ARKIB : 11/03/2001
HONG KONG - Allan Harris akan
terus bergantung kepada gandingan Hairuddin Omar dan pemain sensasi, Akmal
Rizal Ahmad Rakhli untuk tugas menggempur kubu lawan pada kejohanan bola sepak
kelayakan Piala Dunia.
Gandingan Hairuddin-Akmal,
menurut jurulatih kebangsaan dari England itu, semakin serasi selpas dua
perlawanan - kalah 5-1 kepada Qatar dan menang 2-0 ke atas Hong Kong.
Hairuddin, dari Terengganu,
mendapat pujian selaku pemain paling rajin dalam setiap perlawanan.
``Istimewanya Hairuddin ialah dia
pemain yang bekerja kuat dan juga boleh bergerak di bahagian tengah,'' kata
Harris semalam.
Pemain berusia 22 tahun itu telah
melakukan tugasnya dengan baik selaku rakan yang mengumpan bola ke kubu lawan
untuk Akmal melakukan penyudah.
Gol pertama skuad negara ketika
menang ke atas tuan rumah tiga hari lepas juga atas bantuan Hairuddin yang
membuat umpanan tepat kepada Akmal dari tengah. Akmal turut menjaringkan gol
kedua.
Menurut Harris lagi, Akmal, 19,
yang menjalani latihan di Perancis, adalah aset besar kepada bola sepak negara
dan kini mula dihormati selaku penyerang berbahaya oleh rakan-rakan
sepasukannya.
``Akmal adalah aset Malaysia. Dia
penyerang yang bagus dan mengambil peluang dengan tepat. Dia mungkin kurang
hebat mengawal bola di tengah padang tetapi keistimewaannya ialah apabila
berada di kawasan gol,'' jelas Harris.
Katanya lagi, dia kini lebih
yakin dengan gandingan dua pemain itu dan Harris tidak mungkin bertukar kepada
yang lain kecuali sesuatu yang tidak dijangka berlaku.
``Sekarang saya lebih suka dengan
gandingan Hairuddin dan Akmal. Mereka telah menunjukkan persefahaman yang baik
setakat ini,'' katanya.
Jika gandingan yang ada sekarang
dikekalkan, bermakna penyerang paling senior, Rusdi Suparman perlu berusaha
lebih keras untuk merampas semula tempatnya.
``Saya berasa simpati ke atas
Rusdi kerana keadaan ini. Bagaimanapun, ini tidak bermakna dia sudah
diketepikan kerana dia masih antara yang terbaik yang kita ada,'' kata Harris.
Rusdi tidak diturunkan dalam
perlawanan pertama menentang Qatar tetapi beraksi pada babak kedua ketika
Malaysia bertemu tuan rumah tiga hari lepas.
Menurut Harris, dia mengeluarkan
pemain tengah, Anuar Jusoh untuk memasukkan Rusdi dalam pertemuan dengan Hong
Kong untuk mematikan rentak permainan lawan selepas Malaysia mendahului 1-0.
Langkah Harris berhasil apabila
lawan nampak keliru siapa yang perlu dikawal dan hasilnya, Akmal menjaringkan
gol kedua. - Utusan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bUDJdwkA©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan