Selasa, 6 Disember 2016

Akmal Rizal masih 'hijau'

ARKIB : 09/07/1999
JURULATIH negara, Abdul Rahman Ibrahim lebih memikirkan masa depan bola sepak pemain Olimpik 2000, Akmal Rizal Rakhili daripada terburu-buru menamakannya dalam senarai simpanan skuad kebangsaan.

Rahman menganggap, Akmal masih terlalu 'hijau' untuk diserapkan dalam perancangannya bersama skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA XX Brunei, bulan depan.

Tujuh gol sumbangan Akmal sepanjang pusingan kelayakan di Hong Kong dan Jepun lalu, belum cukup untuk mendorong Rahman yang tampak mengutamakan tempoh pengalaman seseorang pemain.

''Enam rakan Olimpiknya lain disenaraikan kerana mereka sudah empat tahun dalam pasukan itu. Akmal berbeza dan perjalanannya masih jauh,'' kata Rahman sebelum berlepas ke Uzbekistan bersama skuad negara.

Kata Rahman, Akmal memang diakui menyerlah ketika kelayakan itu tetapi mendedahkannya dengan aksi bertaraf lebih tinggi, bakal mengundang padah.

''Akmal bagus bila bermain dengan lawan seusia dan sebayanya. Namun kita perlu juga mengambil kira risiko jika dia terdedah dengan pemain lawan yang jauh lebih besar,'' katanya.

Rahman ternyata bimbangkan sebarang musibah kecederaan awal yang mampu memendekkan usia karier Akmal ketika mula mengukir nama.

Bekas jurulatih Terengganu itu sebaliknya memilih Tengku Hazman Raja Hassan, Das Gregory Kolopis, Khalid Jamlus, M. Karunakaran, M. Elangoo dan Megat Amir Faisal Ibrahim daripada skuad Olimpik 2000.

Sementara itu, Rahman bersama 20 pemain negara yang berlepas ke Uzbekistan kelmarin, akan menentang pasukan kebangsaan di samping kelab juara liga dan sebuah kelab ternama di sana sepanjang kunjungan selama 10 hari.

Skuad negara kemudiannya menyambung kunjungan ke Myanmar untuk dua lagi perlawanan persahabatan di Yangon pada 18 dan 19 Julai ini.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4S3J3y0tL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan