Rabu, 30 Januari 2019

Rajagobal tak tutup pintu pemain senior

ARKIB : 20/04/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

K. Rajagobal masih membuka ruang buat pemain senior untuk menyertai skuad negara namun bergantung pada prestasi mereka dalam saingan Liga Malaysia.

KUALA LUMPUR - Tiada istilah 'tutup pintu' buat mana-mana bekas pemain kebangsaan yang mahu beraksi bersama Harimau Malaya jika mereka menunjukkan prestasi cemerlang bersama pasukan negeri masing-masing dalam saingan Liga Super.

Pengendali skuad kebangsaan, K. Rajagobal berkata, dia sentiasa memantau semua pemain yang beraksi dalam liga, bagi mendapat maklumat terkini mengenai prestasi mereka.

"Saya sentiasa mengikuti perkembangan semua pemain, jika ada antara mereka yang mempamerkan prestasi konsisten, saya sedia memberi peluang dengan memanggil mereka menjalani latihan skuad kebangsaan, seperti mana yang saya pernah buat sebelum ini.

"Ini termasuk pemain-pemain senior, saya sesekali tidak akan bersikap menutup pintu terus kepada mereka, itulah falsafah saya, " katanya yang dihubungi, semalam.

Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai peluang penyerang Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan, memandangkan bekas penyerang negara itu semakin menyerlah musim ini.

Akmal telah menjaringkan 10 gol dalam 16 penampilan bersama Perak dan banyak menjadi penggerak serangan skuad Kejor Yob Kejor.

Rajagobal memberitahu, peluang Akmal tetap ada namun dia tidak boleh menyatakannya sekarang kerana liga masih berjalan dan dia akan memutuskannya apabila masa telah sesuai.

"Tak boleh cakap sekarang, benda seperti ini kena ambil masa sebelum saya boleh memutuskannya, bukan sahaja Akmal Rizal tetapi juga kepada pemain-pemain lain.

"Saya kena perhatikan betul-betul jika mahu memanggil mereka, banyak perkara yang perlu saya fikirkan, " katanya.

Rajagobal juga berkata dia belum dapat membuat keputusan skuad yang mana akan diturunkan seandainya tarikh 21 Julai berdepan Chelsea menjadi kenyataan dan dalam masa sama, Malaysia berjaya mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia bertemu Singapura pada 23 Julai.

"Saya tahu tarikh dua perlawanan itu terlalu hampir tetapi hal tersebut saya belum bincangkan lagi dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Buat masa ini fokus saya ialah untuk menghadapi Taiwan terlebih dahulu pada 29 Jun depan, " katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5e6ErZAaQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Semangat Perak kembali nyala


ARKIB : 14/04/2011
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
sukan@utusan.com.my
 
Pemain pasukan Perak bersorak gembira selepas berjaya menjaringkan gol pertama pada perlawanan Liga Super Perak bertemu Kelantan di Stadium Perak di Ipoh, kelmarin. Perak menewaskan Kelantan 4-0. - BERNAMA
IPOH - Semangat berpasukan menjadi kunci kejayaan Perak mengutip mata penuh dalam aksi Liga Super menentang juara bertahan, Kelantan di gelanggang sendiri, kelmarin.

Jurulatih Perak, Norizan Bakar berkata, anak-anak buahnya beraksi dalam semangat berpasukan yang mantap, antara faktor menjadikan persembahan Perak menarik.

Walaupun tampil tanpa berbekalkan rekod bersih yang lebur di Sabah minggu lalu, tuan rumah bangkit garang membelasah Kelantan 4-0.

Empat gol Seladang hadir menerusi Md Fazrul Hazli, Mohd. Shafiq Jamal, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Razali Umar Kandasamy.

''Kemenangan ini tidak bergantung kepada kemampuan seseorang pemain sahaja tetapi hasil kerjasama berpasukan merupakan kunci utamanya," jelas Norizan, semalam.

Beliau yang bersyukur atas kejayaan tersebut mengharapkan momentum kemenangan itu berkekalan dalam perlawanan akan datang.

Menyentuh tentang kehadiran Razali, Norizan berkata, pemain itu berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Razali yang diturunkan menggantikan Mohd. Shafiq pada minit ke-68 telah mendapat tepukan gemuruh selepas menyumbangkan satu gol.

'' Semua pemain termasuk Razali perlu mempamerkan prestasi yang memuaskan dalam latihan harian jika mahu terpilih dalam kesebelasan pasukan," tambahnya.

Sebelum ini, Razali telah menimbulkan kekalutan dalam skuad Perak apabila ponteng latihan.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu mengakui kemantapan bahagian pertahanan dan tengah Perak menjadi punca utama kemenangan pasukan tersebut.

''Mereka (Perak) telah beraksi dengan baik dan menggunakan peluang gol dengan sebaik-baiknya," tambahnya yang menyatakan bahawa Kelantan juga berpeluang menjaringkan gol tetapi gagal direalisasikan.

Katanya, para pemain Kelantan tetap bersemangat walaupun ketinggalan dua gol tetapi bahagian pertahanan Perak terlalu kebal.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5e4oAFekN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 Januari 2019

Dibelasah Perak 0-4, Kelantan turun takhta


ARKIB : 13/04/2011
 
Pemain Perak, Akmal Rizal (kiri) dihalang pemain Kelantan, Mohd. Farisham Ismail pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, semalam. – UTUSAN/Mohd. Najib Mohd. Nor

KUALA LUMPUR – Perak membuktikan bisa di gelanggang sendiri apabila membelasah Kelantan 4-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.

Kekalahan tersebut menyebabkan skuad Datuk M. Karathu terpaksa menyerahkan takhta liga kepada Selangor, yang menang 1- 0 ke atas Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Lebih malang kekalahan tersebut menyebabkan Kelantan tercicir ke tangga keempat di belakang Selangor, Perak dan Terengganu.

Pada pertembungan hangat di Ipoh, anak buah Norizan Bakar garang apabila meraih gol pembukaan seawal minit kelima menerusi gerakan solo Mohd. Fazrul Hazli Kadri.

Gol awal itu menyemarakkan pasukan tuan rumah sehingga menghasilkan jaringan kedua pada minit ke-29 menerusi kerja keras Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang melakukan hantaran dari sebelah kiri sebelum disambar Mohd. Shafiq Jamal yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Perak memadam semangat Kelantan melalui gol ketiga menerusi rembatan jarak jauh Akmal Rizal pada minit ke-80.

Pemain kontroversi, Razali Umar Kandasamy yang masuk selaku pemain gantian, menambahkan derita Red Warriors menerusi jaringan terakhir Perak, dua minit kemudian.

Fadzli Saari menjaringkan gol tunggal Selangor pada minit ke-31 bagi membolehkan Red Giant melakar kemenangan tipis ke atas Felda United, 1-0.

Di Stadium Sultan Ismail Nasirrudin Shah, T-Team kalah 0-1 kepada Terengganu menerusi Jaringan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-47.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e0nI8qKD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 19 Januari 2019

Isu bonus: KAFA akan ambil tindakan tegas


ARKIB : 05/12/2010
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemainnya, Akmal Rizal Rakhli kerana mengeluarkan kenyataan memburukkan persatuan tersebut dan berunsur fitnah.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemain kebangsaan itu tidak tepat sama sekali kerana pihaknya masih belum membayar sebarang bonus kepada mana-mana pemain yang menjulang Piala Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, KAFA sedang menunggu sumbangan daripada semua pihak termasuk Kerajaan Pas Kelantan sebelum bayaran bonus dibuat sepenuhnya kepada para pemain.

"Jumlah bayaran kepada para pemain juga masih belum diputuskan lagi. Apa yang telah dibayar ialah bayaran sebagai ganti kepada yuran menandatangani perjanjian bagi mereka yang menyambung kontrak dan tambahan gaji kepada semua pemain yang terus berkhidmat dengan KAFA.

"Saya percaya mereka yang pindah juga dapat benda sama dengan pasukan baru mereka, apakah KAFA kena samakan pemain yang setia dengan pasukan pemain yang lompat mencari wang lebih semata-mata," katanya kepada Mingguan Malaysia melalui pesanan khidmat ringkas (SMS), semalam.

Beliau mengulas kenyataan Akmal yang mendakwa KAFA tidak berpegang kepada janji dan tidak adil dalam isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.

Akmal dilaporkan mendakwa, dia bersama lima lagi pemain iaitu Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohamad dan Syed Adney Syed Hussin tidak diberikan bonus kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan sebaik sahaja musim Liga Malaysia 2010 berakhir.

"Saya dukacita dengan kenyataan buruk Akmal Rizal dan satu tindakan yang tegas akan diambil.

"Tindakan juga akan diambil terhadap pemain dan bekas pemain yang membuat kenyataan tidak tepat dan bersifat fitnah terhadap KAFA," katanya.

Bagaimanapun, Annuar tidak menjelaskan bentuk tindakan yang bakal diambil terhadap Akmal Rizal.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5d7FV77AE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Akmal Rizal kesal tidak dapat bonus


ARKIB : 04/12/2010
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
 
Akmal Rizal Rakhli akan menyertai pasukan Perak musim depan.

KOTA BHARU - Bekas penyerang Kelantan, Akmal Rizal Rakhli kesal dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwanya tidak berpegang kepada janji dan tidak adil dalam isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.

Akmal mendakwa, dia bersama lima lagi pemain tidak diberikan bonus kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan sebaik sahaja musim Liga Malaysia 2010 berakhir.

"Saya bersama Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohamad dan Syed Adney Syed Hussin tidak mendapat bonus sedangkan kami berada dalam skuad utama.

"Pada masa yang sama, saya mendapat tahu pemain yang kekal telah diberikan bonus kemenangan itu mengikut kadar tertentu tetapi saya berharap Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa akan dapat menyelesaikannya selepas pulang daripada luar negara nanti," dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Difahamkan, pembayaran bonus mengambil kira persembahan dan gaji pokok pemain yang rata-rata dipercayai antara RM3,000 hingga RM20,000.

Sepanjang musim lepas, pasukan Kelantan dilihat sebagai skuad yang mantap tanpa sebarang masalah membabitkan pemain, bagaimanapun sebaik sahaja menjulang Piala Malaysia beberapa tonggak dikatakan akan berhijrah ke pasukan lain.

Dua pemain iaitu Akmal Rizal dan Hairuddin sah akan beraksi dengan Perak serta Negeri Sembilan, bagaimanapun kedudukan kapten pasukan, Indra Putra, Azizi dan Syed Adney masih belum diketahui biarpun desas-desus mengatakan mereka akan berhijrah ke T-Team.

Selasa lalu, Anuar melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pemain yang disifatkannya sebagai lupa diri selepas berjaya mencipta nama dengan The Red Warriors.

Beliau meluahkan kekecewaan itu melalui laman sosial Facebook peribadinya dan menyifatkan beberapa pemain Kelantan sebagai 'pemain yang hari ini mula ada nama telah lupa bahawa dulu mereka nobody (tidak terkenal)'.

Akmal Rizal yang juga bekas penyerang kebangsaan berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pas Kelantan kerana memberikan bonus RM200,000 dan berharap KAFA mengagihkannya secara adil.

"Saya percaya KAFA akan mengagihkan wang ini kepada semua pemain termasuk kami yang telah berhijrah ke pasukan lain," katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata, luahan Anuar itu bukan dituju kepadanya dan Hairuddin kerana mereka tidak ditawarkan kontrak secara rasmi.

"Sebaik sahaja musim ini habis, KAFA telah menawarkan kontrak kepada saya tetapi secara mulut sahaja, tidak ada hitam putih sehingga saya buat keputusan berhijrah ke Perak," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5d7B02ssE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Akmal Rizal sah sertai Perak


ARKIB : 24/11/2010
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
 
Akmal Rizal yang membantu Kelantan memenangi Piala Malaysia musim ini, menyertai Perak musim depan kerana mahukan cabaran baru serta membuktikan sentuhannya masih berbisa.

KOTA BHARU - Kelantan kehilangan penggempur berbisa Akmal Rizal Ahmad Rakhli, apabila pemain berusia 29 tahun itu mengesahkan dia akan menyarung jersi Perak, musim depan.

Akmal Rizal, yang membantu Red Warriors muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama baru-baru ini, mengakui dia akan menyertai skuad Seladang dengan kontrak dua tahun.

Menurutnya, dia sudah pun menandatangani perjanjian dengan Perak, yang kini dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan, Kelantan, Norizan Bakar.

"Begitupun, saya belum menandatangani sepenuhnya kontrak tersebut. Kontrak saya bersama Kelantan akan tamat hujung bulan ini, jadi saya perlu menghormati baki kontrak tersebut.

"Walaupun hanya semusim bersama Red Warriors, saya gembira kerana dapat menjalankan tugas sebagai seorang pemain dengan baik, membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, kejayaan membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia amat bermakna sepanjang bergelar pemain profesional.

Ditanya mengapa beliau memilih Perak, Akmal Rizal memberitahu dia mahu mencuba sesuatu yang baru bersama skuad tersebut.

"Sebagai pemain profesional, saya inginkan cabaran dan membuktikan sentuhan saya masih berbisa.

"Kejayaan membantu Kelantan pastinya mahu diulangi apabila mewakili pasukan Perak musim hadapan," ujarnya.

Tambahnya, sebelum meninggalkan Kedah pada 2006, dia sememangnya bercita-cita untuk menyertai banyak pasukan.

Jelasnya, dia mungkin akan beraksi untuk tiga atau empat tahun lagi sebelum bersara.

Sepanjang bersama Red Warriors, bekas pemain kebangsaan itu menjaringkan sembilan gol, iaitu tiga pada saingan Liga Super dan enam gol pada Piala Malaysia.

Akmal Rizal pernah beraksi bersama beberapa pasukan termasuk Kedah (2001-2006), Selangor (2007- 2008) dan Kuala Muda NAZA (2009), juga kelab luar negara iaitu Strasborg di Perancis selama dua tahun.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5d3fVvwxg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 18 Januari 2019

Akmal janji aksi terbaik


ARKIB : 30/10/2010
 
Akmal Rizal Ahmad Rakhli

KOTA BHARU - Suatu ketika dahulu nama Akmal Rizal Ahmad Rakhli hampir dilupakan oleh peminat sukan bola sepak di negara ini selepas mengalami kecederaan yang memaksanya berehat panjang.

Namun, sebaik sahaja menyarung jersi keramat The Red Warriors, kelibat Akmal Rizal di atas padang menjadi perhatian dan sebutan di kalangan peminat setia pasukan tersebut.

Beraksi bersama Kelantan, Akmal yang jarang-jarang diturunkan bagaikan mendapat sentuhan ajaib apabila mempamerkan kebangkitan sebaik sahaja aksi Piala Malaysia dimulakan.

Enam gol yang diledakkan sepanjang kempen Piala Malaysia membuktikan anak kelahiran Jitra, Kedah ini masih memiliki sentuhan berbisa, malah status sebagai penjaring terbanyak yang dipegang setakat ini membuatkan kelibatnya digeruni lawan.

Bermula dengan jaringan ketika aksi menentang PKNS Kelana Jaya 17 September lalu, Akmal tidak menoleh ke belakang lagi apabila terus mencatatkan nama selaku pencetak utama The Red Warrios.

Terakhir jaringannya ketika Kelantan menewaskan juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor di Kota Bharu 3 Oktober lalu membangkitkan semangatnya untuk membantu Kelantan membawa pulang piala berprestij itu ke Kota Bharu.

Akmal Rizal ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia mahu mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Menurutnya, pentas perlawanan akhir malam ini cukup istimewa, kerana ia adalah pentas akhir yang pertama buat dirinya sepanjang bergelar pemain profesional.

"Jadi saya mahu menghadiahkan kejuaraan pertama Piala Malaysia diri saya sendiri, pasukan dan penyokong setia Kelantan.

"Namun begitu, semuanya terletak di bahu ketua jurulatih sama ada mahu menyenaraikan saya sebagai pemain utama atau tidak. Sebagai pemain, saya akan mengikut segala percaturan yang telah ditetapkan.

Tambahnya, beraksi di hadapan lebih 50,000 peminat setia tidak memberikan tekanan buat dirinya, malah Akmal menganggap ia akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memberikan aksi terbaik.

"Saya sudah biasa dengan keadaan tersebut kerana apa yang lebih utama saya mahu memberi fokus sepenuhnya sepanjang perlawanan," ujarnya.

Ditanya adakah dia membuat kesilapan menyarung jersi Kelantan, Akmal menafikannya, malah tidak berasa kesal.

Sebaliknya, dia berterima kasih kepada ketua jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Kelantan yang masih percaya sentuhannya.

"Apa yang saya buat ini adalah satu keputusan yang sangat tepat," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5cxKScSF6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nor Shahrul, Akmal mampu benam Kedah


ARKIB : 23/10/2010
Oleh Yatimin Abdullah
sukan@utusan.com.my
 
tonggak penyerang Kelantan, Nor Shahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) dan Akmal Rizal Rakhli (tiga dari kanan) giat menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam sebagai persediaan menentang Kedah dalam Piala Malaysia, hari ini. - UTUSAN/Hafiz Johari

KOTA BHARU - Meskipun Kedah mempunyai rekod baik di Stadium Sultan Muhammed IV musim ini, Kelantan sudah bersiap sedia untuk menjadikan lawan mereka itu sebagai mangsa, selepas menjinakkan Selangor dalam saingan Piala Malaysia.

Beraksi di depan 25,000 penyokong setia mereka, Kelantan pasti mempunyai kelebihan psikologi pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, hari ini.

Kelantan dilimpahi pelbagai berita gembira apabila penyerang kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talha akan beraksi, setelah digantung akibat menerima kad merah.

Gandingan Nor Shahrul dan Akmal Rizal Rakhli, pasti meresahkan pertahanan Kedah.

Gandingan Nor Shahrul-Akmal telah meledak lapan gol setakat ini dan ini memaksa pertahanan Kedah, terutama penjaga gol mereka, Helmi Eliza Elias perlu bekerja lebih keras.

Ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, pasukannya membuat persiapan rapi untuk perlawanan hari ini.

"Kedah sebuah pasukan yang hebat. Prestasi di atas kertas juga memihak kepada mereka.

''Kedah mempunyai lima pemain kebangsaan. Mahu tak mahu, kita kena bagi yang terbaik pada perlawanan malam esok,'' katanya ketika ditemui, semalam.

Ditanya mengenai peluang pasukannya pada perlawanan hari ini, bekas pengendali skuad kebangsaan itu memberitahu: "Saya yakin kita mampu ke perlawanan akhir. Ini berdasarkan apa yang pemain tunjukkan pada perlawanan separuh akhir pertama, walaupun kita terpaksa membuat pertukaran pemain dalam tempoh sepuluh minit.

"Pemain tetap fokus dan berjaya mencipta beberapa peluang gol dalam perlawanan tersebut, inilah yang kita mahukan,'' katanya.

Tambahnya, untuk perlawanan hari ini, beliau akan membuat sedikit perubahan taktikal bagi mengisi kekosongan Azizi Mat Rose, yang cedera.

"Perubahan taktikal terpaksa dilakukan, namun bagi saya ia tidak menjejaskan persiapan saya. Rata-rata pemain yang saya miliki mampu beraksi seperti yang saya mahukan.

"Inilah peluang mereka yang tidak tersenarai sebelum ini untuk membuktikan sesuatu kepada pasukan,'' katanya.

Sathianathan juga berkata, Kelantan juga bersedia jika permainan diheret sehingga ke masa tambahan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cx3eACnW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Akmal dapat semula rentak


 
Akmal Rizal Ahmad Rakhli
ARKIB : 19/10/2010

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my

KOTA BHARU – Ketika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan mengambil khidmat bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, ramai peminat The Red Warriors ragu-ragu dan menggelengkan kepala.

Suara-suara sinis kedengaran mempersoalkan keputusan tersebut.

Bagi segelintir peminat, Akmal hanyalah sejarah dan dia bukan lagi pemain yang suatu ketika dulu bermain dengan kelab bola sepak di Perancis.

Harapan besar penyokong untuk melihat Kelantan menjuarai sekurang-kurangnya satu piala musim ini mendorong keinginan mahu penyerang yang terbaik.

Bagaimanapun, Kelantan menutup kempen Liga Super sebagai naib johan, namun prestasi Akmal ketika itu tidaklah boleh dikatakan ‘hebat’.

Bagaimanapun, berbeza apabila bermulanya saingan Piala Malaysia, Akmal mula menunjukkan taringnya. Mulut pengkritik dikunci rapat melalui persembahannya di atas padang.

Enam gol yang dijaringkan setakat ini menjadikan pemain berusia 29 tahun ini pujaan peminat, malah status sebagai penjaring terbanyak yang dipegang setakat ini membuatkan tumpuan terarah kepada Kelantan untuk dinobatkan sebagai juara pada edisi ke-84 saingan itu.

Bermula dengan jaringan ketika aksi menentang PKNS Kelana Jaya 17 September lalu, Akmal tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus mencatatkan nama selaku penjaring utama The Red Warrios.

Terbaru, pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, Akmal terus menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan lawan apabila jaringannya pada minit ke-24 dan lambungan cantiknya kepada Mohd. Badri Radhi di minit ke-79 mengakibatkan Gergasi Merah tumbang dek amukan Sang Kijang.

Akmal ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini berkata, kemenangan ke atas juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor adalah hadiah berharga buat seluruh pemain, pengurusan dan peminat setia The Red Warriors.

Menurutnya, kejayaan tersebut akan terus dijadikan sebagai pembakar semangat buatnya dalam usaha membantu Kelantan layak ke perlawanan akan akhir dan muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama.

“Untuk perlawanan seterusnya saya akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kerana saya mula mendapat rentak yang dicari-cari sebelum ini.

“Di awal musim lalu, saya akui, saya masih lagi tercari-cari rentak tersebut, namun hasil kerjasama dan persefahaman baik dalam pasukan akhirnya saya mendapat semula sentuhan tersebut,” katanya.

Tambahnya, inilah masa terbaik buat dirinya untuk membuktikan sesuatu kepada pasukan.

“Ini adalah usaha saya untuk membina kekuatan diri. Bagi saya kritikan peminat kepada saya sebelum ini, saya anggap ia sebagai sesuatu yang positif," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_14.htm#ixzz5cwnuDf3Z
© Utusan Melayu (M) Bhd