ARKIB : 26/03/2007
KUALA LUMPUR - Bekas penyerang
negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyasarkan bulan depan untuk memberikan
sepenuh aksi terbaiknya dalam mencerahkan peluang merebut tempat skuad bola
sepak negara ke Piala Asia.
Dua golnya yang berjaya membawa
Selangor menewaskan Pahang 2-0 pada perlawanan Liga Super di Shah Alam,
kelmarin, telah membalas kepercayaan jurulatih Dollah Salleh dan kini dia
menunggu reaksi yang sama daripada Norizan Bakar.
Kata penyerang kelahiran Jitra,
Kedah ini: ``Dua gol (pada minit ke-63 dan 90) itu lebih baik daripada jaringan
pertama saya tahun ini ketika kami kalah kepada Telekom Melaka 2-1 (Kumpulan A
Piala Malaysia, 17 Mac lalu).
Namun, yang penting saya dapat
sumbangkan sesuatu untuk pasukan yang sanggup menunggu lama untuk saya pulih
daripada kecederaan lutut sejak tahun lalu.
Segala keyakinan dan sentuhan
jaringan serta kecergasan yang dirindui sejak berehat kerana kecederaan, turut
semakin kuat menemani Akmal Rizal yang kali terakhir mewakili negara pada
Kelayakan Piala Dunia 2004.
Menurut bekas pemain kelab
Perancis, FC Haguenau ini, persefahaman dan keserasian rakan sepasukan Gergasi
Merah seperti tonggak senior, Amri Yahyah dan Shukor Adan selain pengumpan
jaringannya kelmarin, Fazilidin Khalid juga semakin mantap.
Persembahan yang semakin
meningkat itu turut merangsang keinginannya untuk memburu lebih banyak gol
apabila Selangor mengunjungi Selayang, esok untuk menentang Angkatan Tentera
dalam pusingan kedua Piala FA.
Selangor, juara Piala FA 2005,
mendapat laluan percuma daripada pusingan pertama sementara Tentera
menyingkirkan Maju United Kuala Lumpur 1-0 pada 6 Februari lalu.
Mengenai penampilan sulung
gandingannya menentang Pahang, Safee Sali yang turut memburu tempat ke Piala
Asia, kata Akmal Rizal, rakannya itu masih memerlukan masa untuk lebih kerap
diturunkan sepanjang 90 minit.
Seperti saya ketika mula
bermain dulu, dia juga memerlukan masa untuk menemui semula kecergasan dalam
perlawanan sebenar tetapi kami berdua tetap berkongsi matlamat, mahu ke Piala
Asia dengan meyakinkan jurulatih negara, Norizan sepanjang liga, katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4tQ0TTARp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan