ARKIB : 24/04/2004
Ketua pasukan, Akmal Rizal Rakhli berkata, keprihatinan pengurusan itu menggembirakan pemain yang sebelum ini bimbang berikutan hampir dua bulan tidak menerima sebarang bayaran.
Tambahnya, perkembangan terbaru itu menyemarakkan lagi semangat pemain menjelang pertemuan kelima Kedah dalam Liga Super menentang Pahang di stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.
``Ia satu khabar gembira buat para pemain di saat mereka begitu mengharapkan cetusan semangat untuk mencipta kemenangan pertama Kedah dalam Liga Super.
``Saya yakin Kedah bakal merealisasikan impian memungut tiga mata penuh malam ini sekalipun berdepan pasukan kuat seperti Pahang,'' katanya.
Rabu lalu Utusan Malaysia menyiarkan laporan satu sumber yang mendakwa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal menjelaskan gaji pemain yang hampir memasuki bulan kedua.
Kedah kini menduduki tangga tercorot Liga Super dengan satu mata daripada empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan.
Tambah Akmal, selain lega dengan masalah gaji yang bakal selesai pemain kini berada dalam keadaan cukup bersemangat selepas mencatat kemenangan sulong musim ini apabila menewaskan MPPJ Selangor 5-2 di Alor Star, Rabu lalu dalam perawanan pusingan kedua Piala FA.
Menurut Akmal, meskipun Kedah gagal mara ke pusingan ketiga (Piala FA), kemenangan tempoh hari menaikkan moral para pemain.
``Kemenangan kami tempoh hari membuktikan apabila di padang, pemain segera melupakan apa jua masalah termasuk soal gaji.
``Semangat dan rentak permainan ketika menewaskan Selangor MPPJ akan diteruskan pada perlawanan menentang Pahang malam ini.
``Saya yakin Kedah sudah melepasi musim suram dan kini kembali bangkit untuk memberi saingan,'' katanya.
Kedah gagal mara ke pusingan ketiga Piala FA dengan agregat 9-6 selepas tewas 7-1 pada permainan pertama pusingan kedua di Stadium MPPJ di Kelana Jaya, 26 Mac lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan