ARKIB : 04/12/2010
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

Akmal Rizal Rakhli akan menyertai
pasukan Perak musim depan.
KOTA BHARU - Bekas penyerang
Kelantan, Akmal Rizal Rakhli kesal dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)
yang didakwanya tidak berpegang kepada janji dan tidak adil dalam isu
pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.
Akmal mendakwa, dia bersama lima
lagi pemain tidak diberikan bonus kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan
pasukan Kelantan sebaik sahaja musim Liga Malaysia 2010 berakhir.
"Saya bersama Hairuddin
Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohamad dan Syed Adney
Syed Hussin tidak mendapat bonus sedangkan kami berada dalam skuad utama.
"Pada masa yang sama, saya
mendapat tahu pemain yang kekal telah diberikan bonus kemenangan itu mengikut
kadar tertentu tetapi saya berharap Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa akan
dapat menyelesaikannya selepas pulang daripada luar negara nanti,"
dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Difahamkan, pembayaran bonus
mengambil kira persembahan dan gaji pokok pemain yang rata-rata dipercayai
antara RM3,000 hingga RM20,000.
Sepanjang musim lepas, pasukan
Kelantan dilihat sebagai skuad yang mantap tanpa sebarang masalah membabitkan
pemain, bagaimanapun sebaik sahaja menjulang Piala Malaysia beberapa tonggak
dikatakan akan berhijrah ke pasukan lain.
Dua pemain iaitu Akmal Rizal dan
Hairuddin sah akan beraksi dengan Perak serta Negeri Sembilan, bagaimanapun
kedudukan kapten pasukan, Indra Putra, Azizi dan Syed Adney masih belum
diketahui biarpun desas-desus mengatakan mereka akan berhijrah ke T-Team.
Selasa lalu, Anuar melahirkan
rasa kecewa dengan sikap segelintir pemain yang disifatkannya sebagai lupa diri
selepas berjaya mencipta nama dengan The Red Warriors.
Beliau meluahkan kekecewaan itu
melalui laman sosial Facebook peribadinya dan menyifatkan beberapa pemain
Kelantan sebagai 'pemain yang hari ini mula ada nama telah lupa bahawa dulu
mereka nobody (tidak terkenal)'.
Akmal Rizal yang juga bekas
penyerang kebangsaan berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pas
Kelantan kerana memberikan bonus RM200,000 dan berharap KAFA mengagihkannya
secara adil.
"Saya percaya KAFA akan
mengagihkan wang ini kepada semua pemain termasuk kami yang telah berhijrah ke
pasukan lain," katanya.
Mengulas lanjut, dia berkata,
luahan Anuar itu bukan dituju kepadanya dan Hairuddin kerana mereka tidak
ditawarkan kontrak secara rasmi.
"Sebaik sahaja musim ini
habis, KAFA telah menawarkan kontrak kepada saya tetapi secara mulut sahaja,
tidak ada hitam putih sehingga saya buat keputusan berhijrah ke Perak,"
katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5d7B02ssE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan