Ahad, 19 November 2017

Piala FA - Selangor dimalukan kelab Liga Perdana

ARKIB : 09/04/2008
 
Pemain Selangor Akmal Rizal Rakhli (kanan) diasak oleh pemain Kuala Muda Naza dalam perlawanan Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Star semalam.– Gambar ISMAIL KAMADIN

KUALA LUMPUR – Juara empat kali, Selangor dimalukan kelab Liga Perdana, Kuala Muda NAZA apabila tewas 0-1 pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, semalam.

Pasukan Merah Kuning itu terpaksa menerima hakikat tunduk kepada jaringan tunggal perlawanan menerusi Farderin Kadir pada minit ke-48.

Ternyata status Selangor selaku juara 1991, 1997, 2001 dan 2005 di samping pasukan di tangga kedua Liga Super ketika ini langsung tidak menggerunkan Kuala Muda NAZA.

Sebaliknya beraksi di gelanggang sendiri menyuntik semangat Kuala Muda NAZA untuk sekurang-kurangnya membawa bekalan agak baik menjelang suku akhir kedua di Stadium Shah Alam pada 22 April ini.

Juara bertahan, Kedah pula seperti dijangka tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Melaka 4-1 pada perlawanan di Stadium Hang Tuah.

Gol-gol pasukan pelawat dijaringkan Sabri Abu (m-15), Marlon Alex James (m-48, pen-77) dan Mohd. Fadly Baharom.

Pahang juga memperoleh bekalan selesa apabila menewaskan Sabah 3-1 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Sabah bagaimanapun lebih dulu membuka jaringan menerusi Bobby Gonzales (m-23) sebelum Norhafiz Zamani Misbah (m-33), Tarek El Janaby (pen-65) dan Hairuddin Omar (m-79).

Satu lagi perlawanan menyaksikan Terengganu turut mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Felda United pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pasukan tuan rumah mudah mendahului 3-0 menerusi jaringan sendiri Farouk Hashim (m-11) diikuti gol Che Hishamuddin Hassan (m-33) dan Fabior Flor (m-49).

Hanya selepas Terengganu memperlahankan rentak permainan, Felda United berpeluang memperoleh gol saguhati menerusi Badrol Afzan Razali (m-66)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4yrdR9fEO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan