ARKIB : 29/09/2001
AKMAL Rizal Rakhli dan Juzaili
Samion telah menarik perhatian kelab Jerman, Eintracht Frankfurt yang
menunjukkan minat untuk mengikat kontrak dengan kedua-dua bintang muda bola
sepak negara itu.
``Keputusan sama ada Akmal dan
Juzaili akan ditawarkan kontrak bergantung kepada pertemuan kami dengan
presiden kelab itu Selasa depan,'' kata Holger Obermann yang bertanggungjawab
memperkenalkan mereka kepada kelab Jerman itu.
Penasihat Teknikal Persatuan
Bola Sepak Pahang (PBNP) itu berkata satu lagi kelab, Mainz 05 turut tertarik
dengan persembahan Akmal. Ia telah menawarkan program latihan selama enam
minggu kepada Akmal malah mungkin mengambilnya untuk musim perlawanan tidak
lama lagi.
Obermann bersama-sama
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yap Nyim Keong
menemani Akmal dan Juzaili serta penjaga gol, Kamarulzaman Hassan dan
pertahanan, Irwan Fadli Idrus menjalani ujian di Jerman.
Keempat-empat pemain itu akan
menjalani ujian dengan dua lagi kelab iaitu Darmstad dan Borussia Fulda dalam
tempoh dua hari lagi sebelum kembali ke Malaysia pada 3 Oktober.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bkxrwb00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan