Ahad, 23 April 2017

Akmal kahwin awal demi Norwich

Oleh Mohd. Hazli Hassan

  Jurulatih kebangsaan Allan Harris sempat berkata sesuatu pada Akmal Rizal sambil diperhatikan oleh pasangannya, Shahira Tajuddin pada majlis meraikan persandingan mereka di rumah pengantin perempuan, di Presint 8, Putrajaya semalam. PENYERANG bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli mempercepatkan tarikh perkahwinannya dua bulan lebih awal demi memberi tumpuan kepada ujian untuk menyertai kelab Liga Perdana England, Norwich City Julai ini.

Akmal, 22, yang sepatutnya bersanding Ogos ini, melangsungkan perkahwinannya di rumah pengantin perempuan, Shahira Tajuddin, 20, di Presint 8, Putrajaya, semalam.
Turut hadir pada majlis persandingan itu ialah, Naib Presiden, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, jurulatih bola sepak kebangsaan, Allan Harris dan beberapa pemain bola sepak skuad kebangsaan.
Akmal yang ditemui berkata, walaupun sudah berkahwin dia tidak mempunyai masalah untuk beraksi dan berjanji akan meningkatkan kemahiran sedia ada.
``Saya bernasib baik, Shahira sering memberi dorongan dan memahami kerjaya saya dan itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk beraksi dan ingin membantu memperbaiki kedudukan pasukan Kedah dalam Liga Super,'' katanya.
Sementara itu, Akmal berkemungkinan akan ditawarkan ke beberapa kelab di England selain Norwich City dalam tempoh terdekat ini bagi membolehkan pemain itu mengembangkan bakat dan kemampuannya di Liga England.
Ejen syarikat yang bertanggungjawab dalam urusan itu, Effendi Jagan Abdullah berkata, beliau telah menemui beberapa pengurus kelab di sana bagi membolehkan Akmal menjalani ujian di kelab-kelab lain jika tidak terpilih selepas menjalani ujian di Norwich City.
``Jika tiada halangan, kemungkinan Akmal akan dipanggil untuk menjalani ujian dengan Norwich City bulan depan dan saya juga sedang berusaha untuk membolehkan pemain itu menjalani ujian dengan beberapa kelab perdana dan Divisyen Satu yang lain di England,'' katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan pemain itu.
Akmal kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk bergelar pemain Asia Tenggara pertama bermain di Liga Perdana England bersama kelab Norwich City yang dilatih Nigel Worthington, musim depan.
Akmal sebelum ini pernah menjalani latihan dan bermain bersama kelab bahagian tiga Perancis, FC Haguenau dan berjaya menjaringkan 11 gol sepanjang menyarung jersi kelab itu pada tahun 2001.
Dalam pada itu, Norwich City yang berjaya melangkah ke Liga Perdana England (EPL) untuk musim akan datang ditaja oleh Proton dan anak syarikat milik penuhnya, Kumpulan Lotus PLC musim 2003/04 dan berterusan untuk tempoh tiga tahun.
Norwich City mengesahkan kedudukannya sebagai juara liga divisyen satu England apabila ia menewaskan Preston 3-2 di gelanggang sendiri pada 30 April lalu.
Mengulas lanjut, Effendi berkata, pihaknya berharap Proton dapat meminta Norwich City memberi peluang kepada Akmal beraksi bersama kelab Canaries itu.
``Apa pun kita mahu mereka mengambil Akmal berdasarkan pengalaman dan bakat yang ada dan bukan disebabkan penajaan daripada Proton sahaja,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan