Selasa, 30 April 2019

Olimpik tunjuk peningkatan

ARKIB : 05/03/1999
PEMAIN skuad Olimpik 2000, Jaafar Salleh (bawah) terjatuh ketika berebut bola dengan seorang pemain skuad Olimpik Singapura pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Olimpik 2000 menang 3-1. - Gambar HANAFI KHAMIS.

SKUAD Olimpik 2000 mencatat kemenangan 3-1 ke atas pasukan Olimpik Singapura dalam perlawanan bola sepak persahabatan menjelang siri kelayakan Sukan Olimpik Sydney 2000 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam, lapor SAADON JAAFAR.

Begitupun, benteng rapuh menyaksikan skuad Olimpik negara gagal mengekalkan kedudukan selepas mendahului 3-0 pada babak pertama.

Malaysia membuka jaringan menerusi Hairul Khaled Masron yang merembat masuk bola dari luar kotak penalti pada minit ke-22 selepas menerima hantaran sudut.

Pada minit ke-31, skuad Olimpik menghasilkan gol kedua menerusi R. Nanthakumar yang membolosi tiga pemain pertahanan lawan untuk menolak masuk bola.

Gol ketiga negara diperoleh hasil jaringan cantik Akmal Rizal yang melepaskan tendangan lencung dari dalam kotak penalti pada minit ke-36.

Namun, jentera serangan Singapura tidak mudah patah semangat apabila berjaya merapatkan jurang dengan gol tunggal pada minit ke-41 menerusi Harun Jumaat akibat kecuaian barisan pertahanan negara.

Harun yang berada dalam kotak penalti tidak mempersia-siakan peluang menolak masuk bola selepas menerima bola hantaran Indra Sahdan Daud dari sudut kiri gol.

Kedudukan 3-1 itu terikat sehingga tamat permainan selepas Singapura memperkukuhkan lagi jentera pertahanannya untuk menyukarkan lagi usaha barisan serangan Malaysia.

Begitupun, Malaysia hampir menghasilkan gol keempat pada minit ke-87, tetapi tandukan yang dilakukan Gilbert Cassidy melewati palang gol.

Jurulatih skuad Olimpik, Hatem Souissi berkata, pertemuan itu sekadar untuk menguji gandingan pemain serta memberi ruang buat mereka menunjukkan kebolehan.

''Tahap permainan semakin meningkat dan hari ini (semalam) kita hanya menguji beberapa gandingan pemain, termasuk meletakkan gandingan Hairul dan Akmal di posisi serangan.

''Chow (Chee Wen) juga melakukan tugas cemerlang memberi tekanan kepada lawan di bahagian depan. Yang penting, kita mahu mempelbagaikan gandingan yang ada. Itu sahaja,'' katanya.

Mengenai pusingan kelayakan Sukan Olimpik dalam kumpulan 6 bermula Jun ini selepas diundi bersama Jepun, Hong Kong dan Nepal, Hatem berkata, pendedahan yang diterima melalui penyertaan skuad Olimpik dalam Liga Perdana sedikit sebanyak boleh membantu.

''Penyertaan kita masih kurang pada kejohanan bertaraf tinggi, tetapi saya gembira dapat bersaing dalam Liga Perdana. ia memberi pengalaman berharga.

''Jepun adalah pencabar terkuat dalam pusingan kelayakan nanti dan kami harus membuat persiapan lebih rapi untuk menghadapinya. Apa yang penting, skuad ini telah menunjukkan peningkatan,'' ujarnya.

Malaysia akan menentang Singapura sekali lagi pada Sabtu ini di stadium yang sama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Q4mhO6Oz © Utusan Melayu (M) Bhd

PERLAWANAN AKHIR PIALA FA KEDAH 3-2 SELANGOR.


PERLAWANAN AKHIR  PIALA FA KEDAH 3-2 SELANGOR.
Jun 21, 2008 (Sabtu)
Kedah
Fadly Baharom (2'), Khyril Muhymeen Zambri ('33), Shafiq Jamal (51')    3-2          Selangor
Amirul Hadi Zainal (13'), Frank Seator (71' penalti)    Std Shah Alam
minit 75-Pemain Kedah Sabree Abu dibuang padang kerana mendapat kad merah

Kedah: Pemain: 1-Helmi Eliza Elias, 2-Victor Andrag (Kapt) (3-Ronny Harun), 17-V. Thirumurugan, 16-Fazliata Taib, 6-Shafizan Hashim, 10-Nelson San Martin, 11-Ahmad Fauzi Shaari, 15-Mohd Fadly Baharom (13-Saramsak Kram), 27-Badrol Bakhtiar, 28-Shafiq Jamal (26-Sabree Abu), 18-Mohd Khyril Muhymeen Zambri,

Simpanan: 4-Mohd Bunyamin Umar, 22-Mohd Alhafiz Hamzah,

Jurulatih:Azrai Khor Abdullah

Tidak dapat diturunkan: 6-Bernard Hunggin, 9-Marlon Alex James

Selangor: Pemain: 23-Suffian Abdul Rahman, 4-Evans Chisulo, 26-Nasriq Baharom, 15-P. Gunalan, 3-Razman Roslan (16-Abdul Ghani Rahman, 25-Shukor Adan (Kapt), 27-Amirulhadi Zainal (23-Indra Puta Mahayuddin), 8-Ellie Aiboy, 11-R. Surendran (9-Frank Seator, 17-Amri Yahyah, 10-Safee Sali

Simpanan: Akmal Rizal Ahmad Rakhli

Digantung: 19-D. Surendren

Jurulatih: Dollah Salleh

KEPUTUSAN MASA PERTAMA -KL 1-1 FELDA UNITED

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB


Ahad, 28 April 2019

Akmal Rizal letak jawatan jurulatih B-17 PFA


Ahad, 17 Februari 2019 | 1:41pm
 
JURULATIH skuad bawah 17 tahun (B-17) Singa Utara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sah letak jawatan selepas tidak dibayar gaji sejak 1 Disember lalu. - Foto FB Official Perlis FA
Akmal Rizal letak jawatan jurulatih B-17 PFA
Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman
bhsukan@bh.com.my
KANGAR: Jurulatih skuad bawah 17 tahun (B-17) Singa Utara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli meletakkan jawatannya selaku jurulatih skuad itu selepas hanya tiga bulan membimbing pasukan.

Akmal Rizal berkata, dia akan menyerahkan surat perletakan jawatan selewatnya Selasa ini dan hala tuju pasukan yang dibimbingnya itu akan ditentukan sendiri oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Katanya, faktor utama perletakan jawatannya berikutan gaji yang tidak dibayar oleh PFA kepadanya sejak 1 Disember lalu.

"Saya belum terima apa-apa bayaran gaji sejak memulakan sesi kejurulatihan bersama PFA sampai sekarang.

"Sejujurnya, saya tak nampak hala tuju PFA dalam menguruskan skuad bawah 17 negeri dan segalanya berubah sama sekali tidak mengikut perancangan yang dimaklumkan pengurusan PFA kepada saya sebelum ini.

"Saya sudah melakukan sesi pemilihan sebanyak dua kali dan senarai penuh pemain sudah ada, tetapi bila ditanya mengenai soal pertukaran sekolah pemain dan jadual latihan, pihak pengurusan hanya minta saya menunggu sahaja," katanya yang dihubungi, hari ini.

Akmal Rizal berkata, dia sudah tidak boleh menunggu lagi memandangkan dirinya ada tanggungan dan keluarga yang perlu diuruskan.

"Dahulu lain dan segala perancangan nampak elok tetapi seolah ada sesuatu yang tak betul sedang berlaku dan setiap kali ditanya mengenai pembangunan pemain pihak pengurusan minta saya menunggu.

"Perkara sebegini tidak boleh berlaku kerana industri bola sepak kita sedang membangun dan saya harap pihak pengurusan perlu teliti selepas ini dan perlu ukur baju di badan sendiri setiap kali menandatangani kontrak jurulatih serta pemain," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 17 Februari 2019 | 1:41pm

Akmal Rizal sertai skuad Olimpik

ARKIB : 27/11/1998
PENYERANG muda Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakli dipanggil bagi memperkukuhkan jentera serangan skuad Olimpik 2000, lapor AMRAN MULUP.

Pemain yang mendapat pendedahan beraksi dengan Kelab Bayern Munich, Jerman tahun lalu itu disifatkan menjadi jawapan kepada ketumpulan jentera serangan Olimpik.

Menurut pengurus pasukan, Tan Sri Elyas Omar nama Akmal dijangka melapor diri selepas pemain itu tamat menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

''Kehadiran Akmal dijangka mampu memperkukuhkan jentera serangan yang sejak akhir-akhir ini nampak kurang menyengat,'' kata Elyas.

Akmal bukan terlalu asing buat skuad Olimpik yang pernah menimba pengalaman selama enam bulan dalam skuad Bawah 19 tahun yang turut dikendalikan oleh Hatem.

''Hatem yakin kehadiran Akmal mampu menyuntik kemantapan jentera serangan di samping Khalid Jamlus, Chow Chee Weng dan Hairuddin Omar,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PW7bUTqn © Utusan Melayu (M) Bhd

AHMAD RAKHLI KE BAYERN MUNICH.


Penyerang utama skuad Malaysia bawah 16  tahun Akmal Rizal Ahmad Rakhli akan dihantar mengikuti latihan selama enam minggu dengan Kelab Bayern Munich. Akmal muncul penjaring terbanyak dengan 9 gol sewaktu skuad negara menjadi naib juara kejohanan Piala Nike 1996.Beliau yang masih menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid , Alur Setar Kedah adalad salah seorang anggota skuad bawah 14 tahun ketika menewaskan Ajax Amsterdam 5-4 pada tahun 1995 dan seri dengan PSV Eindhoven.[1]




[1] Obberman, Bayern Bincang Lanjutkan Tempoh Latihan, Sukan Utusan Malasia Jumaat, 12 September 1997, hlm.32.

Sabtu, 27 April 2019

Pesta Bola Sepak MSSM -- Melaka kejutkan juara pertahan

ARKIB : 04/05/1998
Pesta Bola Sepak MSSM -- Melaka kejutkan juara pertahan
MELAKA mengejutkan penyandang juara, Selangor dengan kejayaan 2-1 pada perlawanan Pesta Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum, Jitra, petang semalam, lapor MARZUKI MOHAMAD.

Pada perlawanan kumpulan A itu, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun enam minit selepas rehat, Mirsad Amri memperdayakan penjaga gol, U. Saragunan yang meluru untuk menyelamatkan keadaan sementara gol kedua disumbat oleh Suhairi Othman minit 69.

Selangor bangun merapatkan jurang dan kesempatan terbaik yang diambil oleh D. Surindren mengenai sasaran pada minit ke-77 malangnya percubaan berterusan selepas itu tidak mengubah kedudukan.

Naib juara tahun lalu, Kedah pula berjaya menundukkan Pulau Pinang 3-1 bagi perlawanan kumpulan B, di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Pemain tuan rumah, Akmal Rizal Ahmad melakukan hat trick dengan jaringan pada minit kedua, ketiga dan 37 manakala gol tunggal Pulau Mutiara itu dihasilkan oleh Mohamad Azaini Ahmad pada minit 48.

Dalam perlawanan lain, Negeri Sembilan menang besar 6-0 ke atas Pahang pada perlawanan kumpulan D.

Di sebalik kekalahan teruk, Pahang turut kehilangan pemainnya, Iskandar Zulkarnain yang dibuang padang pada minit ke-60 oleh pengadil R. Krishnan, yang merupakan kes pertama pada kejohanan ini.

Iskandar dihukum kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan tulen setelah bertindak kasar dengan menendang paha pemain lawan, Shahdan Shahrom menyebabkan dia digantung dua perlawanan.

Pada perlawanan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Omar, Jalan Sultanah itu, Negeri Sembilan mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Fadzil Abu Hassan pada minit ke-24 dan 53.

Bagaimanapun, pemain dari negeri adat perpatih itu, K. Rajan mencipta hat trick dengan jaringan pada minit ke-51, 52 dan 89. Satu lagi gol dijaringkan oleh Rasyid Ridha pada minit ke-74.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan yang sama, Perlis mengejutkan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan kemenangan 2-0 di padang Sekolah Menengah Teknik, Jalan Stadium.

Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama, tetapi Wan Irhandy Effendy Mohd. Zober membuka tirai jaringan pada minit 56 dan 10 minit kemudian, Amirul Jufri Abdul Jalil, memperkukuhkan pasukannya dengan gol kedua.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Johor 3-0 bagi perlawanan kumpulan C, di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Malik Alor Merah.

Gol semangat Wilayah datang dari Mohamad Hazmin pada minit ke-30 untuk mendahului 1-0 pada separuh masa pertama, bagaimanapun, K. Thayalan memasti kemenangan dengan jaringan gol minit ke-44 dan 60.

Bagi perlawanan bawah 12 tahun, penyandang juara, Selangor dan Negeri Sembilan juga berjaya mengatasi halangan pertama sementara Pahang dan Perak terikat 2-2.

Selangor mengalahkan Melaka 5-1 bagi kumpulan A di Sekolah Kebangsaan Ayer Puteh, Pendang.

Gol Selangor diperoleh melalui Mohd. Arzuddin Mazalan minit ke-15, Tasmaun Mohamad (48), Aminuddin Zainuddin (52), Mohd. Amirul Hadi Zainol (53) dan Manthi Varma (59). Gol tunggal Melaka disumbat oleh Mohd. Anrat Abdul Rahman minit 25.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JG6w8TxR © Utusan Melayu (M) Bhd

Akmal menanti lamaran


ARKIB : 11/10/2008
Akmal menanti lamaran
Bola sepak
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
KUALA LUMPUR - Minat pasukan tempatan yang gemar mendapatkan pemain muda menyebabkan ada bintang senior terpinggir dan belum mendapat tawaran untuk beraksi dalam mana-mana kelab atau pasukan negeri menjelang kempen Liga Malaysia musim depan.

Antara pemain yang merasai bahang trend tersebut ialah bekas penyerang Selangor dan kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yang mengakui belum dilamar oleh mana-mana pasukan.

Menurut Akmal, selepas kontraknya bersama Selangor tidak disambung, dia masih menunggu tawaran untuk meneruskan aksi musim depan tetapi setakat ini belum ada pasukan yang membuat tawaran serius.

''Saya hanya menerima tawaran secara lisan tetapi sehingga kini tiada perbincangan susulan diadakan.

''Saya tidak tahu sejauh mana pasukan berkenaan berminat. Sehingga kini saya masih menunggu tawaran dari pasukan yang benar-benar mahukan khidmat saya,'' katanya.

Menurut Akmal, dia masih memiliki sentuhan berbisa selepas menjaringkan 10 gol untuk Selangor walaupun diturunkan dalam sembilan atau 10 perlawanan sahaja.

''Ketika ini mungkin masih awal untuk pasukan melengkapkan senarai pemain kerana kebanyakan pasukan masih lagi dalam mood raya menyebabkan mereka masih belum bersungguh-sungguh mendapatkan pemain baru.

''Saya sedia beraksi dengan mana-mana pasukan dan menjanjikan sumbangan terbaik kerana masih memiliki keupayaan seperti dahulu,'' ujarnya.

Akmal berharap ada pasukan yang membuat tawaran awal bagi membolehkannya memulakan persediaan awal untuk menghadapi saingan musim depan.

Sama seperti Akmal, penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof juga masih belum mempunyai pasukan.

Menurut pemain yang kini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan itu, dia mengintai aksi bersama pasukan di Lembah Klang kerana mempunyai komitmen terhadap keluarga.

''Setakat ini saya belum lagi menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan. Saya masih mampu memberikan yang terbaik kepada mana-mana pasukan apatah lagi prestasi saya semakin meningkat,'' katanya.

Namun nasib berbeza dialami bekas pemain Pahang, Hairuddin Omar yang mengakui mendapat tawaran daripada beberapa pasukan namun enggan mendedahkan nama pasukan itu.

''Ya... tawaran memang ada cuma saya masih belum membuat keputusan untuk menerima tawaran dari pasukan mana.

''Banyak pertimbangan yang harus dibuat terutama soal gaji, status pasukan dan yang paling penting pasukan mana yang paling serius berminat untuk khidmat saya dan kesungguhan mereka dalam membentuk pasukan yang mantap,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50sOL7RgE
© Utusan Melayu (M) Bhd


AKMAL RIZAL- PKNP 0-4 PERAK

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB


     SUMBER-iflix

AKMAL RIZAL MENGULAS SIARAN LANGSUNG PKNP 0-2 PERAK




‘Sekadar hiburan semata-mata’


 
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
AKMAL RIZAL menyifatkan golongan muda lebih berminat menyaksikan perlawanan berbanding turun padang bermain bola sepak.

BEKAS penyerang RC Strasbourg, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyifatkan punca ketandusan pemain-pemain berpotensi muda disebabkan golongan ini masih belum dapat merasai ‘budaya’ serta ‘jiwa’ sebenar bola sepak.

Ini kerana Akmal Rizal membe­ritahu, bola sepak Malaysia masih belum mencapai standard ‘budaya’ sebaliknya ia lebih berbentuk hiburan kepada generasi muda tempatan.

Bekas pemain Kedah dan Sarawak itu tanpa berselindung mengakui sedikit kecewa kerana golongan muda kini lebih berminat untuk menyaksikan perlawanan berbanding turun ke padang untuk bermain bola sepak.

“Sukan bola sepak Malaysia masih bukan lagi (menjadi) budaya tetapi ia lebih kepada hiburan semata-mata.

“Di Malaysia, bola sepak adalah hiburan No. 1 dan mungkin itulah salah satu sebab mengapa budak-budak muda masih tidak nampak lagi potensi sebenar menjadi seorang pemain bertaraf profesional,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, setiap pemain harus memasang impian untuk beraksi pada tahap lebih tertinggi selain belajar untuk menambah ilmu, bukan hanya kepada bola sepak, sebaliknya pengetahuan am.

Katanya, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam memastikan minat generasi muda untuk menjadikan bola sepak sebagai karier yang menjamin.

“Saya fikir kena ada seorang pemain contoh yang berjaya berkelana di luar negara dan sehingga kini belum ada lagi mana-mana pemain mampu berbuat demikian.

“Sebagai pemain bola sepak, kita harus menanam cita-cita lebih tinggi untuk bermain. Yang penting adalah sokongan ahli keluarga.

“Selagi tiada budaya bola sepak, selagi itu kita tidak akan nampak pertumbuhan generasi muda untuk bermain bola sepak yang mana mereka kini lebih cenderung untuk menyaksikan bola sahaja,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz476hLp7tx Hakcipta terpelihara

Rabu, 17 April 2019

FAM perlu lebih proaktif tangani isu persaraan pemain - Akmal Riza

Astro Arena |  Diterbitkan pada Julai 17, 2016 22:44 MYT
Facebook  Twitter  Email  Google  whatsapp icon
FAM perlu lebih proaktif tangani isu persaraan pemain - Akmal Rizal
AKMAL RIZAL: Boleh ambil pemain muda, tapi jangan harap kejayaan dalam masa singkat.
BEKAS penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, menggesa pengurusan skuad kebangsaan bertindak lebih proaktif dalam menangani isu persaraan empat pemain negara dari pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kebimbangan Akmal terbit daripada Jelajah Oceania, Jun lalu.

Skuad kebangsaan menerima tamparan apabila Safiq Rahim, S. Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Aidil Zafuan Abd Radzak mengumumkan persaraan daripada mewakili negara.

Akmal, bagaimanapun, mahu mengetepikan kebetulan empat pemain ini mengambil pendekatan sama, sebaliknya mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji kepincangan membabitkan Harimau Malaysia.

"Untuk skuad kebangsaan, mereka boleh memanggil pemain buat jangka masa yang lama jika bersaing dalam mana-mana kejohanan kompetitif.

"Namun, untuk aksi persahabatan, kita perlu mengikut langkah sepertimana dilakukan pasukan di Eropah di mana tiga atau empat hari sebelum perlawanan baru pemain dipanggil," katanya.

Sedekad mewakili Malaysia dari 1998 hingga 2008 memadai buat legenda Kedah itu menawarkan cadangan hala tuju skuad negara selepas ini.

Tidak kira apa falsafah pengendali Datuk Ong Kim Swee, katanya, pemain yang menyinar dalam saingan Liga Super wajar diberi perhatian.

"Apapun, skuad kebangsaan perlu melihat kepada pemain terbaik dalam saingan liga, kita boleh mengambil pemain muda tetapi kita tidak boleh mengharapkan kejayaan dalam masa singkat."
SUMBER- http://www.astroawani.com/berita-sukan/fam-perlu-lebih-proaktif-tangani-isu-persaraan-pemain-akmal-rizal-111310

AKMAL RIZAL 1995

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

Dilahirkan pada 12 Disember 1981, keistimewaan Akmal mula dikesan pada Kejohanan Piala Nike Asia Pasifik bawah 14 tahun di Kuala Lumpur dan sejak itu, bermulalah perjalanan hidupnya sebagai permata yang cukup bernilai dalam kancah bolasepak tanahair.

        Anak ke tiga daripada lima adik beradik ini menampilkan bakat semulajadinya untuk dipilih sebagai pemain terbaik dan “Most Valuable Player In Asia Pacific”. Akmal turut muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan gol.[1]________________________________________
[1]http://bolakedah.tripod.com/page_eman.htm

Jurgen Klopp Pernah Berhasrat Mendapatkan Khidmat Akmal Rizal


Editorial Staff Editorial Staff April 26, 2017


Embed from Getty Images

Pengurus Liverpool FC, Jurgen Klopp suatu ketika dahulu dikatakan pernah berhasrat menawarkan tempat buat bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk beraksi dalam pasukan bimbingannya, Mainz 05.

