MyMetroArena

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
BEKAS ketua jurulatih skuad Piala
Emas Raja-Raja (PERR) 2019 Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bersedia menabur
khidmat dengan mana-mana pasukan bagi membimbing pasukan belia, presiden
ataupun skuad senior.
Menurutnya, dia sudah menghantar
permohonan kepada beberapa pasukan, namun belum menerima balasan setakat ini.
"Sejurus tamat saingan PERR
bulan lalu, saya belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan
atau kelab.
"Memang sedang mencari dan
bersedia membimbing pasukan berminat guna khidmat saya. Dengan lesen A yang
dimiliki, saya pohon jawatan penolong ketua jurulatih bagi Liga Super atau Liga
Perdana. Bagi Piala Belia atau Piala Presiden pula sebagai ketua
jurulatih," katanya lulus lesen A sejak Jun lalu ketika dihubungi hari
ini.
Akmal, 37, berkata, antara
pengalamannya termasuk menjadi penolong jurulatih Piala Belia Kedah pada 2017
selain membimbing pasukan tempatan dalam Liga Bola Sepak Kedah serta skuad
bawah 17 tahun (B-17) Perlis tahun lalu.
"Selain itu saya menjadi
ketua jurulatih di akademi bola sepak saya sendiri iaitu Akmal Rizal Football
Academy sejak empat tahun lalu," katanya yang juga bekas penyerang Kedah
dan kebangsaan.
Sementara itu, Akmal menegaskan
dia sedar situasi bola sepak Malaysia yang mungkin menyaksikan banyak pasukan
mengurangkan pelaburan musim depan.
"Jika diikutkan kita dapat
tahu banyak pasukan yang tutup dan kurangkan bajet. Bagi saya tidak kisah soal
bayaran dan boleh bincang. Bergantung kepada pasukan dan bajet yang mereka ada,
Insya-Allah saya akan terima.
"Tapi, janji saya untuk
turunkan segala ilmu bermain bola sepak hampir 18 tahun termasuk pengalaman
bekerjasama dengan ramai jurulatih tempatan dan luar negara.
"Inilah masanya saya berikan
kembali sebagai jurulatih untuk bentuk pemain bola sepak era baru
terbaik," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 6 November 2019 @ 8:02 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan