Sabtu, 30 September 2017

Akmal terlepas peluang



ARKIB : 25/06/2007
Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR – Peluang penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Asia bulan depan dilihat bagaikan ‘telur dihujung tanduk’.

Hasil imbasan x-ray yang dijalankan ke atas bengkak di lutut kaki kanan Akmal Rizal di Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), mendapati tiada keretakan tulang dialami pemain itu.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin berkata, keputusan itu belum melegakan kerana Akmal Rizal perlu menjalani pemeriksaan MRI hari ini.

Menurut Hamidin, FAS dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum berpuas hati dengan keputusan x-ray yang dijalankan.

‘‘Sehubungan itu, Akmal Rizal akan menjalani pemeriksaan MRI di Hospital Pakar Damansara esok (hari ini) yang akan dapat mengenal pasti kecederaan lain seperti keretakan tulang pada lutut atau sebaliknya.

‘‘Setakat ini, ujian x-ray menyatakan Akmal Rizal tidak mengalami kecederaan yang serius cuma bengkak dilutut tetapi kita tidak pasti peluang untuk dia pulih bagi mewakili skuad Malaysia pada Piala Asia nanti,’’ ujar Hamidin ketika dihubungi semalam.

Penyerang utama skuad kebangsaan itu ditimpa kecederaan sewaktu beraksi mewakili Selangor menentang Kedah pada saingan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam kelmarin.

Akmal Rizal yang menjadi sandaran utama jentera serangan skuad Malaysia mengalami kecederaan yang dianggap serius pada lutut kaki kanan.

Insiden itu berlaku pada minit ke-42 ketika Akmal Rizal cuba mengejar bola untuk menjaringkan gol penyamaan.

Namun Mohd. Helmi Eliza Alias lebih pantas merebahkan badan dan menangkap kemas bola itu tetapi kaki penjaga gol tersebut terangkat serta mengenai lutut penyerang Selangor itu.

Akibatnya, Akmal Rizal terpaksa diusung keluar sebelum dikejarkan dengan ambulans ke KJMC sejurus tamat perlawanan tersebut.

Mengulas lanjut Hamidin berkata, pemeriksaan MRI yang akan dibuat hari ini akan dapat menentukan sama ada kecederaan yang menimpa Akmal Rizal serius atau pun tidak.

‘‘Selain itu kita cuba hendak pastikan tempoh berapa lama untuk Akmal Rizal pulih memandangkan tidak sampai 15 hari lagi Malaysia akan membuka tirai perlawanan menentang China,’’ ujarnya.

Menurut beliau, keadaan penyerang skuad Merah Kuning itu dilaporkan semakin baik dan kini masih menjalani rawatan di KJMC.

Sementara itu Akmal Rizal ketika dihubungi memberitahu lututnya masih terasa sakit selain bengkaknya belum susut.

‘‘Saya rasa akan pulih cepat dan saya tidak anggap ia kecederaan yang serius. Tunggulah rawatan yang akan dijalankan nanti,’’ ujarnya.

Menceritakan detik-detik tersebut penyerang itu memberitahu, ketika melihat Mohd. Helmi sudah menangkap bola dia berlari ke sebelah kiri untuk mengelak daripada berlaga dengan penjaga gol Kedah.

‘‘Tetapi malangnya ketika saya sudah berlari ke arah kiri tiba-tiba Mohd. Helmi mengangkat kaki dan saya terus melompat tetapi lutut saya mengenai kasut dia,’’ ujarnya kecewa.

Dia mengakui rasa amat kecewa jika kecederaan itu memaksa dia tersisih daripada menyarung jersi kebangsaan pada saingan Piala Asia bulan depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uAN1ZDmH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan