satu perlawanan ke
satu perlawanan. Rajan perlu lebih agresif.
``Ini kerana, berdepan dengan
Singapura pada 3 Disember ini lebih sukar berbanding menentang Kemboja. Saya
harap, Rajan dapat mengatasinya,'' jelas Harris.
Akmal mencipta hatrik pada
perlawanan menentang Kemboja kelmarin manakala Rajan menjaringkan dua gol di
samping menjadi penggerak kepada kebanyakan gol yang dicipta Malaysia dalam
perlawanan itu.
Harris juga, pada perlawanan
pertama itu turut mencuba gandingan baru dengan menurunkan Haris Safwan Kamal
menggantikan Fadzli Saari untuk berganding dengan Akmal di babak kedua.
Namun Haris Safwan yang kurang
pengalaman di peringkat antarabangsa sering hilang punca dan gagal membaca
pergerakan rakan.
Bagaimanapun hanya mengharapkan
gandingan Akmal dan Rajan untuk menghadapi dua perlawanan penting menentang
Singapura dan Myanmar (6 Disember) nanti bukanlah langkah bijak.
Setakat ini, Harris masih
mempunyai pilihan menurunkan Zainizam Marjan sebagai alternatif kepada Rajan,
Fadzli dan Haris Safwan jika tiga pemain itu gagal menyinar.
Namun keupayaan Zainizam belum
lagi dicuba manakala bahagian tengah jelas masih bergantung kepada Indra Putra
Mahayuddin, Juzaili Samion dan Mohd. Mazuki Yusof manakala Rajan lebih
berperanan menyerang dari tengah.
Jelas pengganti kepada Indra dan
Mazuki iaitu Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Norhissham Hassan masih belum cukup
matang.
Barisan pertahanan negara juga
masih perlu diperkemaskan dengan ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah perlu
mengurangkan kesilapan manakala Abd. Aziz Ismail perlu bergerak lebih banyak.
Apa yang melegakan ialah prestasi
pemain pertahanan kanan negara, Yosri Derma Raju yang menunjukkan permainan
mantap walaupun baru pulih daripada kecederaan.
Selain mampu menjaringkan gol,
Yosry kerap melakukan over lapping untuk membantu bahagian serangan. Begitu
juga dengan Irwan Fadli Idrus.
Malaysia perlu menang ketika
menentang Singapura jika mahu layak ke separuh akhir lebih awal tanpa menunggu
perlawanan menentang Myanmar yang telah menewaskan Singapura 2-0, kelmarin.
Jika menang, Malaysia hanya perlu
membuat penentuan dengan Myanmar untuk menentukan juara kumpulan sahaja tetapi
jika tewas kepada Singapura, Malaysia tiada pilihan selain perlu menewaskan
Myanmar untuk ke separuh akhir. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4di7oyp00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan