ARKIB : 21/04/2008
KUALA LUMPUR - Apa yang terbaik
untuk Selangor dari kaca mata jurulatihnya, Dollah Salleh sudah pasti turut
mewakili yang terbaik bagi penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli sekalipun dia
sekadar diberi peranan sebagai supersub (pilihan kedua) kebelakangan ini.
Bekas penyerang kelahiran
Jitra, Kedah itu juga tidak kisah dengan sebarang peranan atau gelaran buatnya
kerana dia sudah melakukan yang terbaik untuk meningkatkan mutu permainan dan
kecergasan sepanjang aksi Liga Super dan Piala FA serta sesi latihan musim
2007-2008 ini.
Katanya kepada Utusan Malaysia,
semalam: "Jika jurulatih (Dollah) yakin dengan meletakkan Frank Seator dan
Safee Sali sebagai pilihan terbaik di barisan depan buat Selangor, saya tiada
masalah untuk menerimanya. Akhirnya yang penting ialah pasukan yang mencapai
kejayaan.
"Lagipun saya pernah
bermain dalam kesebelasan utama dalam tujuh atau lapan kali musim ini (apabila
salah seorang digantung permainan atau tercedera)," kata bekas pemain yang
pernah mewakili FC Haguenau, kelab bahagian empat Liga Perancis ini.
Malah di sebalik cuma bermula
dari bangku simpanan atau kerap digelar 'Pemain 10 Minit Terakhir', Akmal tetap
mampu menyumbat lapan gol dengan lima dalam Liga Super dan tiga gol bagi Piala
FA - satu pencapaian yang turut menyaingi catatan Safee dan Seator, kelahiran
Liberia.
Akmal turut membantu menggegar
gawang Sarawak di Stadium Shah Alam ketika Merah Kuning menang 4-1, kelmarin
dan bapa dua anak ini menagih sentuhan yang sama berulang apabila melayani
Kuala Muda dalam suku akhir kedua Piala FA di gelanggang sama, esok.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4z9fcfPdM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan