ARKIB : 27/01/2008
Oleh: SAYED HESHAM IDRIS
Bagi pemain di posisi
penyerang, jersi angka 10 menjadi pilihan dalam sukan bola sepak namun bagi
penyerang pasukan Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, angka 14 adalah jersi
pilihan.
Sebenarnya angka 14 bukan
setakat pada jersi tetapi ia menjadi nombor kegemaran dalam kehidupan seharian
Akmal.
Kerana meminati angka 14, plat
kereta, nombor telefon bimbit dan alamat rumahnya juga tidak dapat lari dari
angka tersebut.
''Angka 14 memang menjadi
kegemaran saya sejak belum bergelar pemain bola sepak lagi.
''Saya mula meminati angka 14
kerana kagum dengan bekas pemain Kedah berjersi 14, Faridzuan Che Hamid.
''Setiap kali menonton
perlawanan pasukan Kedah, Faridzuan menjadi tumpuan saya malahan sehingga kini
dia adalah idola saya.
''Secara kebetulan ketika saya
mula-mula menyarung jersi pasukan Kedah, saya diberikan jersi angka 14.
''Sejak itu, jersi bernombor 14
terus menjadi pilihan saya, sama ada ketika bersama bekas pasukan Kedah dahulu,
kini di Selangor dan bersama pasukan kebangsaan,'' katanya. ini.
Jersi angka 14 seolah-olah
telah menjadi milik mutlak Akmal sehinggakan para pemain sepasukan mengetahui
perkara itu.
Lantaran itu setiap kali
pengagihan nombor jersi pasukan, sama ada pasukan negeri atau kebangsaan, tiada
pemain yang berani 'menyentuh' jersi angka 14.
''Rakan-rakan sudah tahu jersi
angka 14 adalah kegemaran saya,'' katanya.
Menurutnya, dia meminati angka
14 bukan kerana disebabkan ia membawa tuah dalam karier.
''Ia tiada kaitan dengan tuah,
cuma saya rasa lebih yakin apabila dapat mengguna jersi nombor kegemaran
saya,'' katanya.
Sementara itu, Akmal
memberitahu, dia kini berjauhan dengan anak dan isterinya yang kini menetap di
Kedah.
Lantaran itu Akmal kerap
berulang alik ke Kedah mengunjung keluarganya.
''Jika cuti latihan, saya
memandu kereta bersendirian ke Kedah untuk menemui anak dan isteri.
''Setakat ini saya belum
bercadang untuk mereka menetap di Kuala Lumpur,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4whm9ICTp
© Utusan Melayu (M) Bhd