ARKIB : 14/01/2000
DEMI mengejar cita-cita untuk
mencipta nama di peringkat antarabangsa, bintang bola sepak remaja, Akhmal
Rizal Ahmad Rakhli rela mengetepikan tawaran lumayan pasukan Pulau Pinang
kerana berasa yakin masa depannya akan ditentukan di Eropah.
Akhmal, ketika ditemui di
Petaling Jaya petang semalam berkata, buat sementara waktu dia terpaksa
melupakan sebarang habuan besar untuk bermain dalam Liga Malaysia, sebaliknya
perlu menyalurkan keseluruhan tumpuannya kepada usaha menambat hati para
pengurus kelab terkenal Eropah.
''Pulau Pinang ada membuat
tawaran kepada saya untuk menyarung jersi mereka musim ini, tetapi terpaksa
saya tolak kerana cita-cita saya jauh lebih besar,'' katanya.
Pemain dari Kedah itu berlepas
ke Perancis malam tadi bersama seorang lagi pemain berbakat besar, Muhamad
Juzaili Samion untuk diuji kebolehan masing-masing oleh kelab bahagian satu,
Strasbourg.
Mereka berdua akan memulakan
latihan selama enam bulan bersama skuad remaja Strasbourg Ahad ini.
Jika bakat mereka memikat hati
pengurus Strasbourg, maka sejarah baru bola sepak negara akan tercipta apabila
buat kali pertama pemain Malaysia mengikat kontrak dengan kelab bahagian satu
Eropah.
Akhmal berkata, dia tidak
menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di Perancis setelah
menimba pengalaman selama enam minggu pada September 1997 dengan kelab paling
dihormati di Jerman, Bayern Munich.
''Saya tidak risau dengan
cabaran cuaca mahupun saingan pemain-pemain Eropah kerana yakin saya juga
setanding dengan mereka,'' katanya.
''Saya juga beruntung kerana
mempunyai ibu bapa yang turut meminati sukan bola sepak dan sentiasa memberi
galakan dan sokongan kepada saya termasuk membuat keputusan untuk ke Perancis
ini,'' jelasnya.
Walaupun akan menjalani ujian
di Perancis, Akhmal bagaimanapun berharap dapat bermain dalam liga Sepanyol.
''Pemain-pemain dalam liga
Sepanyol lebih banyak menggunakan kemahiran individu berbanding pemain-pemain
Eropah lain,'' ujarnya.
Oleh: ABDUL JAILANI ABDULLAH
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SpPGUi57
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan