ARKIB : 14/04/2011
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
sukan@utusan.com.my

Pemain pasukan Perak bersorak gembira selepas berjaya menjaringkan gol
pertama pada perlawanan Liga Super Perak bertemu Kelantan di Stadium Perak di
Ipoh, kelmarin. Perak menewaskan Kelantan 4-0. - BERNAMA
IPOH - Semangat berpasukan menjadi kunci kejayaan Perak mengutip mata
penuh dalam aksi Liga Super menentang juara bertahan, Kelantan di gelanggang
sendiri, kelmarin.
Jurulatih Perak, Norizan Bakar berkata, anak-anak buahnya beraksi dalam
semangat berpasukan yang mantap, antara faktor menjadikan persembahan Perak
menarik.
Walaupun tampil tanpa berbekalkan rekod bersih yang lebur di Sabah minggu
lalu, tuan rumah bangkit garang membelasah Kelantan 4-0.
Empat gol Seladang hadir menerusi Md Fazrul Hazli, Mohd. Shafiq Jamal,
Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Razali Umar Kandasamy.
''Kemenangan ini tidak bergantung kepada kemampuan seseorang pemain sahaja
tetapi hasil kerjasama berpasukan merupakan kunci utamanya," jelas
Norizan, semalam.
Beliau yang bersyukur atas kejayaan tersebut mengharapkan momentum
kemenangan itu berkekalan dalam perlawanan akan datang.
Menyentuh tentang kehadiran Razali, Norizan berkata, pemain itu berjaya
melaksanakan tugas dengan cemerlang.
Razali yang diturunkan menggantikan Mohd. Shafiq pada minit ke-68 telah
mendapat tepukan gemuruh selepas menyumbangkan satu gol.
'' Semua pemain termasuk Razali perlu mempamerkan prestasi yang memuaskan
dalam latihan harian jika mahu terpilih dalam kesebelasan pasukan,"
tambahnya.
Sebelum ini, Razali telah menimbulkan kekalutan dalam skuad Perak apabila
ponteng latihan.
Sementara itu, jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu mengakui kemantapan
bahagian pertahanan dan tengah Perak menjadi punca utama kemenangan pasukan
tersebut.
''Mereka (Perak) telah beraksi dengan baik dan menggunakan peluang gol
dengan sebaik-baiknya," tambahnya yang menyatakan bahawa Kelantan juga
berpeluang menjaringkan gol tetapi gagal direalisasikan.
Katanya, para pemain Kelantan tetap bersemangat walaupun ketinggalan dua
gol tetapi bahagian pertahanan Perak terlalu kebal.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5e4oAFekN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan