Jumaat, 27 Oktober 2017

14 angka istimewa Akmal Rizal


ARKIB : 27/01/2008

Oleh: SAYED HESHAM IDRIS

Bagi pemain di posisi penyerang, jersi angka 10 menjadi pilihan dalam sukan bola sepak namun bagi penyerang pasukan Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, angka 14 adalah jersi pilihan.

Sebenarnya angka 14 bukan setakat pada jersi tetapi ia menjadi nombor kegemaran dalam kehidupan seharian Akmal.

Kerana meminati angka 14, plat kereta, nombor telefon bimbit dan alamat rumahnya juga tidak dapat lari dari angka tersebut.

''Angka 14 memang menjadi kegemaran saya sejak belum bergelar pemain bola sepak lagi.

''Saya mula meminati angka 14 kerana kagum dengan bekas pemain Kedah berjersi 14, Faridzuan Che Hamid.

''Setiap kali menonton perlawanan pasukan Kedah, Faridzuan menjadi tumpuan saya malahan sehingga kini dia adalah idola saya.

''Secara kebetulan ketika saya mula-mula menyarung jersi pasukan Kedah, saya diberikan jersi angka 14.

''Sejak itu, jersi bernombor 14 terus menjadi pilihan saya, sama ada ketika bersama bekas pasukan Kedah dahulu, kini di Selangor dan bersama pasukan kebangsaan,'' katanya. ini.

Jersi angka 14 seolah-olah telah menjadi milik mutlak Akmal sehinggakan para pemain sepasukan mengetahui perkara itu.

Lantaran itu setiap kali pengagihan nombor jersi pasukan, sama ada pasukan negeri atau kebangsaan, tiada pemain yang berani 'menyentuh' jersi angka 14.

''Rakan-rakan sudah tahu jersi angka 14 adalah kegemaran saya,'' katanya.

Menurutnya, dia meminati angka 14 bukan kerana disebabkan ia membawa tuah dalam karier.

''Ia tiada kaitan dengan tuah, cuma saya rasa lebih yakin apabila dapat mengguna jersi nombor kegemaran saya,'' katanya.

Sementara itu, Akmal memberitahu, dia kini berjauhan dengan anak dan isterinya yang kini menetap di Kedah.

Lantaran itu Akmal kerap berulang alik ke Kedah mengunjung keluarganya.

''Jika cuti latihan, saya memandu kereta bersendirian ke Kedah untuk menemui anak dan isteri.

''Setakat ini saya belum bercadang untuk mereka menetap di Kuala Lumpur,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4whm9ICTp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan