Ahad, 30 April 2017

KFA enggan lepaskan Akmal Rizal

ARKIB : 04/11/2004
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan memastikan penyerang berbisa mereka, Akmal Rizal Rakhli tidak akan menyarung jersi lain musim depan biar pun terdapat laporan pasukan Selangor berhasrat memiliki pemain tersebut, lapor NAZARUDIN SHAHARI.
Presiden KFA, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain berkata, Akmal akan terus bermain untuk Kedah pada musim depan kerana pemain itu telah bermain dengan begitu baik untuk pasukan Kedah pada musim ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sekiranya pemain itu ditawarkan ganjaran yang lumayan daripada pasukan lain, KFA sedia menimbang untuk membuat tawaran balas yang lebih baik.
``Kita sanggup memberikan tawaran yang lebih baik daripada apa yang ditawarkan kepadanya,'' katanya ringkas kepada Sukan Utusan selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Alor Star semalam.
Beliau diminta mengulas laporan bahawa Selangor mungkin mengikat dua penyerang kebangsaan, Akmal Rizal dan Mohd. Khalid Jamlus bagi menghadapi saingan pada musim depan.
Utusan diberitahu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sudah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemain tersebut sejak awal bulan lalu.
``Rundingan sudah diadakan termasuk Selangor menawarkan gaji yang cukup lumayan kepada kedua-dua tonggak tersebut,'' kata jurucakap FAS.
Sementara itu di Ipoh, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi menyatakan skuad Seladang akan menyelesaikan pembentukan skuad utamanya akhir bulan ini.
Beliau seterusnya akan mengadap Raja Nazrin Shah selaku Presiden PFA tidak lama lagi bagi mendapatkan pandangan mengenai pelantikan jurulatih, pengambilan pemain import dan perbelanjaan 2005.
Mengenai hasrat beberapa pemain utama Perak termasuk Khalid Jamlus yang ingin berpindah, Jamal Nasir berkata, Perak tidak akan menghalang perpindahan mereka kerana tidak mahu dituduh mengongkong kebebasan mereka.
Beliau berharap para pemain yang ingin berpindah perlulah mengikuti peraturan yang ditetapkan seperti menulis surat kepada PFA.
Selain Khalid, tiga pemain lain yang turut dikatakan berhasrat beralih angin adalah ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar, pemain pertahanan, Syamsol Saad dan penyerang lincah, V. Saravanan.
Kontrak Khalid, Shahrul, Syamsol dan Saravanan dengan skuad Seladang dijangka tamat pada akhir tahun ini.

Akmal, Khalid timbang tawaran

 ARKIB : 04/11/2004
PENYERANG kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli dan Khalid Jamlus membayangkan kesediaan menerima tawaran juara 29 kali Piala Malaysia, Selangor yang menagih khidmat mereka musim depan.
Begitupun kedua-duanya enggan memberi kata putus atas sebab-sebab tertentu namun Khalid dilihat lebih berminat untuk berubah angin bersama pasukan Lembah Klang itu.
Ayam tambatan Perak, Khalid tidak menafikan kemungkinan jodohnya dengan pasukan Yop berakhir jika perkembangan terkini dalam pasukan tidak memberansangkan.
``Saya sedia menimbangkan tawaran Selangor namun ia akan diputuskan selepas Aidilfitri. Segala-galanya bergantung kepada pembentukkan pasukan baru Perak musim depan,'' katanya.
Sebelum ini Perak dikatakan bakal kehilangan beberapa pemain utama yang melahirkan hasrat ingin menyertai pasukan lain musim depan.
Ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar; penyerang, Khalid, V. Saravanan Syamsol Saad, Liew Kit Kong, Tay Sing Kiat dan K. Nantha Kumar adalah antara pemain yang diberitakan bakal meninggalkan pasukan itu.
``Jika ramai pemain senior berhijrah musim depan, pastilah saya tawar hati untuk menyarung jersi pasukan negeri.
``Bagaimanapun dalam masa yang sama, saya terpaksa menimbangkan keadaan keluarga kerana kesihatan emak saya tidak mengizinkan untuk saya berjauhan dengannya,'' katanya.
Utusan Malaysia semalam menyiarkan laporan dua penyerang kebangsaan, Akmal dan Khalid dipancing oleh juara Piala Malaysia 27 kali itu.
Sementara itu, Akmal yang mengakui menerima tawaran Selangor berkata, dia sedia menimbangkan tawaran tersebut tetapi perlu menunggu sehingga kontraknya dengan Kedah tamat 31 Disember ini untuk memberi jawapan.
``Sebagai pemain profesional, saya harus bertindak profesional.
``Bukan mudah untuk saya menerima begitu sahaja tanpa mengambil kira faktor lain khususnya jumlah tawaran, keadaan pasukan, persekitaran serta keluarga saya.
``Sebagai pemain profesional saya akan memilih tawaran yang terbaik.
``Dan jika saya ke Selangor pun ia ada kebaikannya kerana ia akan memudahkan isteri saya menyambung pengajiannya di Lembah Klang,'' katanya.
Akmal menjaringkan tujuh gol dalam saingan Liga Super dan jumlah yang sama dalam kempen Piala Malaysia.
Akmal yang belum pernah bertukar angin sejak bersama Kedah empat tahun lalu berkata, Selangor mampu menjadi pasukan terkuat musim depan dengan kehadiran penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas dan pemain import Argentina, Brian Fuentes.
``Gandingan Bambang dan Fuentes sudah cukup mantap buat Selangor. Tetapi jika saya terus bersama Kedah, semangat ketika beraksi sudah tentulah berlainan kerana bermain untuk negeri sendiri,'' katanya.

Selangor pancing Akmal, Khalid

ARKIB : 03/11/2004

BEKAS juara 29 kali Piala Malaysia, Selangor nungkin mengikat dua penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli dan Mohd. Khalid Jamlus.
Jika ini menjadi kenyataan, pastinya Selangor bakal menjadi pasukan yang mampu menggegar musim depan.
Akmal Rizal merupakan tonggak utama bahagian serangan skuad bola sepak kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi Piala Tiger Disember ini.
Selain itu Akmal juga menjadi sandaran utama Kedah yang kini dalam persiapan rapi menghadapi saingan separuh akhir Piala Malaysia bulan depan.
Manakala Khalid pula adalah penyerang skuad Perak yang turut menyumbang dua gol ketika membantu pasukan negeri itu menjulang Piala FA bulan lalu.
Khalid juga turut menyumbang satu gol ketika membantu pasukan bola sepak kebangsaan menewaskan Singapura 2-1 kelmarin.
Kehadiran kedua-dua pemain ini bakal memperkukuhkan jentera serangan Selangor musim depan apa lagi dengan kehadiran penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas dan pemain import dari Argentina, Brian Fuentes.
Yang pastinya, skuad Merah Kuning sanggup berbelanja besar semata-mata mahu memastikan Selangor kembali menjadi pasukan yang disegani semula.
Biarpun ketika badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghadapi masalah kehilangan penajaan RM30 juta apabila Dunhill terpaksa menamatkan kontrak hujung tahun ini, nyata Selangor tidak menoleh kebelakang.
Utusan diberitahu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sudah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemain tersebut sejak awal bulan lalu.
``Rundingan sudah diadakan termasuk Selangor menawarkan gaji yang cukup lumayan kepada kedua-dua tonggak tersebut.
``Tetapi ketika ini kedua-duanya masih belum memberi kata putus dan selewat-lewatnya hujung bulan ini.
``Khalid tidak ada masalah menyertai Selangor cuma Akmal terpaksa menunggu selepas kempen separuh akhir Piala Malaysia'' ujar jurucakap FAS.
Yang pasti, segala keputusan mengenai perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat FAS yang akan dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo di kediamannya malam ini.
Ini adalah mesyuarat pertama yang dipengerusikan oleh Mohamad Khir yang juga Menteri Besar Selangor sejak dilantik sebagai Presiden FAS.
Antara perkara berbangkit yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah mengenai pemain tempatan, import dan jurulatih untuk menghadapi cabaran musim depan.
Di samping itu, beberapa perkara yang akan membincangkan mengenai penstrukturan baru FAS dan penajaan baru. Selangor sebelum ini sudah mengikat jurulatih MPPJ, Dollah Salleh selaku jurulatih skuad Merah Kuning musim depan.
Manakala penyerang Indonesia, Bambang pula hampir pasti ke Selangor selepas FAS dan pemain itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Jakarta, bulan lalu.
Dalam pada itu tiga tonggak utama skuad bola sepak MPPJ dan seorang pemain dari Melaka turut menyarung jersi Merah Kuning.
Mereka ialah penjaga gol, Jamsari Sabian, Aiman Firdaus dan Haris Safuan.
Manakala seorang lagi pemain yang ditambat oleh skuad Merah Kuning ialah Ahmad Tarminin Saiban dari Melaka.

Ahad, 23 April 2017

Akmal kahwin awal demi Norwich

Oleh Mohd. Hazli Hassan

  Jurulatih kebangsaan Allan Harris sempat berkata sesuatu pada Akmal Rizal sambil diperhatikan oleh pasangannya, Shahira Tajuddin pada majlis meraikan persandingan mereka di rumah pengantin perempuan, di Presint 8, Putrajaya semalam. PENYERANG bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli mempercepatkan tarikh perkahwinannya dua bulan lebih awal demi memberi tumpuan kepada ujian untuk menyertai kelab Liga Perdana England, Norwich City Julai ini.

Akmal, 22, yang sepatutnya bersanding Ogos ini, melangsungkan perkahwinannya di rumah pengantin perempuan, Shahira Tajuddin, 20, di Presint 8, Putrajaya, semalam.
Turut hadir pada majlis persandingan itu ialah, Naib Presiden, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, jurulatih bola sepak kebangsaan, Allan Harris dan beberapa pemain bola sepak skuad kebangsaan.
Akmal yang ditemui berkata, walaupun sudah berkahwin dia tidak mempunyai masalah untuk beraksi dan berjanji akan meningkatkan kemahiran sedia ada.
``Saya bernasib baik, Shahira sering memberi dorongan dan memahami kerjaya saya dan itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk beraksi dan ingin membantu memperbaiki kedudukan pasukan Kedah dalam Liga Super,'' katanya.
Sementara itu, Akmal berkemungkinan akan ditawarkan ke beberapa kelab di England selain Norwich City dalam tempoh terdekat ini bagi membolehkan pemain itu mengembangkan bakat dan kemampuannya di Liga England.
Ejen syarikat yang bertanggungjawab dalam urusan itu, Effendi Jagan Abdullah berkata, beliau telah menemui beberapa pengurus kelab di sana bagi membolehkan Akmal menjalani ujian di kelab-kelab lain jika tidak terpilih selepas menjalani ujian di Norwich City.
``Jika tiada halangan, kemungkinan Akmal akan dipanggil untuk menjalani ujian dengan Norwich City bulan depan dan saya juga sedang berusaha untuk membolehkan pemain itu menjalani ujian dengan beberapa kelab perdana dan Divisyen Satu yang lain di England,'' katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan pemain itu.
Akmal kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk bergelar pemain Asia Tenggara pertama bermain di Liga Perdana England bersama kelab Norwich City yang dilatih Nigel Worthington, musim depan.
Akmal sebelum ini pernah menjalani latihan dan bermain bersama kelab bahagian tiga Perancis, FC Haguenau dan berjaya menjaringkan 11 gol sepanjang menyarung jersi kelab itu pada tahun 2001.
Dalam pada itu, Norwich City yang berjaya melangkah ke Liga Perdana England (EPL) untuk musim akan datang ditaja oleh Proton dan anak syarikat milik penuhnya, Kumpulan Lotus PLC musim 2003/04 dan berterusan untuk tempoh tiga tahun.
Norwich City mengesahkan kedudukannya sebagai juara liga divisyen satu England apabila ia menewaskan Preston 3-2 di gelanggang sendiri pada 30 April lalu.
Mengulas lanjut, Effendi berkata, pihaknya berharap Proton dapat meminta Norwich City memberi peluang kepada Akmal beraksi bersama kelab Canaries itu.
``Apa pun kita mahu mereka mengambil Akmal berdasarkan pengalaman dan bakat yang ada dan bukan disebabkan penajaan daripada Proton sahaja,'' katanya.

Sabtu, 22 April 2017

Akmal tunggu masa

ARKIB : 21/05/2004
PENYERANG bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli hanya menunggu masa yang sesuai untuk bergelar pemain Asia Tenggara pertama bermain di Liga Perdana Inggeris bersama kelab Norwich City musim depan.
Menurut Akmal, walaupun belum menerima sebarang pengesahan rasmi daripada pengurusan Norwich City yang dikatakan bersetuju mengujinya, dia bersedia untuk diuji bila-bila masa.
Katanya, jika tiada halangan, dia akan menghadiri sesi ujian bersama kelab tersebut seperti yang dimaklumkan oleh agennya, Effendi Jagan Abdullah iaitu pada Julai depan.
``Buat masa ini saya belum menerima pengesahan rasmi daripada Norwich berhubung minat mereka terhadap kemampuan saya.
``Bagaimanapun saya yakin dan menaruh kepercayaan penuh kepada agen (Effendi) yang bekerja keras merundingkan langkah membawa saya ke Norwich.
``Saya harap impian untuk ke Norwich akan terlaksana secepat mungkin,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan laporan peluang penyerang pasukan Liga Super Kedah itu beraksi di England semakin menjadi kenyataan apabila pengurusan kelab Norwich City bersetuju menguji kemampuan Akmal Julai depan.
Perkara itu disahkan oleh ejen pemain tersebut, Effendi yang berada di London baru-baru ini, bagi merundingkan langkah membawa Akmal ke kelab yang baru dinobatkan juara Divisyen Satu musim ini.
Akmal pernah menjalani latihan dan bermain bersama kelab bahagian tiga Perancis, FC Haguenau dan menyumbat 11 gol sepanjang menyarung jersi kelab itu pada tahun 2001.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, setakat ini dia belum menerima tarikh rasmi bila dia akan menghadiri sesi ujian bersama kelab tersebut.
``Segala-galanya akan diketahui dalam tempoh terdekat,'' ujarnya ringkas.
Dalam perkembangan yang sama, Akmal berkata di saat namanya disebut-sebut untuk bermain di Norwich, dia tetap memberi tumpuan dalam saingan bola sepak tempatan, Liga Super.
Katanya, jika apa yang dijadualkan berjaya (ke Norwich City) dia mahu membantu memperbaiki pasukan negerinya, Kedah yang kini menghuni tangga tercorot Liga Super dengan memungut satu mata.
``Sebelum saya meninggalkan saingan liga bola sepak tempatan, saya mahu melihat Kedah kembali memberi saingan dan segera menamatkan badi kekalahan,'' katanya.

Jumaat, 21 April 2017

Akmal mudah serasi di Norwich

ARKIB : 15/05/2004
PENYERANG negara, Akmal Rizal Rakhli dijangka tidak menghadapi masalah untuk bermain di England kerana memiliki corak permainan pantas dan kekuatan fizikal yang menepati rentak agresif liga bola sepak negara itu.
Keyakinan itu disuarakan bekas pemain Newcastle pada era 80-an, Lee Payne kepada agen pemain tersebut, Effendi Jagan Abdullah dan menyifatkan pemain Kedah berkenaan mempunyai kualiti yang diperlukan untuk beraksi dalam Liga Perdana England.
Menurut Effendi, Payne yang juga rakan kongsinya dan telah membawa ramai pemain luar ke negara itu, yakin Akmal akan menjadi `warga baru' dalam liga bola sepak negara tersebut.
``Dia telah melihat aksi lincah Akmal semasa bermain untuk Malaysia menentang Chelsea ketika kejohanan Liga Perdana Piala Asia tahun lepas melalui rakaman video.
``Walaupun Malaysia kalah dalam perlawanan itu, dia kagum kerana Akmal beberapa kali dengan mudah melepasi kawalan pertahanan tengah Chelsea, John Terry yang berpengalaman mengawal penyerang bertaraf dunia,'' katanya selepas bertemu Akmal di Shah Alam, semalam.
Malah, tambahnya, Payne menyatakan kemampuan dan susuk tubuh Akmal hampir menyamai bintang muda Everton dan England, Wayne Rooney yang terkenal dengan gaya dan larian kencang.
``Itu adalah pandangannya sebagai seorang agen berpengalaman dan profesional. Dia tidak akan berselindung atau memberi komen yang berlapik.
``Tetapi masih terlalu awal untuk bercakap tentang peluang Akmal kerana dia juga perlu meningkatkan lagi kemahirannya,'' ujarnya.
Pemain Kedah itu berpeluang bermain di England selepas juara Divisyen Satu, Norwich City bersetuju untuk menilai persembahannya pada sesi ujian yang akan diadakan Julai depan.
Ia akan diadakan sama ada di kelab itu di Norwich atau semasa mereka mengadakan dua perlawanan persahabatan di Malaysia yang dijadual pada Julai depan.
Sementara itu, Akmal gembira kerana mendapat peluang untuk menjalani ujian dengan Norwich City dan mahu melakukan yang terbaik bagi merebut tempat dalam kelab yang dikenali dengan gelaran `Kenari' itu.
Menurut Akmal, dia tidak pernah melupakan hasrat untuk bermain di luar negara selepas berlatih dan bermain dalam liga Perancis kira-kira dua tahun lalu.
``Saya akan menunjukkan persembahan terbaik semasa ujian nanti dan berharap ia akan membuka laluan saya untuk meningkatkan kerjaya bola sepak di luar negara,'' ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4eu22dxkG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Norwich uji Akmal Julai ini

ARKIB : 14/05/2004
PELUANG penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli untuk bermain di England semakin menjadi kenyataan apabila pengurusan kelab Norwich City bersetuju menguji kemampuannya pada Julai depan.
Sesi ujian itu akan dibuat sama ada di kelab tersebut atau semasa kunjungan mereka ke Malaysia yang dijadual pada 10 hingga 18 Julai.
Perkara itu disahkan oleh ejen pemain tersebut, Effendi Jagan Abdullah yang berada di London baru-baru ini, bagi merundingkan langkah membawa Akmal ke kelab yang baru dinobatkan juara Divisyen Satu musim ini.
Menurutnya, beberapa pegawai kelab itu termasuk pengurus, Nigel Worthington sudah melihat video permainan Akmal semasa kejohanan Liga Perdana Piala Asia yang diadakan di Malaysia tahun lalu, dan berpuas hati dengan corak permainannya.
``Kata mereka, Akmal ada skil dan kebolehan untuk bermain di England. Secara asasnya, mereka juga bersetuju untuk melihat dan menilai permainan sebenar dan kecergasan pemain itu.
``Kita sedang berbincang sama ada membawa dia ke sana atau mengadakan ujian itu semasa kelab itu datang ke Malaysia Julai nanti,'' katanya.
Dia juga tidak menafikan bahawa peluang pemain itu untuk menyarung jersi Norwich City agak cerah memandangkan kelab berkenaan mendapat tajaan syarikat pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton).
Ujarnya, satu perbincangan akan dibuat dengan pihak Proton bagi membantu membuka laluan kepada pemain itu mendapat tempat di kelab yang akan bertarung dalam Liga Perdana England musim depan.
``Penajaan Proton mungkin memberi sedikit kelebihan. Tetapi kelab itu juga mengingatkan bahawa pengambilan pemain adalah berdasarkan merit dan mereka hanya mengambil pemain yang benar-benar berkualiti.
``Bagaimanapun, saya yakin dengan pengalaman dan kebolehan Akmal untuk memikat perhatian kelab itu dan seterusnya menjadi pemain Malaysia pertama beraksi dalam liga profesional England,'' katanya.
Tambahnya, walaupun keutamaan kini diberi kepada Norwich, usaha juga sedang dibuat untuk memikat dua lagi kelab iaitu Sunderland dan Derby County.
Akmal, 22, dianggap penyerang nombor satu negara ketika ini dan menjadi calon tetap untuk mengepalai barisan serangan negara bagi skuad senior dan bawah 23 tahun dalam pelbagai kejohanan.
Anak kelahiran Kedah ini pernah menjalani latihan dan bermain bersama kelab bahagian tiga Perancis, FC Haguenau dan menyumbat 11 gol sepanjang menyarung jersi kelab itu pada tahun 2001.

Skuad bola sepak negara tewas

ARKIB : 13/05/2004
MALAYSIA menamatkan kempen pusingan akhir kelayakan bola sepak Sukan Olimpik dengan tunduk 2-1 kepada China, dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan aksi dengan 10 pemain, di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.
Kemenangan tipis China itu sekali gus melunaskan dendam mereka ke atas skuad Allan Harris yang memalukan mereka apabila mencatat keputusan seri 1-1 pada pusingan pertama di Wuhan Mac lepas.
Gol pertama China hadir ketika permainan baru berusia 10 minit apabila Yan Song menggunakan kelebihan ketinggiannya untuk menanduk masuk sepakan sudut sebelum Xu Liang menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan bebas ketika permainan berbaki enam minit.
Buat seketika, penyerang dari Kedah, Akmal Rizal Rakhli seperti mampu memastikan skuad negara mencuri satu mata apabila menjaringkan gol penyamaan 1-1 pada minit ke-72.
Perlawanan semalam mula kasar apabila ketua pasukan China, Hu Zhaojun dibuang padang kerana mengkasari Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-27.
Keputusan pengadil, Myong Song Hyon itu membuatkan pemain-pemain China tidak berpuas hati kerana mendakwa pemain tengah Malaysia, Indra Putra Mahayuddin pula telah membalas dengan menumbuk Zhaojun.
Namun, Song Hyon dari Korea Utara kekal dengan keputusannya.
Dan, permainan semakin panas dengan aksi yang semakin keras selepas itu.
Akmal Rizal tidak mensia-siakan peluang minit ke-72 apabila hantaran jauh Safee dikawal baik untuk melepasi seorang pertahanan China sebelum menewaskan penjaga gol, Yang Jun yang menerkam keluar.
Malaysia kemudian menyaksikan pemain gantian, Yosri Derma Raju dilayangkan kad merah setelah menjatuhkan penyerang gantian China, Wu Pingfeng, dan Xu Liang merembat kencang sepakan bebas dari jarak 20 meter kencang untuk menewaskan Mohamad Syamsuri Mustafa buat kali kedua pada minit ke-82.

Selasa, 18 April 2017

Gaji suntik semangat pemain Kedah

ARKIB : 24/04/2004
KEDAH yang dibelenggu masalah gaji pemain menerima suntikan semangat apabila pihak pengurusan berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.
Ketua pasukan, Akmal Rizal Rakhli berkata, keprihatinan pengurusan itu menggembirakan pemain yang sebelum ini bimbang berikutan hampir dua bulan tidak menerima sebarang bayaran.
Tambahnya, perkembangan terbaru itu menyemarakkan lagi semangat pemain menjelang pertemuan kelima Kedah dalam Liga Super menentang Pahang di stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.
``Ia satu khabar gembira buat para pemain di saat mereka begitu mengharapkan cetusan semangat untuk mencipta kemenangan pertama Kedah dalam Liga Super.
``Saya yakin Kedah bakal merealisasikan impian memungut tiga mata penuh malam ini sekalipun berdepan pasukan kuat seperti Pahang,'' katanya.
Rabu lalu Utusan Malaysia menyiarkan laporan satu sumber yang mendakwa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal menjelaskan gaji pemain yang hampir memasuki bulan kedua.
Kedah kini menduduki tangga tercorot Liga Super dengan satu mata daripada empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan.
Tambah Akmal, selain lega dengan masalah gaji yang bakal selesai pemain kini berada dalam keadaan cukup bersemangat selepas mencatat kemenangan sulong musim ini apabila menewaskan MPPJ Selangor 5-2 di Alor Star, Rabu lalu dalam perawanan pusingan kedua Piala FA.
Menurut Akmal, meskipun Kedah gagal mara ke pusingan ketiga (Piala FA), kemenangan tempoh hari menaikkan moral para pemain.
``Kemenangan kami tempoh hari membuktikan apabila di padang, pemain segera melupakan apa jua masalah termasuk soal gaji.
``Semangat dan rentak permainan ketika menewaskan Selangor MPPJ akan diteruskan pada perlawanan menentang Pahang malam ini.
``Saya yakin Kedah sudah melepasi musim suram dan kini kembali bangkit untuk memberi saingan,'' katanya.
Kedah gagal mara ke pusingan ketiga Piala FA dengan agregat 9-6 selepas tewas 7-1 pada permainan pertama pusingan kedua di Stadium MPPJ di Kelana Jaya, 26 Mac lalu.

Isnin, 17 April 2017

Akmal anggap tawaran menarik

ARKIB : 09/04/2004
PENYERANG skuad kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yakin dia mampu memikat pengurusan kelab Norwich City jika diberi peluang menjalani ujian bersama kelab divisyen satu England seperti yang dilaporkan.
Menurutnya, dia juga sedia meninggalkan kehangatan saingan liga tempatan sekiranya kelab England itu benar-benar tertarik dengan aksinya.
``Begitupun setakat ini saya blum menerima sebarang tawaran rasmi dari mana-mana pihak sama ada agen atau kelab yang dimaksudkan.
``Saya hanya mengetahui kelab tersebut berminat untuk mendapatkan khidmat saya melalui laporan akhbar semalam.
``Tetapi jika benar, saya gembira kerana ia adalah peluang yang saya nanti-nantikan sejak sekian lama selepas beraksi di Perancis dua tahun lalu,'' katanya.
Utusan Malaysia semalam menyiarkan laporan seorang wakil dari syarikat B.S.C S.R.L, iaitu agen yang bertanggungjawab dalam urusan pembelian pemain luar ke liga bola sepak tempatan, Effendi Jagan Abdullah bahawa seorang pemain negara telah ditawarkan peluang mengikuti ujian di kelab England itu.
Bagaimanapun dia enggan mendedahkan identiti pemain dan kelab yang dimaksudkan.
Menurut agen itu, pemain yang dimaksudkan mempunyai bakat dan kemampuan yang tinggi dan sepatutnya bermain di peringkat lebih tinggi dan bukannya dalam Liga Malaysia.
Begitupun, penyerang sensasi kebangsaan yang pernah menjalani latihan dan beraksi dalam Liga Perancis, Akmal dikaitkan dengan tawaran kelab di tangga pertama divisyen satu England itu.
Menurut Akmal, dia memang mengenali agen tersebut telah beberapa kali bersua muka.
``Baru-baru ini, agen tersebut bertanya apakah saya masih berminat minat untuk beraksi di luar negara.
``Setelah diberitahu saya masih mengintai peluang untuk beraksi di luar negara, dia berjanji untuk cuba mencari kelab yang sesuai untuk saya.
``Begitupun perbualan kami itu berakhir begitu sahaja tanpa ada keputusan rasmi daripadanya.
``Sekarang mungkin dia telah mendapatkan kelab yang sesuai untuk saya dan saya masih menunggu makluman rasmi mengenai tawaran tersebut dari agen berkenaan,'' katanya.

Akmal ke Norwich City

ARKIB : 08/04/2004
PENYERANG skuad kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli dikatakan mendapat tawaran menjalani ujian selama tiga bulan di sebuah kelab bola sepak utama England, sekali gus berpeluang menyertai kelab itu sekiranya melepasi ujian tersebut.
Difahamkan peluangnya amat cerah memandangkan kelab itu mendapat tajaan dari sebuah syarikat Malaysia.
Antara yang dikaitkan ialah kelab Norwich City, yang dibimbing pengurus Nigel Worthington dan ketika ini sedang mendahului saingan Divisyen Satu.
Jika semuanya berjalan lancar dan dia berjaya menarik perhatian pengurusan kelab, bermakna pemain tersebut akan menjadi rakyat Malaysia pertama yang beraksi dalam saingan Liga England.
Wakil dari B.S.C S.R.L, syarikat yang bertanggungjawab dalam urusan itu, Effendi Jagan Abdullah mengesahkan, seorang pemain telah ditawarkan peluang mengikuti ujian itu tetapi enggan mendedahkan identiti pemain dan kelab yang dimaksudkan.
``Apa yang boleh saya beritahu ketika ini ialah pemain itu mempunyai bakat dan kemampuan yang tinggi. Dia sepatutnya bermain di peringkat lebih tinggi dan bukannya dalam Liga Malaysia.
``Saya percaya dia akan dapat beraksi di England kerana kelab itu mendapat sokongan dan tajaan syarikat dari negara kita,'' ujarnya.
Tambah Effendi, pemain tersebut sudah menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran itu dan sedia mengikuti ujian selama tiga bulan pada bila-bila masa.
``Saya telah bercakap dengannya dan dia sanggup mengikuti ujian dengan sebuah kelab profesional di England itu.
``Cuma beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu antaranya komitmen dengan pasukan kebangsaan, pelepasan daripada pasukan yang diwakilinya ketika ini dan beberapa urusan lain semasa dia tinggal di sana nanti,'' katanya.
Jelasnya, ia adalah antara usaha awal syarikat tersebut yang mempunyai rakan kongsi di England, `mengeksport' pemain tempatan ke luar negara.
``Saya berharap selepas ini lebih banyak pemain kita akan diberi peluang mencuba nasib dengan kelab luar negara sekali gus dapat meningkatkan mutu bola sepak kita,'' ujarnya yang pernah membawa beberapa pemain import ke Liga Malaysia antaranya Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto.

Ahad, 16 April 2017

Akmal suntik semangat

ARKIB : 31/03/2004
PENYERANG kebangsaan, Khairuddin Omar menyifatkan kehadiran Akmal Rizal Rakhli bakal menyuntik semangat barisan serangan pasukan bola sepak kebangsaan yang berdepan Kuwait pada perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini, lapor Syed Hisham Idris.
Menurutnya, Akmal yang berada di prestasi terbaik ketika bersama pasukan pra-Olimpik mampu mempertajamkan lagi barisan serangan skuad pra Piala Dunia.
``Saya yakin dia akan bermain esok (malam ini) dan saya tidak kekok digandingkan dengannya sekalipun sudah lama tidak bermain dalam satu pasukan.
``Begitu juga Akmal, dia mudah menyesuaikan corak permainan pemain lain terutama Nizaruddin (Yusof),'' katanya.
Malaysia tewas 1-3 kepada Hong Kong dalam perlawanan pertama 18 Februari lalu.
Kelmarin, selain Akmal, jurulatih kebangsaan, K. Rajagopal menyenaraikan empat lagi pemain pra-Olimpik iaitu Norhafiz Zamani Misbah, Indra Putra Mahayuddin, Irwan Fadli Idrus dan Fadzli Shaari.
Khairuddin berkata, kesemua pemain tersebut mampu memantapkan semua posisi dalam pasukan.
``Pemain tersebut bukanlah asing bagi saya kerana kami pernah bermain dalam satu pasukan.
``Tidak syak lagi mereka merupakan bekalan terbaik untuk menentang Kuwait untuk memastikan kekecewaan menentang Hong Kong tempoh hari tidak berulang,'' katanya.
Sementara itu, Akmal mahu membalas kepercayaan jika namanya tersenarai dalam kesebelasan utama malam ini dengan memberikan aksi terbaik.
Walaupun baru sahaja menggalas tugas dalam skuad pra-Olimpik, pemain kelahiran Kedah itu masih ghairah untuk membantu skuad senior negara.
``Ini merupakan satu penghormatan kerana diberi kepercayaan bermain untuk pasukan pra-Olimpik dan Piala Dunia.
``Saya menganggap ini sebagai satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebaik mungkin,'' katanya.
Mengenai lawan malam ini, Akmal berkata dia belum ada pengalaman menentang Kuwait tetapi menghormati keupayaan mereka.
``Saya meletakkan Kuwait sama taraf dengan pasukan dari Asia Barat yang lain. Yang pasti mereka pasukan yang kuat tetapi tidak mustahil mampu mengejutkan mereka,'' katanya.

Malaysia seri

ARKIB : 21/03/2004
BEIJING - Akmal Rizal Rakhli menjaringkan gol penyamaan di minit-minit akhir separuh masa kedua untuk Malaysia seri 1-1 dengan China dalam perlawanan bola sepak kelayakan Olimpik Zon Asia, semalam.
Xu Liang menjaringkan gol pendahuluan untuk China pada minit ke-20 melalui tandukan dalam perlawanan yang diadakan di bandar raya di tengah China, Wuhan.
Permainan jelas dikuasai oleh China yang mengatur asakan pantas ke kubu Malaysia khususnya pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun Malaysia bangkit memperagakan corak permainan yang lebih tersusun untuk mengekang kemaraan lawan dalam separuh masa kedua. - Agensi

Jumaat, 14 April 2017

Jangan patah semangat -ÊAkmal

ARKIB : 05/03/2004
TEWAS 4-1 kepada Iran dalam perlawanan kelayakan Olimpik zon Asia bagi Kumpulan A di tempat sendiri kelmarin mahu segera dilupakan oleh penyerang bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli.
Sebaliknya, Akmal bertekad mahu menebus kehampaan sambil mengajak rakan-rakan sepasukannya untuk bangkit dengan memenangi perlawanan kedua menentang China 20 Mac depan.
Menurut penyerang berusia 22 tahun itu dia akur dengan keputusan perlawanan kelmarin memandangkan pasukan lawan bukan tandingan Malaysia.
Bagaimanapun, katanya kekalahan itu tidak mematahkan semangat juang untuk mengintai peluang ke sukan Olimpik.
``Memang saya agak kecewa selepas tewas kepada Iran kerana kita menguasai permainan khususnya di babak awal separuh masa pertama.
``Kekecewaan itu akan saya lupakan untuk memberi tumpuan persiapan perlawanan kedua kumpulan menentang China dan baki perlawanan seterusnya.
``Mengenai peluang ke atas China, saya tidak dapat memberikan pandangan kerana kita tidak tahu keupayaan mereka.
``Bagaimanapun kekalahan 1-0 China di tangan Korea Selatan kelmarin memberi sedikit peluang untuk kita menebus kekecewaan selepas kalah dalam perlawanan pertama,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam satu lagi perlawanan kelayakan Olimpik Kumpulan A di Seoul kelmarin, pasukan tuan rumah, Korea Selatan menewaskan China 1-0.
Malaysia tewas 4-1 kepada Iran dalam perlawanan kelayakan Kumpulan A di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya malam kelmarin.
Mengenai perlawanan itu, Akmal berkata hilang tumpuan dan terlalu mengikut rentak lawan antara punca kekalahan.
Menurutnya, keputusan mungkin berubah atau kita berupaya mencuri satu mata jika pemain negara tidak membuat kesilapan yang akhirnya membawa padah.
``Gol pendahuluan (Mohd. Fadzli Saari) membuktikan kita menguasai perlawanan di babak awal separuh masa pertama tetapi selepas itu kerana kita terlalu mengikut rentak lawan yang bermain secara agresif, akhir kita membuat kesilapan yang membawa kepada gol penyamaan.
``Dalam perlawanan di peringkat antarabangsa, kesilapan kecil boleh membawa padah. Inilah yang berlaku dalam perlawanan kelmarin,'' katanya.
Sementara itu, Iran mengungguli Kumpulan A selepas berkongsi mata dengan Korea Selatan manakala China dan Malaysia belum mengutip sebarang mata.

Akmal tidak gentar

ARKIB : 03/03/2004
PENGGEMPUR berbisa pasukan bola sepak Bawah 23 kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yakin mampu menyekat hajat Iran memungut tiga mata penuh pada pertemuan sulong kelayakan Sukan Olimpik Kumpulan A zon Asia di Stadium Petaling Jaya, malam ini.
Sekalipun mengakui Iran sememangnya lebih baik berbanding pasukan kebangsaan, bermain di tempat sendiri serta semangat pemain yang semakin membara, menjadi aset utama untuk menutup keyakinan yang dilaung oleh jurulatih Mohammad Mayelikohan, kelmarin bahawa kemenangan memihak kepada Iran malam ini.
``Itu hak mereka untuk berasa yakin akan menang berdasarkan kemampuan mereka dan saya akui Iran sebuah pasukan yang baik.
``Tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 permainan. Pasukan yang banyak membuat kesilapan akan menerima padah.
``Yang pasti saya sudah benar-benar bersedia untuk menggempur Iran. Begitu juga rakan sepasukan yang cukup persefahaman setelah sekian lama menjalani latihan,'' katanya ketika di temui semalam.
Pasukan Bawah 23 Iran yang tiba ke negara ini kelmarin melaungkan keyakinan mereka pasti menundukkan Malaysia berdasarkan perbezaan mutu bola sepak kedua negara.
Akmal memberitahu peluang untuk menewaskan Iran tetap ada sambil menyifatkan peluang 50-50 pada pertemuan malam ini.
``Kita tidak pernah bertemu dengan pasukan Bawah 23 mereka sebelum ini. Sukar untuk menilai kemampuan mereka sekali gus kita menganggap mereka sama handal pasukan senior.
``Tetapi saya yakin barisan serangan kita mampu merobek gawang Iran dengan gandingan serasi antara saya R.Surendran dan Indra Putra (Mahyuddin),'' katanya.
Mengenai Norhafiz Zamani Misbah yang tidak dapat bermain akibat kecederaan kaki kanan, Akmal berkata, ia tidak menjejaskan benteng pertahanan pasukan negara.
``Sebelum ini kita pernah beraksi tanpa Zamani pada Sukan SEA di Vietnam. Posisi itu akan diganti oleh pemain yang mampu menjalankan tugas seperti Zamani,'' ujar Akmal.
Malaysia berada dalam kelompok maut Kumpulan A bersama dua lagi gergasi bola sepak Asia iaitu Korea Selatan dan China pada kempen kelayakan Olimpik.

Sabtu, 8 April 2017

Kita mara ke separuh akhir

ARKIB : 04/12/2003
 PENYERANG negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (kiri) berusaha melepasi pemain Singapura, Anuar Shah Mohamed dalam aksi Kumpulan B bola sepak Sukan SEA XXII di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, semalam. Akmal menjaringkan satu gol untuk membantu Malaysia mengatasi Singapura 2-0.

PENYERANG, Akmal Rizal Rakhli dan pemain tengah, K. Rajan meneruskan gandingan mantap sebagai penjaring gol terbaik negara setakat ini apabila jaringan mereka membantu Malaysia menewaskan Singapura 2-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA di Stadium Thong Nhat, Ho Chin Minh, semalam.

Kemenangan kedua berturut-turut skuad bawah 23 tahun negara itu selepas menewaskan Kemboja 8-1 sebelum ini membolehkan Malaysia menempah tempat ke separuh akhir lebih awal tanpa perlu menunggu perlawanan terakhir menentang Myanmar pada 6 Disember ini.

Akmal yang mencipta hatrik ketika menentang Kemboja memusnahkan sisa-sisa perjuangan Singapura dengan menjaringkan gol kedua negara pada minit ke-83 manakala Rajan yang menyumbangkan dua gol pada perlawanan pertama lalu, membuka jaringan pada minit ke-58.

Kejayaan manis skuad negara itu turut disaksikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang tiba awal pagi semalam khusus untuk memberi sokongan moral kepada pemain-pemain Malaysia.

Bagaimanapun jurulatih negara, Allan Harris tetap tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun gembira dan lega dengan kemenangan itu.

Katanya, persembahan longgar yang membenarkan Singapura menguasai permainan amat mengecewakannya malah sudah menganggap skuad negara hanya mampu mencatat seri sahaja dalam perlawanan itu.

``Memang ini kemenangan yang dicari-cari tetapi pemain negara tidak bermain dengan baik.

``Malah kita bernasib baik kerana Singapura tidak mempunyai penyudah yang mantap di barisan depan.

``Saya gembira dengan keputusan ini tetapi tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan terutama pada permainan di babak pertama,'' jelasnya selepas perlawanan.

Malaysia bermula garang dalam awal lima minit permainan babak pertama apabila sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin tepat ke sudut sebelah kiri gol Singapura tetapi sempat ditepis penjaga gol Singapura Hassan Abdullah Sunny.

Bagaimanapun selepas itu, Singapura mengambil alih penguasaan terutama di bahagian tengah dengan menyaksikan dua kali pemain lincahnya, Masrezwan Masturi hampir menjaringkan gol pada minit ke-11 dan 19.

Selepas ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah terpaksa dikeluarkan kerana cedera pada minit ke-37, Malaysia kembali mendapat rentak dengan dua kali sepakan percuma yang diambil Indra tersasar dan terkena palang gol.

Babak kedua, Malaysia membuat pertukaran dengan mengeluarkan Mazuki Yusof dan memasukkan Mohd. Norhissham Hassan dan ia membawa tuah apabila pada minit ke-58, gandingan satu dua Akmal membolehkan Rajan menjaringkan gol pembukaan.

Dua minit selepas itu, Singapura hampir menyamakan kedudukan apabila penyerangnya, Sazali Md. Nor Alam Kamarezaman berjaya meloloskan diri di celah pemain pertahanan Malaysia tetapi sepakannya tersasar sedikit.

Pada minit ke-67, Md. Nor Alam lepas lagi tetapi mujur sepakannya berjaya ditepis penjaga gol negara, Mohd. Syamsuri Mustafa.

Ketika Singapura mengasak hebat untuk mencari gol penyamaan, Malaysia memusnahkan harapan mereka dengan gol Akmal pada minit ke-83 selepas menerima hantaran daripada Juzaili Samion.

Akmal yang menyambut bola dengan kemas menewaskan seorang pemain pertahanan Singapura sebelum menolak leret masuk ke penjuru sebelah kanan gawang gol lawan. - Utusan

MALAYSIA: Syamsuri Mustafa, Yosri Derma Raju, 3-Norhafiz Zamani Misbah (Shahril Faizal Sharifuddin), Aziz Ismail, Irwan Fadli Idrus (Ronny Harun), K.Rajan, Juzaili Samion, Mazuki Yusof (Norhisham Hassan), Indra Putra Mahayuddin, Fadzli Saari, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

SINGAPURA: Hassan Sunny, Anuar Shah Mohamed, Baihakki Khaizan, Razaleigh Khalik, Sevki Sha'ban, Ridhuan Muhamad, Syed Fadhil Syed Naser, Shahril Ishak, Mustaqim Manzur (Sazali Salleh), Masrezwan Masturi, Mohd Noh Alam Shah.

Pengadil: Luong The Tai (Vietnam).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4diKUvXOz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Akmal, Rajan bawa sinar



ARKIB : 01/12/2003
Daripada MOHD. TAUFEK RAZAK

GANDINGAN Akmal Rizal Rakhli dan K. Rajan memberi sinar baru buat jentera serangan skuad bola sepak Sukan SEA negara dan jurulatih kebangsaan, Allan Harris.

Ketika puas memerah otak untuk mencari gandingan mantap Akmal di barisan depan, pencarian Harris sudah boleh dianggap berakhir jika persembahan dua pemain itu ketika menewaskan Kemboja 8-1 kelmarin dijadikan asas.

Ini kerana, kelincahan dan persefahaman kedua-dua pemain ini menunjukkan peningkatan ketara dan Harris sendiri mengakui lega dengan perkembangan positif itu.

``Seperti yang telah beberapa kali saya katakan, sentuhan penyudah serta skil menjaringkan gol yang dimiliki Akmal memang baik tetapi gandingan mantap bersama Rajan sesuatu yang melegakan saya.

``Cuma saya berharap, Rajan dapat mengekalkan prestasinya yang sering tidak konsisten dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Rajan perlu lebih agresif.

``Ini kerana, berdepan dengan Singapura pada 3 Disember ini lebih sukar berbanding menentang Kemboja. Saya harap, Rajan dapat mengatasinya,'' jelas Harris.

Akmal mencipta hatrik pada perlawanan menentang Kemboja kelmarin manakala Rajan menjaringkan dua gol di samping menjadi penggerak kepada kebanyakan gol yang dicipta Malaysia dalam perlawanan itu.

Harris juga, pada perlawanan pertama itu turut mencuba gandingan baru dengan menurunkan Haris Safwan Kamal menggantikan Fadzli Saari untuk berganding dengan Akmal di babak kedua.

Namun Haris Safwan yang kurang pengalaman di peringkat antarabangsa sering hilang punca dan gagal membaca pergerakan rakan.

Bagaimanapun hanya mengharapkan gandingan Akmal dan Rajan untuk menghadapi dua perlawanan penting menentang Singapura dan Myanmar (6 Disember) nanti bukanlah langkah bijak.

Setakat ini, Harris masih mempunyai pilihan menurunkan Zainizam Marjan sebagai alternatif kepada Rajan, Fadzli dan Haris Safwan jika tiga pemain itu gagal menyinar.

Namun keupayaan Zainizam belum lagi dicuba manakala bahagian tengah jelas masih bergantung kepada Indra Putra Mahayuddin, Juzaili Samion dan Mohd. Mazuki Yusof manakala Rajan lebih berperanan menyerang dari tengah.

Jelas pengganti kepada Indra dan Mazuki iaitu Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Norhissham Hassan masih belum cukup matang.

Barisan pertahanan negara juga masih perlu diperkemaskan dengan ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah perlu mengurangkan kesilapan manakala Abd. Aziz Ismail perlu bergerak lebih banyak.

Apa yang melegakan ialah prestasi pemain pertahanan kanan negara, Yosri Derma Raju yang menunjukkan permainan mantap walaupun baru pulih daripada kecederaan.

Selain mampu menjaringkan gol, Yosry kerap melakukan over lapping untuk membantu bahagian serangan. Begitu juga dengan Irwan Fadli Idrus.

Malaysia perlu menang ketika menentang Singapura jika mahu layak ke separuh akhir lebih awal tanpa menunggu perlawanan menentang Myanmar yang telah menewaskan Singapura 2-0, kelmarin.

Jika menang, Malaysia hanya perlu membuat penentuan dengan Myanmar untuk menentukan juara kumpulan sahaja tetapi jika tewas kepada Singapura, Malaysia tiada pilihan selain perlu menewaskan Myanmar untuk ke separuh akhir. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4di7oyp00
© Utusan Melayu (M) Bhd