Keputusan itu dibuat selepas beliau menyaksikan aksi Akmal didalam perlawanan ujian di Mainz pada 26 September 2001. Klopp yang pada ketika itu merupakan ketua jurulatih Mainz 05 dilaporkan berminat untuk menjemput Akmal menyertai kem latihan pasukannya selama 6 minggu sekitar bulan mac 2002, iaitu selepas berakhirnya musim bolasepak 2001/2002 di Jerman. Selain Mainz 05, sebuah lagi kelab yang menyatakan minat terhadap Akmal ialah Eintract Frankfurt.

Namun ianya tidak menjadi kenyataan, Akmal yang pada ketika itu merupakan pemain skuad bawah 23 kebangsaan akhirnya memilih untuk beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya, Kedah Darulaman yang beraksi dalam liga Perdana Dua.

Kehadiran Akmal di Jerman adalah sebagai usaha FAM untuk memberi peluang kepada beliau menimba ilmu dan pengalaman di peringkat antarabangsa dan dalam pada masa yang sama mengintai peluang menyertai pasukan dalam liga Jerman.

Beraksi bersama pasukan luar negara bukanlah sesuatu yang asing bagi Akmal, beliau sebelum itu pernah beraksi di Perancis bersama pasukan RC Strasbourg dan FCSR Haguenau.

Selain Akmal, tiga lagi pemain yang berada dalam program ini ialah Juzaili Sameon, Irwan Fadli Idrus dan Kamarulzaman Hassan, mereka turut bersama Akmal dalam pasukan kebangsaan yang memenangi pingat Perak di Sukan Sea XXI. Pemain-pemain ini berada di Jerman selama 10 hari dan menyertai latihan bersama 7 pasukan liga Jerman, iaitu Bayer Leverkusen,Eintract Frankfurt, Karlsruher S, Rot-Weiss Oberhausen,Mainz 05, Darmstadt 98 dan Borussia Fulda.
SUMBER-http://boladaily.com/bola-malaysia/jurgen-klopp-pernah-berhasrat-mendapatkan-khidmat-akmal-rizal/

Jangan ambil mudah

MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Jangan ambil mudah ketika berdepan kelompok pasukan tercorot dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana ia boleh memakan diri.

Demikian peringatan bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe apabila dijadual mengharungi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 pada awal Jun ini, ketika umat Islam masih rancak meraikan Aidilfitri.

Berdasarkan ranking terkini FIFA, Malaysia yang menghuni tangga ke-168 dunia dan ke-35 zon Asia terpaksa menempuh pusingan awal itu dengan kemungkinan bakal menentang negara yang langsung tidak memiliki liga profesional seperti Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka.

Akmal yang pernah berkelana di Perancis dengan beraksi bersama kelab RC Strasbourg dan FCSR Haguenau mahu pemain negara fokus dan tidak mendabik dada menjelang aksi timbal balik itu nanti.

Katanya, tragedi 1997 ketika skuad negara tewas mengejut 0-1 kepada Laos pada saingan Sukan SEA di Jakarta harus dijadikan pengajaran supaya insiden sama tidak berulang pada kempen kelayakan Piala Dunia ini.

“Tidak kira siapa lawan kita nanti, pemain tidak harus mengambil ringan sebaliknya perlu fokus walaupun kekuatan pihak lawan mungkin jauh ketinggalan daripada kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berdasarkan undian yang akan dijalankan di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil hari ini, peluang skuad negara untuk mara ke pusingan berikutnya tampak cerah apabila diletakkan dalam balang satu (ranking 35-40 zon Asia) bersama Kemboja, Macau, Laos, Bhutan dan Mongolia.

Manakala, balang dua pula (ranking 41-46 zon Asia) diisi Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka yang hanya bermain bola sepak secara separuh masa berbanding skuad Harimau Malaya yang dibarisi pemain profesional bergaji lumayan dalam Liga Malaysia.

“Kalau dilihat atas kertas, kita seharusnya tidak mempunyai masalah besar untuk melepasi playoff ini kerana tahap kita jauh lebih baik daripada pasukan berkenaan.

“Tetapi macam saya katakan tadi, dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi dan ia dibuktikan apabila ada pasukan besar pernah tewas di tangan pasukan kerdil ekoran mengambil sikap mudah.

“Namun saya percaya Cheng Hoe pasti akan mengingatkan anak buahnya dan cuba mencari kemenangan pada aksi itu nanti,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:30 AM